Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, August 15, 2011

SALIB BELIA DAN IKON BONDA MARIA MENYATUKAN BELIA KATEDRAL ST MARY, SANDAKAN

Ketibaan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria diiringi Belia Lahad Datu
Sandakan (Katedral St. Mary) – Penerimaan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria pada 17 Julai lalu disambut dengan meriah bersama dengan umat bertempat di Katedral St. Mary, Sandakan.
Perayaan Sabah Youth Day ke-3 kali ini mengambil tema sempena Hari Belia Sedunia ke-26 iaitu “Berakar dan bertumbuh dalam Yesus Kristus, teguh dalam iman” (Kol 2:7).



Penyambutan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria 
Salib Belia
Ikon Bunda Maria
Acara dimulakan dengan penerimaan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria di luar perkarangan Gereja di mana kedua-dua Koordinator Belia Paroki Lahad Datu dan Sandakan saling melafazkan kata-kata amanat penyerahan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria.


Fr. Phillip Anthony Muji selaku selebran utama dalam Misa tersebut turut menyaksikan penyerahan tersebut bersama dengan para religius, para umat serta para belia. Salib dan ikon Bonda Maria dibawa berarak dari Paroki ke Paroki sebagai persiapan menyambut Perayaan SYD-3 di Tambunan pada 2012 nanti.






Dalam homili beliau, Fr Phillip mengingatkan semua umat terutama sekali para belia untuk selalu merenung makna Salib dalam kehidupan seharian.

Perayaan meriah yang dirayakan empat tahun sekali ini juga turut dirayakan bersama dengan umat Paroki Sandakan kira-kira seramai 1200 orang termasuklah perwakilan Paroki Lahad Datu yang menghantar Salib Belia dan Ikon Bonda Maria.

Terlebih dahulu, persiapan penerimaan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria telah diadakan seawal 1o Julai dan bersambung 15 dan 16 Julai yang mana para belia diberi input untuk mempersiapkan diri agar lebih bersiap sedia ketika menyambut Salib dan Ikon Bonda Maria.

Kemudian, bermula 18 Julai hingga 29 Julai, Salib Belia dan Ikon Bonda Maria diletakkan di Kapela St. Mary agar umat serta pelayanan kumpulan yang ada di Paroki juga dapat turut serta dalam perayaan ini dengan meluangkan masa untuk berdoa mengikut jadual yang telah disediakan oleh Local Organizing Team.

Seterusnya Salib Belia dan Ikon Bonda Maria dibawa ke Gereja St. Joseph (30 Julai), Gereja St. Mark (31 Julai~1 Ogos), Gereja St. Paul, Ulu Dusun (2 Ogos), Gereja Our Lady of Fatima, Beluran (3~4 Ogos) dan buat pertama kali dalam sejarah Salib Belia dan Ikon Bonda Maria dibawa ke Kapela St. Francis dari Asisi, Sukang, Paitan.

Syukur kepada Tuhan, 7 Ogos lalu, para perwakilan belia daripada Paroki Katedral St. Mary, Sandakan telah selamat menyerahkan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria kepada para umat dan belia Paroki St. Martin, Telupid. 

Dengan penuh rasa syukur dan disegarkan kembali, para umat dan belia Paroki Katedral St. Mary Sandakan sekali lagi mengalami akan kehadiran dan cinta kasih Yesus yang nyata, kelegaan dalam kerisauan, kegembiraan dalam kesedihan, kesukaan dalam kedukaan, seberat mana pun cabaran yang dialami, yang pasti ‘lawatan’ Yesus dan Bonda Maria pada kali ini meninggalkan kesan kepada setiap individu yang mengikuti perjalanan iman ini.

Di kesempatan ini, Local Organising Team SYD3 Peringkat Paroki Sandakan ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Paderi Paroki, Pembantu Paderi, para Religius, pemimpin umat awam, para umat, ibubapa, para penderma, kumpulan-kumpulan pelayanan di Paroki, para belia serta individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan perayaan SYD3 di Paroki baru-baru ini. Semoga Tuhan memberkati anda dan keluarga anda.



 Soccom SMCat, Sandakan

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent