Artikel oleh Fennexlee Edesius Mejeh
Sandakan – Pada 9hb dan 10hb Jun 2018, Gereja St. Mark telah menganjurkan sambutan perayaan dua dalam satu iaitu Pesta Kaamatan-Gawai. Respon dan sokongan daripada umat Paroki Katedral St. Mary, Sandakan, amnya umat Gereja St. Mark amat baik. Aktiviti sukaneka telah dijalankan pada 9hb Jun bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara umat.
Aktiviti dimulakan dengan doa pembukaan yang dipimpin oleh Saudara Dimeh Koyopo selaku Pengerusi Majlis Pastoral Umat Katolik Gereja St. Mark. Sebelum aktiviti sukaneka bermula, pemanasan badan dilakukan yang dikendalikan oleh Kerasulan Belia Paroki-(Sub) St. Mark-St. Peter. Pelbagai aktiviti sukaneka yang dipertandingkan antaranya tarik tali, melastik, mengupas buah pinang dan banyak lagi. Jelas terpancar keseronokan serta kegembiraan pada wajah para peserta. Aktiviti sukaneka selesai sekitar jam 5.00 petang.
Pada 10 Jun 2018, acara kemuncak Pesta Kaamatan-Gawai dimulakan dengan Misa Kudus Kesyukuran pada jam 9.00 pagi yang diselebrankan oleh Rev. Fr. David A. Garaman, Paderi Paroki Katedral St. Mary, Sandakan. Dalam homili beliau, secara umumnya beliau menekankan mengenai “kesatuan”. Di dalam ucapannya, Fr. David berkata: "Sekiranya kita melakukan kehendak Tuhan dan melayani sesama seperti apabila kita berada di dalam gereja, semasa kita merayakan Misa Kudus mahupun merayakan suatu perayaan kebudayaan seperti Pesta Kaamatan dan Gawai, maka kita adalah saudara-saudari Yesus sendiri. Inilah yang dinyatakan oleh Yesus iaitu kesatuan di dalam gereja. Ini juga sesuai dengan tema perayaan Pesta Kaamatan-Gawai iaitu 'Gereja asas perpaduan pelbagai budaya berpusatkan Kristus'."
Beliau juga menyeru umat untuk melihat Yesus sebagai sumber perpaduan segala budaya dan bangsa yang ada dalam gereja, dan mahu menghidupi kesatuan itu, seperti Allah Bapa dan Yesus adalah satu.
Di samping itu, beliau juga membawa semua umat untuk merenungkan bahawa merayakan perayaan di gereja bukan kerana untuk keseronokan sahaja tetapi kerana Yesus adalah sumber kesatuan dan hadir di dalam gereja. Gereja adalah untuk semua, inilah asas perpaduan.
Rev. Fr. David A. Garaman sedang menuai padi sebagai simbolik perasmian Pesta Kaamatan-Gawai
"Ranyai" merupakan simbolik Perayaan Hari Gawai
Selain itu, beliau juga membawa semua umat untuk sentiasa berdoa agar dapat menjadi pengikut Yesus yang setia dan membawa Tuhan dalam kehidupan setiap hari yang menjadi tunjang penyelamatan serta sumber penyelamatan bagi semua orang yang ingin melihat dan mencariNya.
Rev. Fr. David A. Garaman dijemput untuk memotong salah satu barang yang disangkutkan menggunakan parang.
Salah satu acara utama Hari Gawai yang sentiasa diadakan ialah mendirikan sebatang pokok kehidupan yang dikenali sebagai "ranyai" oleh kaum Iban di tengah-tengah ruai selalunya di ruai ketua rumah panjang atau di balai raya kampung jika belum didirikan pada siang hari tadi. Pokok ini diperbuat daripada bahagian pucuk kelapa, aping, rumbia atau pohon pisang di mana umbutnya boleh dimasak dan dimakan bersama oleh orang ramai. Sebiji gong akan dipukul untuk mengajak semua orang mendirikan pokok itu bersama-sama dan membawa sumbangan masing-masing untuk digantung sebagai buah-buah pokok itu. Pokok ini mestilah lebat buahnya untuk untuk menggembirakan rombongan para jemputan dan para hadirin sekalian.
Pokok ranyai itu akan dihiasi dengan menggantungkan buah-buahnya yang berupa sumbangan makanan dan minuman untuk dicantas dan diambil oleh para penari ngajat yang menari mengelilingi pokok itu sebagai hadiah. - sumber: https://ms.wikipedia.org/wiki/Hari_Gawai
Selepas upacara Misa Kudus selesai, perayaan diteruskan dengan acara pentas di Dewan Terbuka Gereja St. Mark sekitar jam 11.00 pagi. Dalam ucapan alu-aluan Saudara Hilary Henry Ugis selaku Pengerusi Perayaan Pesta Kaamatan-Gawai Gereja St. Mark, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung. "Saya berharap perayaan Pesta Kaamatan-Gawai ini bukan menjadi penghujung bagi kita tetapi jadikanlah ini sebagai langkah yang baru untuk mengekalkan kerjasama antara kita semua. Semoga Tuhan memberkati saudara-saudari yang telah bermurah hati dalam menyumbang tenaga mahupun dana bagi Pesta Kaamatan-Gawai ini", demikian ucapan saudara Hilary.
Cabutan Tiket bertuah oleh Rev. Fr. Phillip Muji, Paderi Paroki Our Lady of Fatima, Beluran, salah seorang tetamu jemputan khas yang telah hadir ke perayaan ini.
Rev. Fr. David A. Garaman turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada tim penganjur dan para umat yang telah terlibat bagi menjayakan perayaan Pesta Kaamatan-Gawai tersebut. Beliau berharap agar semua umat dapat bersatu sesuai dengan Visi Keuskupan Sandakan iaitu “Komuniti berpusatkan Kristus, melayani sesama dengan kasih”.
Para juri bagi Pertandingan Fesyen Kanak-kanak
Seterusnya, para umat yang datang turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan pentas dari beberapa komuniti seperti persembahan tarian tradisional, koir, paluan gong dan nyanyian. Terdapat juga beberapa pertandingan seperti fesyen kanak-kanak dan makanan tradisi serta cabutan tiket bertuah bagi menyerikan lagi suasana.
Tim penganjur Pesta Kamatan-Gawai ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua umat Paroki Katedral St. Mary, Sandakan khususnya umat Gereja St. Mark yang telah bertungkus lumus dalam memberikan sokongan padu bagi menjayakan perayaan Pesta Kaamatan-Gawai Gereja St. Mark 2018. Acara selesai sekitar jam 4.00 petang.