Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, November 13, 2014

HARI KELUARGA KKD PAROKI KATEDRAL ST. MARY

Dilapor oleh DaliusLL, Soccom  Paroki
Gambar oleh Dalius, G. Bell dan Helen 
Sandakan: Gereja St. Paul Ulu Dusun, sebuah sub-paroki yang terletak lebih kurang 45KM dari Katedral St. Mary telah menjadi tuan rumah pertama kalinya untuk Hari Keluarga Komuniti Kristian Dasar (KKD) peringkat Paroki yang berlangsung selama 2 hari 1 malam pada 8hb dan 9hb November 2014. 

Walaupun Hari Keluarga ini julung kali diadakan sejak penubuhan Diosis Sandakan tujuh tahun yang lalu, namun sambutan cukup menggalakkan dengan penyertaan seramai 270 orang dari 22 KKD terdaftar di Paroki St. Mary, sub paroki St. Mark, sub paroki St. Paul Ulu Dusun dan sub paroki Our Lady of Fatima Beluran.
Tema Hari Keluarga “Iman Teras Keluarga….”, begitu tepat sekali kerana kebanyakan peserta yang datang adalah bersama-sama keluarga mereka. Penyelaras KKD Paroki St. Mary, Leonnie Degullacion memaklumkan objektif utama Hari Keluarga pada tahun ini adalah untuk peserta mendalami komitmen mereka sebagai umat Kristian dan mendedahkan mereka kepada pelayanan sesama dan seterusnya pelayanan melalui penginjilan kepada keluarga-keluarga setempat.  Pihak penganjur juga berharap Hari keluarga ini akan menjadi satu saluran untuk mengeratkan hubungan di antara KKD-KKD di bawah naungan Paroki St. Mary.
Program hari pertama bermula seawal jam 8.00 pagi dengan pendaftaran dan suaimesra dan disusuli Misa Kudus pada jam 9.00 pagi yang diselebrankan oleh Fr. Phillip Muji yang juga merupakan Paderi Penasihat kepada KKD Paroki. Fr. Phillip memulakan sesi pertama dengan ceramah bertajuk “Komuniti Kecil Kristian dan KKD”. Fr. Phillip menekankan bahawa KKD merupakan teras pastoral dalam usaha mencapai visi dan misi Diosis Sandakan. Sesi kedua yang bertajuk “KKD adalah Rumah Setiap Orang dan Partisipasi Dalam Persahabatan dengan Kristus” dikendalikan melalui pendekatan bengkel oleh Sdra Pius Gorohom. Peserta telah dibahagi-bahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil (10 -15 peserta) dan Kanak-Kanak 12 tahun ke bawah pula diasingkan kepada satu kumpulan yang mempunyai sesi khas buat mereka.  
Acara Kanak-kanak 
Acara suai kenal peserta
Setiap kumpulan kecil tadi akan membuat perbincangan dan hasil pendapat mereka dikongsikan pada umum. Kaedah ini bertujuan mendedahkan para peserta kepada pentingnya kaedah “Partisipasi” dan penglibatan semua ahli di dalam menjayakan KKD mereka. Manakala pada petangnya, sesi permainan keluarga dianjurkan dengan penglibatan seluruh ahli keluarga dan diakhiri dengan Doa Rosari beramai-ramai di Gereja. Pada sebelah malamnya pula, sesi hiburan dipersembahkan oleh KKD-KKD yang menyertai Hari Keluarga ini. 
Tujuh Langkah Kelompok Kitab Suci (KKS)
Peranan Wanita dalam kepimpinan Komuniti Kristian


Acara Malam Hiburan
Pujian Pagi di lapangan Gereja St. Paul Ulu Dusun
Senaman Pagi Hari Keluarga KKD
Hari Kedua, (9hb November) bermula seawal 6.00 pagi dengan doa pagi dan senaman pagi. Sejurus selepas sarapan, sesi ketiga bermula dengan “Pengenalan 7 langkah Perkongsian Injil” yang dikendalikan oleh sdra Leonnie. Teknik  7 langkah ini adalah teks yang disyorkan oleh Para Uskup di Asia atau Federation of Asian Bishops' Conference (FABC) di dalam pendekatan pastoral mengusahakan “Gereja Partisipatif” di Asia. Melalui komuniti kecil ini, FABC berharap ianya akan menjadi landasan kepada Cara Baru Hidup Menggereja di kalangan umat Kristian.
Bersama dengan umat Katolik Ulu Dusun, peserta-peserta KKD kemudiannya mengikuti Misa Kudus di Gereja St. Paul pada jam 11.00 pagi yang diselebrankan oleh Fr. Phillip. Dalam khotbahnya, beliau mengingati umat bahawa perayaan hari minggu biasa ke 32 juga adalah pesta pemberkatan Gereja Basilik di Lateran, Roma. Gereja tersebut adalah induk kepada semua gereja di Roma dan di seluruh dunia.
Umat diajak untuk merenung tentang gereja selepas Kristus. Mereka menghadapi pelbagai rintangan dan kesulitan berkumpul sebagai satu komuniti. Mereka berhimpun secara tersembunyi. Gereja kemudian adalah bangunan dan menurut ideologi Paulus yang digunapakai sehingga kini ialah gereja berakhir di hati diri sendiri. Maka gereja boleh dibawa ke mana-mana saja dan pada bila-bila masa.

Pertemuan KKD adalah tanda yang sihat ke arah pembentukan gereja yang mantap. KKD adalah sel-sel yang aktif membangunkan gereja kerana komited mahu berjalan bersama, dengar akan Sabda Tuhan dan menjalinkan hubungan sosial. Pada kesimpulannya visi KKD adalah untuk menyembah Tuhan berterusan, memantapkan iman dan menjadi pengikut Kristus yang bertanggungjawab.
Selepas Misa, semua peserta dijemput makan tengahari bersama di Dewan Mini St Paul. Hari Keluarga dilanjutkan dengan sesi bergambar beramai-ramai dan juga cabutan tiket bertuah. Program berakhir tepat jam 3.00 petang dengan doa penutupan dipimpin Sr. Appollonia Gumpu fsic.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent