Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, September 8, 2016

PENGENALAN KOMUNITI KRISTIAN DASAR (KKD) KE MISI PAITAN DAN PERAYAAN MISA HARI KEMERDEKAAN

Dilaporkan oleh Dalius Lobinjang
Gambar oleh Bertram Lansing, Soccom Telupid

Paitan: Sekumpulan penceramah Komuniti Kristian Dasar (KKD) daripada paroki St. Mary Katedral Sandakan, paroki St. John Tuaran dan Paroki St. Martin Telupid, secara sukarela menganjurkan satu sesi pengenalan KKD kepada para Katekis di Misi Paitan. Kehadiran mereka ke St. Francis Assisi, Sukang pada 29/08 – 31/08/16 adalah atas kesedaran tentang perlunya misi ini diberi sokongan pastoral dan membantu Paderi yang berada di Paitan.


Komuniti Kristian Dasar (KKD) merupakan satu konsep menggereja melalui keluarga dan komuniti setempat. Ianya adalah satu komuniti gereja kecil di peringkat akar umbi dan diwujudkan berdasarkan kedudukan geografi komuniti itu. Komuniti kecil ini terdiri daripada beberapa keluarga yang bergabung untuk berkongsi iman Katolik mereka. 


Kumpulan ini diselaraskan oleh saudara John Tan, yang juga merupakan pengerusi KKD Taman Indah Jaya, Sandakan dan dibantu oleh Leonnie Degullacion, George Bell Lawadin, Bertram Lansing dan Dalius Lobinjang. Mereka merupakan umat yang mempunyai banyak pengalaman di dalam KKD dan ingin mengongsikan pengalaman mereka di misi ini. Seramai 9 orang katekis dan pemimpin umat katolik hadir semasa sesi pengenalan KKD yang dianjurkan ini. Mereka yang hadir kebanyakkannya daripada persekitaran chapel yang melayani di misi ini.


Sesi dua hari ini bermula dengan kata-kata aluan daripada Rev. Fr. Thomas Makajil, paderi yang melayani di Misi Paitan. Beliau merakamkan terima kasih kepada kumpulan ini kerana sudi datang dan membantu di dalam pelayanan pastoral di misi ini. Fr. Thomas menerangkan KKD adalah teras pastoral untuk Keuskupan Sandakan dan merupakan satu cara efektif bagi para katekis dan pemimpin umat katolik di sini untuk menginjil kepada umatnya di kawasan kejiranan chapel-chapel mereka. Beliau menggalakkan katekis dan umat di sini mengambil peluang menimba ilmu dan memahami konsep ini. Beliau berharap peserta dapat memulakan langkah pembentukan KKD di tempat mereka masing-masing menurut kesesuaian masa dan acuan mereka. Fr. Thomas juga turut memberikan input topik kerohanian didalam sesi pengenalan KKD.



Semasa taklimat KKD, peserta didedahkan tentang kefahaman KKD sebagai satu komuniti yang berpusatkan ajaran-ajaran Kristus yang berpegang kepada prinsip-prinsip tekun berdoa, berkongsi firman Tuhan, bersifat melayani dan partisipatif. Mereka diberi kefahaman tentang objektif dan tujuan untuk bergiat aktif didalam KKD, disamping itu penerangan bagaimana cara menubuhkan Ahli jawatankuasa dan contoh aktiviti-aktiviti yang boleh dilaksanakan juga diberikan. Penceramah-penceramah turut berkongsi pengalaman tentang cabaran-cabaran  yang dihadapi di dalam KKD dan bagaimana cara-cara mengatasinya.


Pada 31 Ogos 2016, Misa Kesyukuran dirayakan sempena Hari Kebangsaan di Chapel St. Francis Assisi Sukang pada jam 9.00 pagi untuk memperingati kemerdekaan Sabah ke-53 tahun dan peringkat nasional ke-59. Turut serta bersama didalam perayaan Misa Kudus dengan umat Katolik di Kg. Sukang ini, adalah penceramah-penceramah sukarelawan dan peserta mereka. Di dalam homili, Fr. Thomas menjelaskan bahawa institusi kekeluargaan merupakan satu bentuk kerajaan kecil yang akan tetap bertahan sampai akhir zaman. Ini adalah kerana institusi keluarga merupakan kehendak rencana Tuhan. Bapa Surgawi bersabda, ‘bertambah banyaklah dan kuasailah segala ciptaan ku”, inilah perintah Allah kepada keluarga sebagai komuniti kecil.  Di akhir homili, Fr. Thomas menyeru “Kita diperkenalkan dengan KKD yang juga merupakan satu bentuk komuniti (perkongsian iman kristian). Marilah merenung firman Tuhan, agar dapat membantu kita dalam perjalanan sebagai satu keluarga, satu komuniti, satu gereja dan satu Negara”.


Selepas Misa ini, Fr. Thomas memimpin lebih kurang 60 umat untuk mengibarkan jalur gemilang dan bendera negeri Sabah sambil menyanyikan lagu ‘Sabah Tanah Air Ku’ dan lagu kebangsaan ‘Negara Ku’ dan diikuti dengan laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka!


Sesi pengenalan KKD diteruskan selepas misa dengan perbincangan antara katekis dan pemimpin umat katolik yang diselaraskan oleh saudara John Tan dan Saudara George Bell. Sesi berakhir pada jam 4.00 petang dan hasil perbincangan adalah mencadangkan satu seminar KKD dan Kepimpinan dianjurkan untuk para Katekis dan semua Ketua umat Katolik di Misi Paitan di masa hadapan. Melalui aktiviti sukarela oleh penceramah-penceramah daripada KKD ini, diharapkan dapat memberi contoh kepada perkumpulan-perkumpulan gereja untuk mencakupi pelayanan mereka ke Misi Paitan.



No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent