Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, June 4, 2015

"Akulah pokok anggur dan kamulah ranting-rantingnya."

Oleh Helda Japanis
Temubual bersama Seminarian Alfonsus George Minkui dibuat sebaik selesai Upacara Pemberkatan dan Perasmian Kapela St Angeline, Madai pada 24hb Mei 2015.
Seminarian Alfonsus George Minkui, merupakan anak sulung dari empat orang adik beradik. Anak watan dari Kg. Madai ini telah menamatkan sesi persekolahannya di Kunak dari sekolah rendah hinggalah ke peringkat sekolah menengah.
Selepas menamatkan persekolahan menengahnya, seminarian  Alfonsus telah bekerja di Kota Kinabalu. Tidak lama kemudian dia telah mendapat pekerjaan yang lebih stabil di Maybank, Kunak di bahagian kaunter selama tiga tahun.
ALFONSUS GEORGE MINKUI
Titik bermula panggilannya adalah apabila dia merasa ada sesuatu yang masih kurang dalam dirinya walaupun sudah mempunyai pekerjaan yang baik. Dia tidak ketinggalan beribadah setiap minggu. Sehinggalah pada suatu hari ada seorang seminarian yang telah memberitahu dan mendorongnya untuk mengikuti seminar panggilan di Bundu Tuhan. Hatinya terbuka untuk turut serta dan pada bulan Oktober 2011, dia menyertai seminar panggilan sebagai peninjau. Peserta dalam seminar tersebut pada ketika itu melebihi seratus orang jumlahnya. 

Melalui seminar ini para peserta dapat mendengar dan mengetahui bagaimana proses pembentukan diberikan kepada para seminarian. Sesi temuduga pula dilakukan oleh pihak paderi untuk mendapatkan maklum balas dan pemilihan peserta yang layak.  Antara perkara yang ditanya semasa sesi temuduga adalah seperti bidang pekerjaan, tempoh dan persiapan peribadi. Selepas temuduga tersebut Seminarian Alfonsus telah diberi masa oleh Fr. Wilfred Atin selama tiga bulan untuk membuat keputusan dan persiapan.
Pada bulan Januari 2012, Seminarian Alfonsus mengikuti seminar panggilan di Bundu Tuhan buat kali kedua. Tetapi, kali ini dia telah pun bersedia dengan keputusannya.  Tamat sahaja seminar tersebut, dia diterima untuk memulakan sesi pembentukan tahun pertama sebagai aspiran yang lebih mengutamakan penguasaan Bahasa Inggeris.
Seminarian Alfonsus (pertama dari kiri)
Empat tahun telah berlalu, kini Seminarian Alfonsus berada di tahun kedua Falsafah. Dia berasa sangat berbeza berbanding dengan di awal pembentukannya. Melalui pembentukan peringkat demi peringkat di seminari, dia telah mempelajari banyak tentang kehidupan dan pembangunan rohani. Apa yang dia mahu selama ini telah terjawab dan salah satu buah rohani yang diperolehinya adalah kedamaian yang tidak dapat dibeli dengan wang.
Walau bagaimanapun dalam proses pembentukan, kadang-kadang dia mengalami saat berasa goyah dan berasa khuatir. Ketika berasa goyah, dia akan berjumpa dengan pembimbing rohaninya atau orang tertentu untuk mendapatkan kaunseling. Namun untuk mengatasi semua kegoyahan dan mendapat semula kekuatan semangat itu, menurutnya adalah bergantung utama kepada inisiatif diri sendiri. Biasanya dia akan selalu bermeditasi, berdoa dan merasakan kehadiran Tuhan sesuai dengan Injil Yesus Kristus dalam Yohanes 15: 5..."Akulah pokok anggur dan kamulah ranting-rantingnya. Barangsiapa tinggal di dalam Aku dan Aku di dalam dia, ia berbuah banyak, sebab di luar Aku kamu tidak dapat berbuat apa-apa." 
Umpama perkataan "Ignorance" yang buat dia ingin lebih tahu lagi merupakan inti panggilan yang terus mendorong Seminarian Alfonsus untuk terus mencari dalam proses pembentukan di Seminari sampai ke saat ini. Dia juga sangat suka perihal petikan alkitab terutamanya maksud tersirat dalam petikan-petikan tersebut. 
Seminarian Alfonsus (pertama dari kiri)
Dia berasa amat teruja dan gembira akan kehadiran Yang Mulia Bapa Uskup Datuk Julius Dusin Gitom ke Kg. Madai pada 24 Mei 2015 lalu untuk memberkati dan merasmikan Kapela St. Angeline, Madai serta merayakan Pesta Kaamatan bersama umat di sana.
Seminarian Alfonsus yang sebelum memasuki alam seminari, bergiat aktif dalam aktiviti belia. Dia pernah diamanahkan menjaga hal kewangan bahagian belia di Kapela St. Angeline, Madai. Dia berharap dan berpesan agar lebih ramai lagi belia yang berani tampil ke depan untuk menyahut panggilan Kristus untuk dibentuk dan bekerja di ladangNya. Mulakan langkah pertama anda untuk menghadiri seminar panggilan untuk mengetahui lebih dalam tentang panggilan dan ketahui proses pembentukan tersebut. Manalah tahu anda terpanggil?
Kita sama-sama doakan agar Seminarian Alfonsus akan dapat menamatkan perjuangannya di Kolej St. Peter, Major Seminary, Kuching, Sarawak dengan jayanya.  

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent