Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, June 2, 2015

Hari Kedua Ziarah Hati KPIK 2015

Oleh DS/sj
Hari Kedua, Sabtu, 2hb Mei 2015
Para peserta menjalani sesi 'Ziarah Hati' di Bukit Ave Maria terletak berhadapan dengan Pusat Pastoral Keuskupan Sandakan. Melalui renungan doa Rosari, Sr Maria membawakan fokus sesi doa untuk:
1. Perjalanan hidup ahli-ahli KPIP/KPIK juga ahli keluarga mereka masing-masing 
2. Misi pelayanan KPIP/KPIK
3. Ahli KPIP/KPIK yang tidak dapat hadir ke Program Ziarah Hati 2015
Pembukaan:
Perwartaan Injil: YOH 14:7-14 (Yesus jalan kepada Bapa)
Renungan: Kadangkala ada perkara yang menghalang kita daripada mengenal dan melihat kehadiran Yesus dalam peribadi orang lain ataupun sesuatu misi walaupun sudah lama kita mengimaniNya. Marilah kita merenung semasa berjalan bersama ini, di manakah arah tuju misi pembangunan insan di Keuskupan Sandakan yang telah dipercayakan kepada kita oleh Bapa Uskup Julius. Kita diamanahkan membuka jalan serta membentuk batu asas pelayanan yang kukuh agar orang yang seterusnya dapat menyambung pelayanan ini pula.
Peristiwa Terang Pertama:
Yesus dibaptis di Sungai Yordan (Mat 3:16-17)
Renungan: Penglibatan kita di dalam Pelayanan Komiti Pembangunan Insan merupakan satu tanda bahawa kita menyahut panggilan dan menepati janji pembaptisan. Pembaptisan adalah tanda permulaan bahawa kita mati di dalam kelemahan kita tetapi mengizinkan Tuhan untuk masuk ke dalam peribadi kita, rohNya berkerja di dalam kita.
Peristiwa Terang Kedua:
Yesus menyatakan diriNya dalam pesta pernikahan di Kana (Yoh 2:11)
Renungan: Ini adalah mukjizat pertama yang telah Tuhan Yesus lakukan iaitu untuk keluarga. Perkahwinan merupakan satu batu asas untuk membentuk sebuah keluarga. Beliau menambah bahawa apa sahaja yang diperolehi hasil daripada pelayanan di gereja dapat memberi manfaat kepada keluarga di mana kasih sayang akan berkelimpahan. Namun, jika pelayanan itu membuat kita jauh dari keluarga, atau mengabaikan komitmen kita terhadap keluarga, kita perlu merenung dan mempertimbangkan kembali "tujuan" kita dalam melayani. Maka, dalam peristiwa ini semua diberi kesempatan mendoakan ahli keluarga masing-masing.
Peristiwa Terang Ketiga:
Yesus memberitakan Kerajaan Allah dan menyerukan pertobatan (Mat 4:17-23)
Pada peristiwa ini, setiap yang hadir mengongsikan pengalaman mereka semasa dipanggil untuk melayani dalam komiti atau komisi tersebut:-

Perkongsian:
Sr Maria - "Ketika menerima surat perlantikan daripada Bapa Uskup pada 1hb April 2011, banyak perkara  yang perlu saya dipertimbangkan kerana saya mempunyai komitmen-komitmen pelayanan lain dalam Pusat Kebajikan Good Shepherd (PKGS) dan Kongregasi Sister Gembala baik itu sendiri. Namun, kerana melihat keperluan pelayanan ini di Keuskupan, dan memang sejajar dengan Misi dan Pelayanan Kongregasi kami, maka dengan doa dan dorongan serta sokongan daripada sister dan rakan sepelayanan, akhirnya saya menerima lantikan sebagai satu panggilan iman."
Hildi - "Walaupun agak berat hati menjawab panggilan tersebut namun saya tetap memberi peluang kepada diri sendiri dan mahu mencuba kerana agak sukar mencari orang yang sanggup memikul tanggungjawab besar ini. Sememangnya banyak cabaran yang saya hadapi kerana saya juga ada beberapa komitmen pelayanan lain di Paroki Sandakan."
Klemen  - "Saya menyahut panggilan untuk melayani dalam KPIP Sandakan apabila dipelawa oleh Sr Maria untuk mengikuti satu pertemuan khas dan sesi pengenalan terhadap pembangunan insan pada 25hb Januari 2015. Saya memang sudah membuat program pembangunan insan di dalam komuniti Indonesia. Saya melihat betapa pentingnya pembangunan insan di basis - basis KBKI. Contohnya pendidikan adalah keperluan asas manusia bagi anak-anak kami."
Stella  -  "Saya tidak menjangkakan akan berada dalam pelayanan KPIP Sandakan ini di mana saya hanya mengikuti suami saya, Hildi pergi ke mesyuarat peringkat komisi pada Bulan Disember 2014. Hati saya telah tersentuh dan terbuka untuk membantu dalam pelayanan ini apabila mendengar akan ceramah untuk sesi pembentukan selepas mesyuarat tersebut. Apatah lagi apabila mengetahui bahawa komiti Paroki Sandakan masih kekurangan ahli."
Mirasol -  "Saya juga seperti Klemen yang telah menyahut panggilan untuk melayani selepas menghadiri sesi pertemuan khas dan sesi pengenalan tersebut. Saya memang ada kerinduan untuk melayani. Inilah yang benar-benar telah mendorong saya menerima panggilan ini."
Terry Theresa  -  "Saya sebenarnya mempunyai niat untuk menolak perlantikan menjadi ahli KPIP Telupid selepas sesi pemilihan pada 24hb Jun 2012. Namun, saya meneruskan niat untuk memberi peluang kepada diri saya mempelajari serta memahami apakah erti dan misi sebenar pelayanan ini. Semasa berjalan bersama Sr Maria dan KPIK Sandakan, saya dapat merasakan bahawa sesi-sesi yang telah dijalankan amat menyentuh kehidupan saya sendiri. Sekarang, walaupun terdapat banyak cabaran dalam komiti itu sendiri tetapi saya masih komited dan mahu terus melayani dalam KPIP Telupid."
Eufronio  - "Walaupun  sudah berusia lanjut saya tetap bersyukur kerana masih berkesempatan untuk melayani dalam KPIP Telupid. Saya menyahut panggilan terhadap pelayanan ini apabila menerima pelawaan saudari Terry. Saya tertarik untuk melayani apabila mendengar sesi ceramah yang telah Sr Maria berikan di beberapa Komuniti Kristian Dasar (KKD) di Paroki Telupid. Saya akan berusaha untuk memberikan apa yang termampu dalam misi pelayanan ini."
Petrus Bean  - (Peserta jemputan dari KBKI Paroki Sandakan) "Saya melihat dalam pelayanan ini, kita seperti seorang penjala ikan (pembawa khabar gembira). Semasa pergi menjala, haruslah dipastikan agar jala (peribadi pelayan) berada dalam keadaan baik dan tidak koyak (tidak mempunyai masalah peribadi, dalam keadaan bersedia dan sebagainya). Jika jala tersebut koyak, kita haruslah menjahit jala (menyelesaikan masalah dan sebagainya) tersebut terlebih dahulu agar kita mendapat ikan apabila pergi menjala." Petrus mengatakan bahawa sekiranya kita terjatuh semasa melayani, kita harus bangkit kembali dan meneruskan pelayanan.  

Peristiwa Terang Keempat:
Yesus menampakkan kemuliaan-Nya (Mat 17:1-9)
Renungan: Apabila kita berada dalam kesulitan, Tuhan akan hadir dan memberikan kita semangat dan kekuatan sehinggan kita dapat melihat kemuliaanNya. Pelayanan dalam pembangunan insan bukan terhad di suatu kawasan, tempat dan komuniti sahaja tetapi harus lebih luas sehingga dapat menjangkau lebih jauh serta lebih ramai orang. Salah satu misi pembangunan insan ialah dapat membuat semua komuniti mendengarkan suara Tuhan yang berbicara, "Inilah AnakKu yang Kukasihi, kepadaNyalah Aku berkenan, dengarkanlah Dia". Kekuatan serta permohonan doa bagi semua insan yang dilayani, para uskup, paderi, religius, semua pemimpin gereja dan ketua-ketua komuniti telah didoakan semasa peristiwa keempat ini.
Peristiwa Terang Kelima:
Yesus menetapkan Ekaristi (Mrk 14:22-24)
Renungan: Sebagai pengikut Kristus kita diminta untuk memecah-mecahkan roti kehidupan. Yesus berkata, "Inilah TubuhKu, inilah DarahKu yang akan dikorbankan bagimu". Melalui pelayanan pembangunan insan, Yesus mengajak kita untuk memecah-mecahkan diri kita untuk melayani orang yang kita tidak kenali, orang yang benar-benar memerlukan demi keselamatan mereka. Ini merupakan tuntutan kasih yang terutama iaitu memberikan diri kita kepada orang lain.
Selepas berehat, Sesi 'Mengenal Hati Yesus dan Maria' pula dijalankan. Para peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan dan diminta untuk mencari petikan-petikan alkitab mengenai ciri-ciri hati Yesus dan Bonda Maria. Selepas itu, sesi pembentangan hasil perbincangan kumpulan dijalankan. Antara petikan alkitab yang diperolehi ialah:-
  • LUK 1: 38 "Aku ini hamba Tuhan, terjadilah menurut kehendakMu".-Maria (Bonda Maria menyahut kehendak Allah Bapa dan rela mengandungkan Tuhan Yesus melalui kuasa Roh Kudus walaupun dia masih dara)
  • LUK 1:42-43 "Berbahagialah kamu antara semua wanita! Berbahagialah anak yang akan kamu lahirkan itu!" Mengapakah penghormatan sebesar ini diberikan kepadaKu, sehingga ibu TuhanKu datang melawat aku?" -Elisabet (Pengakuan bahawa Bonda Maria mengandungkan Tuhan Yesus)
  • LUK 2: 34-35 "Anak ini sudah dipilih oleh Allah untuk membinasakan dan menyelamatkan banyak orang Israel. Dia akan menjadi tanda daripada Allah, yang akan dilawan oleh banyak orang, dan dengan demikian terdedahlah rahsia fikiran mereka. Seperti pedang tajam, kesedihan akan menikam hatimu." (Yesus dipersembahkan di Bait Allah. Simeon memberitahu akan penyaliban Yesus pada masa akan datang namun Yusuf dan Maria belum dapat memahami) 
  • LUK 2:48-49 "Nak, mengapa berbuat seperti ini terhadap ayah dan ibu? cemas hati ayah dan ibu mencariMu!"-Maria dan "Mengapa mencari Aku? Tidakkah Aku harus di rumah BapaKu?"-Yesus (Yesus hilang dan ditemukan di Bait Allah. Yesus cuba memberitahu kepada kedua ibu dan bapanya bahawa Dia harus berada di sana kerana Dia adalah Anak Tuhan)
  • YOH 2: 4-5 "SaatKu belum tiba."-Yesus dan "Lakukan apa sahaja yang dikatakanNya kepada kamu."-Maria (Yesus rela melakukan mukjizat demi kasihnya kepada Bonda Maria walaupun belum tiba saatnya bagi Tuhan Yesus.) 
  • MRK 3:33 "Siapa ibuKu? Siapa saudara-saudaraKu?" -Yesus (Siapa yang melakukan kehendak Allah, dialah ibu dan saudara-saudara Yesus)
  • YOH 19: 26-27 "Ibu, inilah anakmu." dan "Anak, inilah ibumu." -Yesus (Tuhan Yesus ingin memberitahu bahawa Bonda Maria adalah ibu bagi semua orang yang percaya kepadaNya)
Rumusan sesi: Ajakan untuk melihat dengan mata iman - bagaimana Jalan Salib, cerita 'The Fourth Wise Man' memaparkan perjalanan iman kita. Ia adalah merupakan pengalaman hidup seharian kita. Demikian juga, amalan Devosi kepada Hati Yesus dan Hati Bonda Maria tercipta hasil dari renungan iman yang dibimbing oleh kebenaran dari Roh Kudus. Melalui Maria, Yesus datang kepada manusia dan akhirnya manusia datang kepada Yesus melalui Maria (Maria menjadi pengantara doa manusia kepada Tuhan dan juga menjadi contoh kesetiaan iman yang tinggi kepada Kristus).
Maka, dalam pembangunan insan Sr Maria berharap agar ahli-ahli dapat mencontohi Maria dalam melakukan kehendak Tuhan dan mendalami ciri-ciri hati kudus Yesus dalam pelayanan iaitu belas kasihan, kebijaksanaan, keadilan dan kekuatan hati demi kemuliaan Tuhan. Sr Maria juga mengingatkan para ahli agar bersedia untuk menghadapi 'pedang' yang akan menembusi hati mereka semasa melakukan pelayanan ini (cabaran dan dugaan).

Renungan melalui Permainan (Sesi Petang):  
'Permainan Sukacita Injil'. Para peserta diminta bergilir-gilir memakai semua peralatan yang telah disediakan dan cuba membuka lekatan-lekatan pada pembungkus sehingga mengetahui isi dalam bungkusan tersebut.
Kemudian Sr Maria memberi penjelasan kepada maksud permainan tersebut dan para peserta turut membuat perkongsian akan perasaan mereka, cabaran dan kesukaran yang dihadapi semasa bermain. Moral permainan ini dikaitkan dengan pelayanan mereka dalam pembangunan insan di mana mereka perlu tahu apa yang perlu dibuat dan apa cara yang harus digunakan agar misi berjaya.
Dalam pelayanan pasti ada sahaja halangan seperti tidak cukup masa, jika tersilap cara akan mendatangkan kesan buruk, ada juga yang tidak ingin pergi kerana halangan peribadi atau kurang keyakinan diri, kemahiran dan pengetahuan. Kadangkala juga terdapat bermacam jenis 'beban' yang harus dipikul ketika misi sedang dijalankan. Tetapi, apabila sampai di satu tahap yang mana kejayaan hampir dapat dicapai, semangat kita meningkat. Tanpa mengira apa-apa halangan serta berbekalkan sokongan dari orang lain, maka dengan apa cara sekalipun misi tetap diselesaikan juga.
Kemudian sesi terakhir untuk hari yang kedua adalah Sesi: 'Mari dan Lihatlah.' Sr. Maria menjelaskan bahawa sesi ini bertujuan memberi latihan praktikal dan mencabar para ahli untuk 'turun padang' dalam melakukan penjangkauan dan melihat realiti kehidupan di kawasan Bandar Sandakan pada waktu malam. Sr Maria sendiri bersama ahli telah dibahagikan kepada empat kumpulan. Perkongsian tentang pengalaman sesi ini telah dikongsikan pada keesokan harinya.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent