Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, June 14, 2018

JADILAH SAKSI KRISTUS

Artikel dan gambar oleh Dominggus

St. Dominic, Lahad Datu – Komiti Inisiasi Kristian Dewasa telah mengadakan Majlis Kesyukuran Baptisan Baru pada 27hb Mei 2018. Kira-kira seramai 60 orang termasuk Para Baptisan, ahli keluarga, penanggung, para jemputan khas iaitu Rev. Fr. Marcellinus Pongking selaku Pembantu Rektor Paroki, Saudara Sebastian Francis, Penyelaras Komiti Katekatikal Pusat serta Saudara Thomas Rakian, wakil dari komiti Majlis Pastoral Paroki (MPP) menghadiri majlis tersebut. Acara bermula pada jam 11 pagi dengan perarakan masuk para baptisan baru yang membawa lilin sambil menyanyikan lagu JADILAH SAKSI KRISTUS.
Saudara Bob Remon selaku Penyelaras Komiti Insiasi Kristian Dewasa (IKD) telah di beri peluang untuk beri ucapan. Beliau mengungkapkan setinggi tahniah kepada baptisan baru kerana setelah setahun berjuang dan menempuh pelbagai rintangan bersama-sama di dalam IKD, mereka semua telah menjadi seorang Katolik dengan sepenuhnya. Ini semua atas kepercayaan dan keikhlasan hati para baptisan baru yang betul-betul mahu mencari Tuhan Yesus.  Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada penanggung kerana telah bekerjasama dengan pihak IKD untuk membantu para baptisan baru ini sehingga menjadi pengikut Yesus Kristus. “Saya sebagai seorang pembimbing, berharap supaya kamu para baptisan baru menghidupi dan mengimani apa yang kamu peroleh daripada sakramen inisiasi pada malam paska yang lalu. Jagalah semua itu seperti menjaga pakaian putih, oleh sebab ia sangat putih yang sama seperti air putih, kalau ia terkena setitik sahaja kotoran pada kain itu, ia akan menjadi kotor. Seperti iman kita, kalau kita dekati sesuatu yang tidak baik ia akan mudah tercalar. Jadi jagalah iman kamu dengan baik.” Demikian nasihat dari saudara Bob dalam mengakhiri ucapannya.
Selepas itu, saudara Sebastian turut mengucapkan tahniah kepada baptisan baru dan menyeru mereka semua untuk menjadi ‘kaki’ dan ‘tangan’ Yesus di dalam misi menyebarkan khabar gembira penyelamatan Kristus dengan pimpinan Roh Kudus yang sudah hadir dalam kehidupan seharian setiap baptisan baru. Beliau juga mengatakan bahawa inilah titik permulaan mereka sebagai seorang Kristian katolik dan berharap supaya mereka menjadi Saksi Kristus. “Setelah menerima sijil, ‘ini bukanlah penghujung’ dan sijil itu menjadi tiket ke syurga. Ini merupakan permulaan bagi kehidupan Kristian kita. Walaupun sudah berumur ataupun masih muda, apabila kita dibaptis itu adalah ‘Permulaan’ hidup sebagai Kristian katolik. Saya berharap para baptisan baru tidak mencontohi orang-orang yang pergi ke gereja tapi tidak mengikuti misa atau perayaan ekaristi. Kita datang ke gereja untuk sembahyang, iaitu menerima Sabda Tuhan dan menerima Kristus di dalam komuni kudus, untuk menerima Yesus di dalam kehidupan kita, dan supaya kita yang sudah di baptis ‘menjadi saksi-saksi Kristus’.” Demikian ucapan dari saudara Sebastian.
Rev. Fr. Marcellinus juga mengucapkan terima kasih kepada para pembimbing kerana telah membimbing para baptisan baru ini selama setahun sehingga mereka mendapat sakramen inisiasi. Terima kasih juga kepada ahli keluarga dan para penanggung kerana sentiasa berada bersama para baptisan baru dan ucapan tahniah juga kepada semua baptisan baru di atas ketabahan dan kesetiaan dalam mengikuti kelas IKD.
Selepas ucapan berakhir, doa makan telah dipimpin oleh Fr. Marcellinus dan majlis diteruskan dengan pemotongan kek disusuli dengan tayangan video aktiviti para baptisan baru. Para baptisan baru juga telah menyediakan dua persembahan iaitu nyanyian koir bertajuk ‘KARNA SALIB-MU’, dan sebuah drama yang bertajuk ‘GOSPEL DRAMA’. Majlis menutup tirai dengan penyerahan sijil serta pengutusan disusuli dengan doa penutup yang dipimpin oleh Fr. Marcellinus dan acara gambar beramai-ramai. Majlis selesai kira-kira jam 1:30 petang.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent