oleh Staf Pejabat Pastoral Keuskupan Sandakan
Foto oleh Sdri. Airene Gumanas
Foto oleh Sdri. Airene Gumanas
SANDAKAN: Seramai 31
kakitangan pejabat dan luar pejabat Pusat Pastoral Keuskupan dan lima paroki di
seluruh Keuskupan Sandakan telah menghadiri rekoleksi selama tiga hari dua
malam di Pusat Pastoral Keuskupan Sandakan pada 14 hingga 16 September 2018. Tema
bagi rekoleksi kali keempat ini adalah “Sesungguhnya aku ini adalah hamba Tuhan; jadilah padaku
menurut perkataanMu” -Lukas 1:38. Fasilitator utamanya ialah Sdra.
Daniel Kong, salah seorang ahli Light of Jesus Christ Covenant
Community (LJCCC), Keuskupan Agung Kota Kinabalu.
Objektif rekoleksi ini adalah untuk mempelajari dan meneladani
Bonda Maria sebagai seorang yang beriman dan merendahkan hati. Selain itu,
rekoleksi juga bertujuan mengeratkan lagi hubungan dan saling menghargai antara
sesama staf dan menguatkan lagi iman mereka agar hubungan dengan Tuhan lebih
dekat dan teguh.
Pada hari pertama 14hb September, program dimulakan dengan
Misa Pembukaan yang diselebrankan oleh Paderi Paroki Katedral St. Mary Sandakan
Rev. Fr. David A. Garaman. Fr. David dalam homilinya telah menyemarakkan
semangat para staf yang bekerja sepenuh masa di gereja untuk menjadi seorang
Kristian yang benar. Sempena merayakan Pesta Salib Suci (The Exultation of
the Holy Cross) Rev. Fr. menjelaskan bahawa penterjemahan yang tepat bagi Pesta
Salib berdasarkan Bahasa Yunani atau Greek ialah meninggikan salib yang mulia
dan memberi kehidupan. Ini membawa makna bahawa Yesus Kristus memberi kehidupan
kerana Dia disalibkan demi menebus dosa-dosa manusia. Pada zaman dahulu,
penyaliban itu adalah satu bentuk hukuman yang dianggap paling merendahkan
martabat seorang manusia dan terkutuk atau hina kerana sesiapa sahaja yang
telah melakukan kesalahan yang berat, bagi mereka akan diberi hukuman
sedemikian sehinggakan seluruh ahli keluarga para pesalah juga turut dianggap
sebagai yang tidak baik atau penjahat.
Fr. David menambah, menurut sejarah gereja, salib sejati
telah ditemui oleh Santa Helena iaitu ibu kepada Constantine yang menjadi
penguasa Kekaisaran Romawi. Helena hidup dari pertengahan abad ketiga hingga
awal tahun 300an. Helena mengembara ke seluruh empayar untuk berbuat baik.
Helena menjadi seorang Kristian ketika dia berusia 63 tahun. Kemudian, dia
pergi ke Palestina untuk melihat di mana Yesus berjalan dan berbicara dan
wafat. Sementara di Palestina, Helena menyuruh para pekerja menggali tanah.
Mereka menemukan sebuah salib. Helena percaya bahwa Yesus telah mati di salib
itu, dan dia membawa sebagian besar kembali ke Roma bersamanya. Di situs itu di
Yerusalem, telah didirikan Gereja Makam Suci.
Fr. David menjelaskan bahawa kerana salib itu, Yesus
sendiri ditinggikan. Kini, salib menjadi lambang bagi orang Kristian kerana
salib itu bukan lagi satu tanda penghinaan namun telah menjadi tanda kekuatan
kerana Tuhan Yesus mati di kayu salib demi menyelamatkan manusia iaitu satu
tanda kemenangan. Maka dengan ini, Fr. David mengingatkan kepada semua agar
jangan malu atau takut memakai salib apabila berada di mana-mana, di luar
gereja untuk menunjukkan bahawa kita adalah orang Kristian yang beriman dan
yakin bahawa Kristus adalah Juruselamat. Salib Yesus itu telah mengubah manusia
menjadi alat penginjilan kepada orang lain yang melihat cara hidup orang
Kristian benar yang sentiasa mulia, mencontohi Yesus yang telah bangkit dari
kematian. Dengan ini, iman Kristian adalah iman yang bangkit.
Sesi pertama ialah 'Aku ini hamba Tuhan' disampaikan
oleh saudara Daniel Kong. Dalam sesi ini, Sdra. Daniel Kong mengatakan
tentang menerima panggilan Tuhan dengan kerendahan hati. Beliau turut
berkongsi tentang pengalaman pelayanan beliau di Keuskupan Agung Kota
Kinabalu di mana Tuhan selalu mencukupkan keperluan hidup keluarganya. Sdra.
Daniel banyak memberi pengajaran kepada semua kakitangan bahawa untuk bekerja
di gereja, adalah bukan mengenai apakah jenis pekerjaan yang dilakukan tetapi
bagaimana untuk melaksanakan tugasan atau pekerjaan itu. Beliau meyakinkan
melalui pengalaman beliau sendiri bahawa Tuhan menganugerahkan kepada kita
pelbagai kebaikan yang jauh lebih besar dari segala-segalanya apabila kita mengatakan
‘YA’ kepada Yesus dalam pelayanan pada setiap hari.
Sesi berikutnya ialah 'Terjadilah Padaku Menurut
PerkataanMu'. Dalam sesi ini, Sdra. Daniel telah
mengajukan soalan kepada semua kakitangan, “Adakah kamu menyayangi Tuhan?
Sekiranya ya, apakah yang kamu mampu buktikan kepada Tuhan? Beliau turut
mengatakan bahawa kita perlu meluangkan masa dengan Tuhan sekiranya kita mahu
membawa cinta kasih Tuhan. Jika kita setia meluangkan masa untuk Tuhan, kita
akan benar-benar mengenali Tuhan kerana dengan ini kita akan dapat
merasakan cinta kasih serta kekuatan iman bagi peribadi sendiri terlebih
dahulu. Setelah itu, orang lain pasti akan mengalami cinta kasih Tuhan melalui
pelayanan kita kerana kita akan melayani sesama dengan cinta kasih seperti
Yesus mengasihi kita. Apabila kita bersaksi sebegini, kita akan menjadi
bukti kepada cinta kasihNya dan dalam masa yang sama memberi kesaksian dan
bukti kepada orang lain pula. Pelayanan yang ikhlas melayani Tuhan seperti
ini akan memperolehi sukacita untuk selama-lamanya.
Pada hari terakhir rekoleksi, sesi ketiga bertajuk, 'Menjadi
Anugerah kepada Gereja dan Cahaya Kristus'. Sdra. Daniel mengongsikan
bagaimana kita dapat menjadi anugerah bagi gereja. Beliau mengatakan bahawa
kita perlu mencabar diri sendiri untuk melihat dalam hati kita dan perlu
mengakui bahawa kita adalah orang yang berdosa dan perlu menerima Tuhan dengan
penuh kerendahan hati serta mengatakan, "Tuhan sekiranya Engkau tiada,
saya tidak ada mempunyai apa-apa’. Beliau juga mengatakan bahawa apa yang paling
penting adalah Yesus Kristus menjadi keutamaan di dalam kehidupan. Untuk
menjadi anugerah gereja, kita perlu membangun dengan penuh kekudusan serta
mempunyai sikap sentiasa memberi layanan yang baik kepada orang lain.
Rekoleksi Staf 2018 ini telah diakhiri dengan Misa Kudus
Penutupan yang telah diselebrankan oleh Bapa Uskup Julius Dusin Gitom, Uskup
bagi Keuskupan Sandakan. Yang Mulia menyatakan dalam homilinya bahawa
pertanyaan Yesus, “Menurut kamu siapakah Aku ini?” sesuai untuk direnungkan
dalam sesi penutupan ini.
Tuhan Yesus telah dilahirkan oleh seorang wanita dan
mengalami kehidupan sebagai seorang anak manusia biasa. Sebelum Yesus
disalibkan, Dia telahpun mengalami penyaliban dalam kehidupanNya kerana
sentiasa diancam bahaya, hidup dalam serba kekurangan serta tidak pernah
mendapat pendidikan rasmi. Namun demikian, Tuhan Yesus pernah melakukan banyak
pekerjaan dengan mempelajari pelbagai kemahiran daripada orang di sekeliling
terutama ibu dan bapaNya ini termasuklah membaca, menulis dan mengira. Bapa
Uskup mengajak para peserta rekoleksi untuk melihat kehidupan mereka sendiri
yang banyak cabaran dan kesusahan termasuklah dalam pekerjaan masing-masing.
Bapa Uskup mengingatkan semua bahawa Tuhan Yesus berada di mana-mana dan
bersama dengan sesiapa sahaja termasuk mereka yang miskin dan para pendosa
semasa Dia hidup sebagai manusia biasa.
Maka, beliau menegaskan bahawa Tuhan Yesus juga sentiasa
berada dalam kehidupan, berjalan bersama para pelayan di gerejaNya, di setiap
kelas atau tingkat kehidupan mereka berada. Bapa Uskup juga mengingatkan semua
dengan kata-kata Tuhan Yesus, “Sesiapa yang memikul salib, dia layak menjadi
muridKu”, bahawa apapun salib dalam kehidupan seharian mereka, mereka harus
mengangkat salib itu dengan penuh keyakinan dan keimanan kerana hanya orang
yang beriman yang dapat mengenali siapakah Tuhan Yesus sepenuhnya.
Setelah rekoleksi ini selesai, ramai yang memberi respon
yang baik terhadap program ini ramai yang mengatakan bahawa apa yang mereka
perlukan di dalam pelayanan mereka adalah berdoa agar terus diperolehi
kekuatan, belajar untuk merendahkan diri, berfikiran terbuka, memperbaiki cara
bekerja, berkongsi sesama rakan kerja, dan memperbaiki diri untuk menjadi lebih
baik. Berikut merupakan kata-kata perkongsian daripada beberapa peserta apabila
ditanyakan perasaan mereka selepas mengikuti rekoleksi ini:
"Saya rasa confirmed!"
Sdri. Eva Siruno
Kakitangan Pusat Pastoral Keuskupan Sandakan
|
"Saya rasa terharu." Sdri. Salva S. Romacho Kakitangan Pejabat Paroki Holy Trinity, Tawau "Saya rasa bahagia." Sdri. Maria Lourdes Kakitangan Luar Pejabat Paroki St. Martin, Telupid |
"Saya rasa enjoy kerana dapat bersama kawan-kawan."
Sdra. Patrict Boligus
Kakitangan Luar Pejabat Paroki Katedral St. Mary, Sandakan
"Saya rasa sangat berpuas hati!"
Sr. Martina James, fsic
Kakitangan Pusat Pastoral Keuskupan Sandakan
|
"Saya rasa blessed."
Sdri. Elaine V. Alejandro
Kakitangan Pejabat Paroki St. Dominic, Lahad Datu
|
Semua peserta sebulat suara mengatakan bahawa rekoleksi ini harus diteruskan. Maka, rekoleksi kali yang ke-5 akan dijalankan selepas dua tahun berikutnya iaitu pada tahun 2020 dengan izin dan sokongan daripada Uskup dan para paderi di Keuskupan Sandakan.
No comments:
Post a Comment