Disediakan
oleh: Philippa Philip
Gambar oleh: Hilda Kimsin
TAWAU : Tim Kerasulan Belia Paroki (KBP) Holy Trinity Tawau
telah menganjurkan satu lagi program belia yang dikenali “Youth
Roadshow”. Program ini dijalankan selama 3 bulan yang merangkumi 5 fasa. Fasa pertama telahpun dijalankan pada 21hb dan 22hb Jun, selepas setiap Misa Kudus Bahasa Inggeris, Cina dan Bahasa Malaysia.
Program ini bertujuan untuk menyatukan belia dalam
satu iman, harapan dan kasih disamping mengeratkan lagi hubungan sesama belia
di paroki ini agar terus berjalan bersama sebagai KBP yang berpusatkan
pada Yesus Kristus. Ia juga bertujuan untuk menyalurkan informasi terkini
tentang aktiviti belia.
Kira-kira 400 orang telah mengunjungi
“Youth Roadshow" ini. Ia bukan sahaja mendapat kunjungan yang hangat
daripada belia tetapi juga daripada para ibubapa yang menyokong dan
memberi dorongan kepada anak-anak mereka untuk bergiat di dalam apa juga bentuk pelayanan di dalam gereja.
“Youth Roadshow” ini membakar semangat pengunjungnya
terutama sekali belia di dalam aktiviti ‘Multiple Inteligence’ dengan bermain
permainan maze, imbang bola, menyanyi dan menari untuk mengetengahkan lagi
bakat-bakat belia.
Sudut ‘Photo Booth’ yang dihiasi secara kreatif pula
menarik perhatian pengunjung untuk bergambar dengan memakai pakaian dan
aksesori yang disediakan. Sudut ‘Express
Corner’ adalah untuk para pengunjung meluahkan perasaan, memberi komen ataupun
cadangan bagi tujuan penambahbaikan dalam apa juga aspek di Gereja Holy Trinity.
Sudut pameran juga menjadi salah satu tumpuan
pengunjung yang mana hasil kerja seni kreatif belia ditunjukkan melalui susun
atur gambar yang menarik. Pameran ini memuatkan gambar-gambar aktiviti
belia seperti
Youth Monthly Gathering (YMG), Sabah Youth Day 1-3, Youth PrepLink (YPL),
Campus Ministry, Koir, Catholic Charismatic Renewal, Pelayanan Altar,
Komuniti Eklesial Dasar (KED) dan stasi luar.
Tayangan video korporat KBP pula memukau penonton
melalui animasi video tersebut. Informasi dapat disampaikan secara lebih
interaktif kepada pengunjung untuk mengenali KBP dengan jelas, cepat dan
berkesan.
Ramai pengunjung menyatakan rasa
kegembiraan mereka terhadap program ini melalui survey dan evaluasi yang dibuat pada hari tersebut. Belia juga diberi risalah yang menarik untuk
mengetahui ‘Apakah itu KBP?’ Bersama dengan risalah tersebut juga
disertakan Borang Bancian Belia untuk diisi oleh semua belia Katolik
di Paroki Holy Trinity Tawau.
Sebelum pulang, para belia diberi
sekeping penanda buku sebagai cendera kenangan dengan kata-kata
inspirasi dan di belakang penanda buku tersebut terdapat
Doa Belia Diosis Sandakan untuk didoakan setiap hari agar para belia di diosis
ini akan terus bertumbuh di dalam iman dan cinta kasih Yesus.
Diharapkan fasa-fasa berikut dapat memberangsangkan lagi para
belia lebih sedar akan pentingnya kesatuan dan keterlibatan di dalam pelayanan
gereja yang juga merupakan suatu panggilan untuk hidup kudus.
No comments:
Post a Comment