Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, November 9, 2018

BELIA MISSIONARIS KATOLIK - LIFE IS A MISSION!


Dikumpul, disusun dan diolah semula oleh Girald Palipus

Program Belia Missionaris Katolik atau lebih dikenali sebagai BMk telah dianjurkan pada 26 - 28 Oktober 2018 di Kg. Mangkadait, Telupid. Berikut merupakan perkongsian dari beberapa peserta yang  mengikuti program ini.


Wendy Tony, Chapel St. Emmanuel, Liningkung, Telupid.
Sepanjang mengikuti program BMK ini saya telah tersentuh dalam sesi Jalan Salib(Via Dolorosa). Dalam sesi ini, saya dapat menghayati penderitaan Yesus Kristus selain daripada dapat merenungi perjalanan iman diri saya dengan lebih dalam lagi. Semasa Jalan Salib kami diminta untuk berjalan secara berpasangan untuk lebih fokus dan dapat merenung di setiap perhentian Jalan Salib tersebut. Dalam masa yang sama, kami akan berkongsi setiap renungan yang kami buat dengan pasangan Jalan Salib kami dan pada masa itulah saya dapat mengingati bagaimanakah perjalanan iman Katolik saya. Oleh kerana bapa saya dari denominasi Gereja Basel maka saya telah dibaptis dalam Gereja Basel. Namun sejak dari kanak-kanak lagi saya telah di didik dengan ajaran Katolik oleh ibu saya kerana beliau adalah seorang Katolik. Sejak dari itu saya lebih berminat untuk mendalami ajaran Katolik walaupun saya masih dalam denominasi lain. Sepanjang program juga saya dapat merasakan bantuan roh kudus dimana setiap aktiviti dilakukan saya dapat memberikan fokus dan merenung diri dengan lebih dalam lagi. Saya berharap agar program ini dapat diteruskan untuk membantu mempersiapkan lebih ramai belia agar berani menjadi misi tidak kepada diri sendiri sahaja namun kepada masyarakat sekitar dan kepada mereka yang memerlukan juga.


Clement Simeon Linus, Katedral St. Mary, Sandakan.
Shallom semua. Di sini saya ingin berkongsikan sedikit pengalaman saya yang saya dapat daripada program BMK ini. Pertama-tama sekali, saya berasa bersyukur sekali kerana dapat mengikuti program BMK ini, kerana saya tahu ada ramai lagi belia yang ingin mengikuti program ini namun tidak mempunyai peluang. Pengalaman yang saya dapati dalam program BMK ini ialah saya dapat merasai suasana perkampungan yang tenang lebih-lebih lagi dapat tinggal bersama keluarga angkat telah mengajar saya tentang erti hidup secara sederhana namun penuh kasih sayang. Saya juga berpeluang untuk mengenali ramai rakan baru yang seiman dalam Kristus Tuhan. Program ini tidak mempunyai sesi yang berat namun selepas sesi Jalan Salib kami mempunyai misi yang dimana kami akan bekerjasama menolong umat di Kg. Miruru untuk mengangkat beberapa guni yang berisi padi. Perjalanan ke ladang tersebut memerlukan kami untuk melintasi sebuah jambatan gantung yang panjang. Di sinilah timbul segala kerisauan dan keraguan terhadap diri saya sendiri untuk menjalankan misi saya ini. Namun syukur puji Tuhan saya mampu menjalankan misi ini dengan baik tambahan lagi saya mendapat kekuatan dengan melihat kanak-kanak yang masih kecil pun mampu membantu orang tua mereka untuk mengangkat guni padi sambil melintasi jambatan tersebut. Tuaian memang banyak namun pekerjanya sedikit, begitulah misi ini mengingatkan saya untuk terus berkerja di ladangNya Tuhan.  Saya berharap agar saya dapat mengikuti lagi program-program seumpama ini pada masa akan datang. Bah, itu sajalah sharing dari saya. Terima kasih Tuhan, terima kasih kawan-kawan dan terima kasih BMK.


Ivysia Lazarus, Chapel St. John Fisher, Mengkadait, Telupid.
Shallom semua kawan-kawan yang seiman dalam Kristus Tuhan. Saya merasakan diri saya terpanggil untuk mengongsikan sedikit sebanyak pengalaman saya semasa mengikuti program BMK ini. Program BMK ini merupakan program yang julung-julung kalinya di adakan di kampung saya sendiri iaitu Kampung Mengkadait. Ianya juga adalah program pertama yang pernah saya ikuti dan ianya sangat memberikan impak yang sangat mendalam bagi diri saya sendiri dan saya yakin begitu juga kepada kawan-kawan sekampung dengan saya. Di sini saya telah belajar tentang hidup ini adalah suatu misi dan tentang pentingnya misi itu sendiri kepada belia. Selepas Jalan Salib dan misi membantu umat di Kg Miruru, pada malamnya kami telah di pertontonkan tentang video perjalanan misi Fr. John Lee ( Fr. Lee Tae Sok) atau lebih di kenali sebagai Fr. Jolly. Saya sangat tersentuh dengan perjuangan Fr. Jolly yang sentiasa tersenyum dan  tidak pernah mengeluh dalam misinya untuk menolong umat di Sudan, Afrika. Berbanding dengan diri saya sendiri, untuk melintas jambatan gantung sahajapun sudah berasa penat dan mengeluh. Melalui dengan tayangan video tersebut saya berasa di kuatkan dan saya ingin terus meneruskan misi saya berkat bantuan kawan-kawan yang lain dan saya juga ingin membimbing kanak-kanak di kampung saya sendiri agar berjiwa missionaris. Akhir sekali dari saya ialah terima kasih BMK, because now I’m capable to always smile.


Daniel Hendricus, Gereja St. Martin, Telupid
Saya berasa amat diberkati apabila saya diberikan peluang untuk mengikuti program BMK ini. Saya merasakan yang Tuhan memanggil saya untuk menyertai program ini kerana ingin menguatkan lagi iman saya dan juga lebih bergiat aktif dalam pelayanan saya sendiri. Antara pengalaman yang saya perolehi adalah saya dapat memasuki chapel-chapel di kawasan pedalaman dan dapat membantu umat-umat di sana dengan mengongsikan cinta kasih Tuhan. Memikul misi sebagai belia Katolik turut menjadi suatu pengalaman yang amat bermakna bagi saya dimana saya di latih untuk menjadi seorang tabah dan berjiwa missionaris. Saya sangat tersentuh semasa perjalanan selepas Jalan Salib ke Kg. Miruru dalam perjalanan ke sawah padi. Ketika itu bahang panas mentari sangat terasa, dan pada ketika jugalah saya dan kawan-kawan belia yang lain berasa sangat haus. Di lorong laluan tersebut ada sebuah paip air bagi kegunaan umat di situ dan ianya bocor sedikit. Kami menghilangkan dahaga dengan meminum air dari paip yang bocor tersebut, dan di situ saya terimbas kembali  di mana Yesus yang di salib juga kehausan dan telah  di berikan minum cuka. Mengingati pada kesengsaraan Yesus itu, terasa amat kecil lagi penderitaan yang saya rasakan ini. Saya sangat berharap agar program ini tidak dihentikan sampai di sini sahaja dan harus di perluaskan lagi ketempat-tempat yang memerlukan. Selain itu, saya juga ingin lebih banyak belia akan mengikuti program seumpama ini apabila ianya dijalankan pada masa akan datang. Misi ini akan tetap di teruskan, terima kasih BMK.


Welvin Binson, Chapel St. Fedelis, Kiabau, Telupid
Shallom kawan-kawan belia semuanya. Mengikuti program BMK ini merupakan suatu keputusan yang terbaik saya  buat. Dalam program ini banyak yang telah saya pelajari dari kawan-kawan belia yang lain. Antaranya ialah mengenai erti kesabaran, kekuatan semangat diri dan juga untuk tidak mudah berputus asa jika menghadapi cabaran dalam iman. Menonton video tentang perjuangan Fr. John Lee (Fr. Lee Tae Sok) membuat saya tersentuh dan memberikan saya suatu misi baru dalam diri saya sendiri iaitu membantu mereka yang lebih memerlukan tanpa mengira siapa pun mereka. Ianya juga meneguhkan saya agar terus teguh dalam iman walaupun banyak cabaran yang mendatang. Melihat kanak-kanak riang dan aktif di Kg. Mangkadait turut menjadi inspirasi saya agar terus melayani dan menjadi teladan yang baik kepada mereka. Harapan saya untuk semua ini ialah agar program sebegini masih di anjurkan dan diluaskan, mungkin boleh menjangkau di kampung saya pada masa akan datang. Terima BMK, kerana memori indah ini akan saya ingati sampai bila-bila. Hatiku BMK, hatiku seorang missionaris Katolik.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent