Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, May 15, 2009

PESTA KAAMATAN KATEDRAL ST. MARY'S SANDAKAN


Sandakan: Tadau Kaamatan yang bermaksud Pesta Menuai amat bermakna bagi kaum Kadazandusun kerana sejak zaman nenek moyang lagi mereka percaya bahawa padi mempunyai semangat seorang gadis yang dikorbankan bernama Huminodun dipanggil Bambarayon atau Bambaazon yang harus dihormati. Menurut lagenda, mereka percaya bahawa dunia ini adalah ciptaan Tuhan yang mereka panggil Kinoingan atau Kinorohingan. Suatu ketika dahulu, suku kaum Kadazandusun mengalami bencana kemarau menyebabkan wujud masalah kebuluran. Kinorohingan dan isterinya, Suminundu yang berasa kasihan terhadap kesengsaraan dan penderitaan masyarakat Kadazandusun telah mengorbankan Huminodun, anak perempuan tunggal jelita mereka. Setelah jasadnya disemadikan di bumi, bencana pun berakhir dan hasil tanaman mereka kembali baik seperti sedia kala.


Bagi umat Katolik Kadazandusun, sambutan Pesta Kaamatan adalah satu upacara kesyukuran kepada Tuhan, Pencipta segala sesuatu atas apa yang telah diterima sepanjang tahun. Pada upacara ini juga berkat dipohon dariNya supaya mendapat lebih banyak hasil tuaian untuk apa juga jenis tanaman terutamanya padi pada tahun berikutnya. Selain itu, perayaan ini memberi peluang untuk mengeratkan hubungan persahabatan dan persaudaraan antara umat beriman agar terus bersatu dalam apa juga hal.


Maka, pada Sabtu, 9hb Mei 2009, sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Paroki yang ke-5 dimulakan dengan Perayaan Ekaristi bertempat di Katedral St Mary pada jam 10.00 pagi dan telah dirayakan bersama oleh Bapa Uskup Julius Dusin Gitom, Fr Thomas Makajil dan Fr Paul Lo. Bukan sahaja umat kaum Kadazandusun tetapi umat berbangsa lain seperti Cina, Indonesia dan Filipina juga turut hadir bersama. Selebran utama, Fr Thomas Makajil dalam homilinya menekankan betapa pentingnya budaya sebagai satu identiti bangsa kita. Demikian juga kita sebagai umat Kristian harus mempertahankan identiti kita agar orang lain yang mengenali kita akan mencontohi dan menghormati kepercayaan kita.


Selesai Perayaan Ekaristi, umat-umat beriman beredar ke Dewan Paroki St Mary untuk meneruskan acara pesta Kaamatan. Dalam ucapan Pilis Malim selaku Pengerusi Penganjur, beliau meluahkan rasa syukurnya kepada Tuhan kerana atas usahasama AJK Penganjur serta para penderma maka majlis tersebut dapat dijalankan dengan lancar dan sempurna. Kemudian, Fr Thomas Makajil, rektor Katedral St Mary menyatakan bahawa tema yang dipilih, ‘Popouavang Sunduvan Pisompuuvan Maza Koubsanan’ yang bermaksud ‘Memperkaya Semangat Perpaduan Melalui Kebudayaan’ adalah amat tepat dan bersesuaian kerana menerusi kepelbagaian budaya dan bahasa yang diamalkan untuk mengekalkan identiti masing-masing namum kita adalah satu dalam Kristus .


Selepas itu, perasmian Pesta Kaamatan telah disempurnakan oleh Bapa Uskup Julius Dusin Gitom bersama Fr Thomas diiringi oleh Fr Paul Lo, para sister fsic dan Pengerusi Penganjur dengan menuai 7 tangkai padi serta memukul Tagung (Gong) sebanyak 3 kali. Kemudian, Fr Thomas menyampaikan cenderamata kepada Bapa Uskup. Sejurus itu, diumumkan bahawa Gereja Our Lady Of Fatima, Beluran ialah tuan rumah bagi perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Paroki yang ke-6 pada tahun 2010.


Sepanjang majlis tersebut pelbagai persembahan telah diadakan. Kumpulan dari Katedral St Mary telah membuat persembahan koir, tarian tradisi iaitu Sazau Penampang dan kumpulan belia pula mempersembahkan sebuah lakonan yang bertajuk ‘Lagenda HuminodunThe Real Story’. Manakala, Gereja Our Lady of Fatima dengan tarian Sazau Labuknya, kanak-kanak dari Gereja St Mark mempersembahkan tarian Sazau Koubasanan dan Gereja St Paul pula dengan persembahan Mogunatip. Selain kumpulan dari kaum Kadazandusun, kaum lain juga ada membuat persembahan. Komuniti Pastoral Filipina dan Keluarga Indonesia telah mempersembahkan tarian tradisional mereka masing-masing.


Selain persembahan ada juga acara lain seperti nyanyian selingan, cabutan tiket bertuah, Sumazau terbuka dan Mengait Sundait (Teka Teki Tradisional) serta dua pertandingan iaitu Hinava om Hiing Tavasi (hinava dan lihing terbaik – makanan dan minuman tradisional) dan Mengait Ginumu Kacang (meneka bilangan kacang).


Walau apapun bangsa, umat beriman tetap satu di dalam Kristus. Seperti Kinoingan telah mengorbankan anak kesayangannya, Huminodun untuk menyelamatkan masyarakat daripada mati kebuluran, begitulah kesinambungan yang kita lihat sewaktu Yesus rela mati di kayu salib sebagai menurut kehendak Bapa di Syurga bagi menyelamatkan kita semua dari dosa.











No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent