(Belia KBKI)
Shalom!
Dengan berbesar hati saya ingin mengongsikan pengalaman saya sepanjang penyertaan Kursus Alpha dari minggu pertama hingga minggu terakhir yang berlangsung di Pusat Retret Keuskupan Sandakan, Ulu Dusun baru-baru ini.
Pengalaman dan pengajaran yang diperolehi dalam kursus ini cukup bermakna dalam hidup saya melalui hati saya dan Roh Kudus yang saya alami.
Selama saya menyertai program ini, saya dapat rasakan yang diri saya berasa lebih tenang dan dapat belajar dengan lebih mendalam di mana yang paling mengujakan saya ialah adanya rakan-rakan yang bersama saya dapat berkongsi dan belajar mengenali antara satu sama lain tentang konsep Kristianisasi. Kami turut berkongsi mengenai Roh Kudus.
Peluang yang telah saya perolehi amatlah bermakna bagi saya dan tentunya rakan-rakan yang lain turut merasakan yang sama.
Dalam nama Yesus, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur yang berusaha mengendalikan program ini dengan jayanya walaupun dengan pelbagai cabaran. Namun, ternyata Roh Kudus itu hadir dalam diri kami sehingga program ini berjalan dengan lebih berjaya. Amen!
Salam damai Kristus!
Saya berterima kasih kepada pihak Tim Pelaksana Kursus Alpha kerana memberi peluang kepada saya untuk memberikan testimoni saya.
Selain dari melalui ajakan teman-teman untuk menyertai Kursus Alpha ini buat pertama kali, saya percaya bahawa bimbingan Roh Kudus lah yang mendorong saya untuk menghadiri kursus ini sampai ke minggu yang terakhir.
Banyak juga pengalaman yang bermakna saya telah alami dan sudah tentu tidak dapat saya lupakan. Pengalaman saya sewaktu didoakan oleh Kakak Aronika semasa sesi “Pelayanan Doa” benar-benar membuat saya tersentuh dan terharu. Saya juga amat menghargai bagaimana saya dapat mengenali siapakah Roh Kudus melalui kursus ini. Saya dapat merasai kehadiran Roh Kudus sepanjang mengikuti kursus ini terutamanya sewaktu Retret Hujung Minggu. Inilah perkara paling bererti buat diri saya yang baru ingin bertumbuh dalam iman.
Sebelum menyertai Kursus Alpha, saya mempunyai banyak masalah peribadi dalam hidup. Tetapi, selepas menjalani kursus ini, masalah saya perlahan-lahan, sedikit demi sedikit menjadi semakin ringan dan tidak lagi memberi tekanan atau bebanan yang hebat buat diri saya. Saya percaya bahawa kekuatan itu telah saya ketemui dan terima daripada Roh Kudus untuk menangani masalah tersebut dengan cara yang diajarkanNya kepada saya melalui kursus ini. Saya berasa amat bersyukur kerana kini saya boleh mulai merasa ‘bebas’ dari belenggu masalah harian. Saya juga merasa telah menjadi ‘orang yang baru’.
Saya amat berharap dan berdoa agar saya dapat menghadiri lagi pusingan Kursus Alpha yang seterusnya. Pada masa itu, saya turut berharap agar dapat membawa teman-teman baru terutamanya mereka yang belum begitu mengenali Kristus. Mohon doakan saya!
Terima kasih sekali lagi dan Tuhan memberkati.
Alleluia! Amen!
(The Forerunners Ministry)
Sebagai seorang penceramah, bukan mudah berdiri di hadapan orang ramai. Hendak dijadikan cerita, permulaan penglibatan saya di program YA adalah salah seorang peserta yang tidak terfikir pun hendak mendalami iman saya sebagai Katolik. Puji Tuhan, kerana cinta kasihnya terhadap diri saya, Dia telah membuka pintu hati saya untuk mengikuti program YA yang pada awalnya saya cuma “ikut kawan, kasi senang hati kawan”.
Bagi saya secara peribadi, mengongsikan kelemahan diri saya bukanlah sesuatu yang menyeronokkan apatah lagi mahu mengakui bahawa iman saya itu lemah. Sifat ego terlalu tebal dalam diri pada ketika itu.
Berbekalkan pengetahuan yang saya pelajari dari program YA yang sangat santai dan bersahaja ini, iman saya sedikit demi sedikit berkembang dan berakar sehinggalah saya dipelawa untuk menjadi salah seorang penceramah bagi program YA setelah mengikuti program tersebut berulangkali kerana ianya sangat seronok dan mudah difahami.
Walaupun bukan mudah untuk saya menerima pelawaan itu, namun kerana cinta kasih Yesus terhadap diri saya yang lemah ini, membuatkan saya sanggup dan mahu menjadi saksi Kristus yang hidup.
Saya percaya, dan sesungguhnya percaya bahawa Roh Kudus telah membimbing saya sepanjang penglibatan saya dari permulaan perjalanan iman saya.
Kerja Tuhan itu sungguh halus, tulus dan penuh kasih sayang sehingga saya sendiri tidak menyedari akan perubahan yang berlaku ke atas diri saya.
PUJI TUHAN! ENGKAU SUNGGUH DAHSYAT!
(Liturgi Sabda Kanak-kanak)
Shalom semua...
Pengalaman saya mengikuti Kursus Alpha ini amat menyeronokkan. Apa yang belum pernah saya tahu, kini saya sudah tahu dan apa yang belum pernah saya alami, kini sudah saya alami. Semasa hari pertama mengikuti Kursus Alpha saya berfikir, "Apa yang akan saya dapat melalui Kursus Alpha ini?" Saya menjawab kepada diri sendiri, "Tunggu dan lihat."
Sepanjang saya mengikutinya, saya dapat merasakan ada damai sukacita di dalam jiwa saya dan yang paling saya sukai ialah perbincangan dalam kumpulan (berkongsi), menyanyikan lagu pujian dengan segenap hati dan dapat berkenalan antara satu sama lain. Saya merasa sangat bahagia, sangat damai dan tenang.
Apa yang membuat saya tersentuh sepanjang kursus ini adalah satu tayangan video tentang kasih seorang ayah terhadap anaknya. Air mata saya terus mengalir setelah melihat video itu. Kesemua video yang mereka tayangkan sememangnya benar-benar menyentuh hati saya.
Melalui kursus ini juga saya dapat melepaskan segala bebanan yang saya pikul selama ini dan meluahkan segalanya yang terbuku di dalam hati saya. Semasa Retret Hujung Minggu, saya mendapat peluang untuk melepaskan segala-galanya dan menyerahkan semua permasalahan saya kepada Yesus. Saya menangis di depan salib Yesus. Pada masa itulah saya merasa bebanan yang saya pikul hilang, ditambahkan lagi dengan iringan lagu-lagu pujian yang sangat merdu. Terasa badan saya sangat ringan. Itulah keajaibannya Yesus.
Pada petangnya pula, sangat best sebab ada permainan:) Permainannya belum pernah saya main tapi amat menyeronokkan! Kami juga dapat bersama-sama bersantai sambil makan aiskrim yang enak!!
Saya juga dapat merasakan kehadiran Roh Kudus pada sesi waktu malam. Sepanjang sesi berjalan, saya merasakan kehadiran Roh Kudus di dalam tubuh saya. Pada mulanya, saya menutup mata. Tidak lama kemudian, terlihat satu cahaya yang terang dan seluruh tubuh saya diangkat. Diangkat sangat tinggi hingga naik melintasi awan dan langit. Tangan saya dipegang seorang lelaki saya tidak kenali pada mulanya. Saya sangkakan itu cuma satu ilusi tetapi apabila saya kongsikan kepada Kakak Arlene, dia memberitahu saya bahawa itu adalah Roh Kudus yang membawa saya kepada Yesus. Saya terkejut! Saya berasa sangat bersyukur kerana akhirnya saya dapat merasakan sendiri kehadiran Roh Kudus.
Banyak lagi yang saya dapat melalui Kursus Alpha ini dan tahun depan saya pasti akan mengikutinya lagi. Saya berharap agar lebih ramai yang mengikutinya pada tahun depan.
Sekian.
Sekian.
Puji Yesus! Alleluia!!
No comments:
Post a Comment