Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, July 22, 2014

Bengkel Penulisan dan Fotografi oleh DSCC

Oleh AAG, Soccom Sandakan
Sandakan – Komisi Komunikasi Sosial Keuskupan Sandakan telah menganjurkan Bengkel Penulisan dan Fotografi pada 19 hingga 20 Julai di Bilik Mesyuarat Keuskupan yang mana telah dihadiri oleh para peserta dari Paroki St. Martin, Telupid dan Paroki Katedral St. Mary, Sandakan.
Jack Tong Ming Jet
Jack Tong dibantu oleh rakan-rakannya
Saudara Jack Tong Ming Jet, seorang Jurugambar Komersial dan Profesional telah menyampaikan Sesi Fotografi. Beliau telah mengongsikan pengalamannya selama 5 tahun berkenaan jenis-jenis kamera (compact dan DSLR), cara mengendali kamera, mengenali kunci dan panduan jenis kamera yang digunakan serta tip-tip berguna kepada semua peserta.
Sdr. Dalius Lobinjang dari Komisi Sosial Komunikasi, penganjur bengkel
Selesai sesi teori, para peserta didedahkan dengan aktiviti luar dengan mengambil gambar kemudian setiap gambar yang diambil akan diberi komen. Komen-komen tersebut sangat berguna dan dapat membantu setiap peserta untuk mempelajari teknik yang betul dan memperbaiki cara pengambilan gambar untuk hasil yang lebih berkesan.
Francis Tan
Peserta Bengkel
Saudara Francis Tan, Setiausaha Eksekutif telah menyampaikan Sesi Penulisan. Para peserta didedahkan beberapa teknik asas dalam penulisan. Penulisan ini bertujuan melatih peserta untuk menulis berita bagi acara-acara anjuran paroki, komuniti atau kumpulan pelayanan dengan lebih baik agar mesej dapat disampaikan dengan lebih berkesan dan menepati isi berita. Para peserta juga diberi latihan singkat bagaimana untuk menulis pendahuluan berita agar mesej utama dapat disampaikan dengan baik dan jelas. Para peserta juga didedahkan bagaimana cara dan jenis soalan yang perlu disoal ketika menemuramah seseorang.
Selesai sesi, Bapa Uskup Julius Dusin Gitom menyampaikan harapan beliau agar paroki-paroki di Keuskupan Sandakan dapat terus menyumbang berita bagi apa saja yang berlaku di paroki masing-masing kerana melalui aktiviti seperti ini, ianya dapat menyampaikan Khabar Baik kepada semua umat. Dengan menyahut seruan Bapa Suci Fransiskus, beliau menyarankan agar alat-alat telekomunikasi moden dan canggih hendaklah diguna dengan sepenuhnya dalam penyebaran cinta kasih dan mesej penyelamatan kepada semua umat “sampai ke hujung bumi” (Kis 1:8).
Bapa Uskup Julius menyampaikan Sijil Penyertaan kepada setiap peserta dan juga sumbangan dari Keuskupan Sandakan berupa 'voice recorder' kepada perwakilan dari Paroki Telupid dan Sandakan di atas sumbangan berita dan gambar sejak wujudnya Blog 'Newsupdate Sandakan' sejak 2009.
Bengkel diakhiri dengan acara bergambar beramai-ramai bersama Bapa Uskup Julius dan makan tengahari.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent