Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, June 4, 2018

MAJLIS MAKAN MALAM AMAL KAWAI GEREJA ST. MARK 2018

Artikel oleh Fennexlee Edesius Mejeh

Sandakan -  "Kawai" merupakan gabungan perkataan antara Pesta Kaamatan dan Pesta Gawai yang dirayakan pada setiap tahun. Pada 23 Mei 2018 yang lalu, julung kalinya Komiti Gereja St. Mark telah mengadakan majlis makan malam amal yang bertujuan untuk mencari dana bagi sambutan perayaan Hari Kawai. Perayaan ini seiring dengan Visi dan Misi gereja iaitu “Komuniti berpusatkan Kristus, melayani sesama dengan kasih” di mana Majlis makan malam amal ini telah mendapat sokongan yang amat baik daripada umat Katolik Paroki Katedral St. Mary Sandakan. Dianggarkan seramai 300 umat yang hadir memberikan sokongan dalam majlis makan malam amal tersebut.
Sdra. Dimeh Koyopo
Saudara Dimeh Koyopo selaku Pengerusi Majlis Pastoral Umat Katolik Gereja St. Mark mengucapkan terima kasih kepada semua dermawan umat Katolik Paroki Sandakan dan tim penganjur Hari Kawai serta umat dari Sarawak yang telah memberikan kerjasama mahupun sokongan bagi menjayakan majlis makan malam amal tersebut. Beliau berharap kerjasama sedemikian dapat diteruskan di masa akan datang. Beliau juga mengalu-alukan kehadiran umat Katolik Paroki Sandakan amnya bagi umat Gereja St. Mark untuk bersama-sama memberikan sokongan  bagi acara kemuncak Hari Kawai yang akan diadakan pada 9hb-10hb Jun 2018 yang bertempat di Gereja St. Mark.
Rev. Fr. David Garaman
Rev. Fr. David A. Garaman selaku paderi Paroki Sandakan mengucapkan tahniah dan syabas kepada tim penganjur atas kejayaan majlis makan malam amal tersebut. Majlis makan malam amal tersebut bukan sahaja bertujuan untuk menderma tetapi juga respon umat terhadap panggilan Visi dan Misi gereja serta mengenali antara satu sama lain. Beliau menambah majlis makan malam tersebut bukan suatu pengakhiran malah suatu permulaan untuk meneruskan kesatuan antara umat Katolik dalam memberikan sokongan terhadap aktiviti-aktiviti gereja yang akan diadakan.
Acara makan malam dimulakan dengan doa yang dipimpin oleh Fr. Christopher Ireneus. Majlis makan malam amal menyajikan makanan yang berkonsepkan makanan tradisi Sabah dan Sarawak seperti hinava, tivak+sinalau, kerabu tontidok punti, bosou, tuhau, asi pulut pansoh, manok pansoh, janik pansoh dan coconut wine. Turut dihiburkan dengan beberapa persembahan seperti Tarian Kenyah dan Tarian Ngajat Indu daripada umat Sarawak, pementasan Kisah Hominodun dan Tarian Sumazau daripada Belia Mark-Peter (BMP) serta persembahan nyanyian daripada beberapa jemputan khas.
Penyerahan cenderahati kepada Sdra. Isaac Pang
Majlis makan malam amal Kawai Gereja St. Mark telah berlangsung dengan jayanya disamping dapat melihat kesatuan dan kesungguhan umat Katolik di Paroki Sandakan khususnya umat Gereja St. Mark. Pihak komiti Gereja St. Mark berbesar hati mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Diharapkan agar semangat ini dapat diteruskan dalam menyahut serta menghidupkan panggilan Visi dan Misi gereja.
Penyerahan cenderahati kepada Fr. Sunny Chung
Penari-penari Ngajat Indu
Penari-penari Tarian Kenyah

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent