Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, September 26, 2016

CERAMAH KONVALIDASI KEPADA BAKAL PENERIMA PEMBERKATAN PERKAHWINAN ST.PAUL BALUNG TAWAU.

Oleh : Julita Kantod
TAWAU: Seramai 24 pasangan dari kalangan migran – Indonesia telah mengambil bahagian dalam ceramah ini pada 16hb September 2016 lalu di salah satu Stasi Luar Paroki Holy Trinity, Tawau iaitu St. Paul, Balung. Stasi ini terletak lebih kurang 100km dari Paroki Pusat.
Program menjangkau umat-umat stasi luar ini telah dijalankan oleh Komiti Pelayanan Hidup Keluarga (KPHK) Paroki Holy Trinity, Tawau sebagai salah satu aktiviti Luar Stasi. Seramai 9 ahli KPHK  yang diketuai oleh Mario Domingo selaku Pengerusi, 3 pasangan yang sudah berkahwin serta Penasihat Rohani komiti ini, Sr. Liza Augustine, fsic telah meluangkan masa dari jam 9 pagi hingga jam 3.30 petang.
Antara tajuk-tajuk yang telah disampaikan ialah :

1. Perkahwinan itu adalah Rencana Tuhan dan Merupakan Sakramen – Sr. Liza Augustine, fsic
2. Keluarga Katolik – Peranan Pasangan atau Ibubapa dalam Keluarga – Asfaliza @ Lala
3. Komunikasi dalam Keluarga – Elmer
4. Ekonomi dalam Keluarga – Elroy
5. Intimasi dalam Perkahwinan -  Mario
6. Kaedah Semulajadi dalam Perancangan Keluarga – Melvin
7. Penerangan tentang Pemberkatan Perkahwinan dan Keperluan untuk Pemberkatan – Linda
Secara keseluruhannya, dapat dinilai berdasarkan penglibatan semua peserta bahawa semua topik tersebut telah berjaya disampaikan dengan baik dan berkesan.
Selain daripada itu, dua ahli KPHK yang juga adalah  wakil daripada Komiti Kateketikal Paroki Tawau telah meluangkan masa dengan bakal pembimbing-pembimbing kelas minggu di Stasi ini. Mereka telah memberikan sedikit penerangan tentang cara dan pengisian topik yang harus disampaikan semasa sesi pembelajaran nanti.
Salah seorang peserta meluahkan perasaan syukur dan terima kasih atas usaha penjangkauan seumpama ini kerana dia dan yang lain belum mengetahui akan kepentingan dan keperluan pemberkatan perkahwinan mereka.
Julita Kantod, salah seorang ahli KPHK ini menutup sesi  dengan pesanan ringkas iaitu beliau memberi penekanan bahawa semua peserta menghidupi ajaran Gereja, patuh kepada kehendak iman Katolik terutamanya dalam soal perancangan keluarga, setia dalam perhubungan suami isteri ataupun ibubapa dan menjadi Katekis pertama dalam memperkenalkan serta menurunkan iman Katolik kepada anak-anak mereka.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent