TELUPID - Kursus Pemimpin
Ibadat Sabda dan Pelbagai Upacara Doa anjuran Komiti Katekis sekali lagi
diadakan di Paroki St. Martin, Telupid selepas kali terakhir penganjurannya
pada tahun 2015. Kursus singkat yang diadakan pada 23-25 Ogos 2019 ini telah
disertai oleh 140 orang peserta yang terdiri daripada katekis senior dan umat awam
dari seluruh paroki. Kursus ini bertujuan untuk membimbing para peserta agar dapat
menyusun dan menyampaikan renungan serta memberi pendedahan akan cara-cara
untuk memimpin ibadat sabda pada hari minggu.
Sesi pada hari pertama dimulakan dengan pendaftaran
seawal pukul 2:00 petang disusuli dengan Misa Kudus pembukaan yang diselebrankan
oleh paderi paroki iaitu Rev. Fr. Jasery G. Emmanuel. Seterusnya, slot pertama
disampaikan oleh Sr. Patricia Limun bertajuk Kemahiran Memimpin Pelbagai
Upacara Doa. Dalam slot ini, para peserta diberi pendedahan mengenai apa itu
pelbagai upacara doa serta berpeluang untuk memahirkan diri dalam menyediakan
dan memimpin upacara doa. Sesi soal jawab juga turut diadakan supaya peserta
lebih memahami dengan lebih mendalam mengenai upacara doa yang biasa diadakan
bagi umat Katolik.
Sesi pada hari kedua pula dkendalikan oleh Katekis John
Lainsin merangkumi beberapa slot. Antaranya adalah slot mengenai Jati Diri,
Tanggungjawab dan Tugas Katekis yang membantu para peserta memahami bahawa
sebagai katekis perlu mempunyai jati diri yang kuat agar dapat mengembangkan
diri, iman dan semangat, kompetensi serta kecekapan dalam melaksanakan tugas
sebagai katekis. Seterusnya, beliau menyampaikan slot bertajuk Menyusun dan
Menyampaikan Khotbah. Menyusun renungan untuk dikongsikan nampak seperti mudah
namun memerlukan persiapan yang rapi sebelum dapat melakukannya. Para peserta
terlebih dahulu perlu memahami tujuan membuat renungan. Salah satunya adalah
untuk menjelaskan lagi persoalan-persoalan mengenai firman Allah. Ada beberapa
bentuk renungan yang boleh diguna pakai seperti renungan topikal, tekstual dan
ekspositori.
Katekis Wilfred Albert Pain - Pengerusi Komiti Katekis Paroki St. Martin, Telupid menyampaikan ucapan penghargaan.
Sesi amali - Membuat Renungan dan Memimpin Ibadat Sabda
Setelah mendengar perkongsian daripada Katekis John, para
peserta dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil dan lebih daripada 30 orang
katekis senior ditempatkan di setiap kumpulan untuk membimbing para peserta
dalam sesi amali. Dalam sesi ini, katekis senior telah memberikan perkongsian
peribadi mereka tentang bagaimana mereka membuat renungan untuk dikongsikan
pada ibadat hari minggu. Selain itu, mereka juga turut memberikan bimbingan
kepada ahli kumpulan untuk memahami petikan alkitab bagi membuat renungan untuk
disampaikan dalam khotbah. Bukan itu sahaja, mereka juga menunjukkan cara-cara
memimpin ibadat sabda mengikut panduan yang telah disediakan. Seterusnya, ahli
kumpulan secara bergilir-gilir menjalani praktikal sebagai pemimpin ibadat
sabda. Selesai amali, ahli kumpulan membuat perkongsian sesama sendiri bagi
membuat penilaian terhadap sesi amali yang telah dijalankan.
Sr. Patricia Limun menyampaikan sesi bertajuk Penjagaan dan Pembersihan Siborium, Piskis dan lain-lain
Pada hari terakhir kursus, Rev. Fr. Jasery dalam
homilinya semasa merayakan Misa Kudus penutupan menyatakan bahawa peranan
katekis sangat penting untuk membantu paderi khasnya dalam pelayanan terutama
sekali di luar stasi. Beliau berasa sangat bersyukur atas penganjuran kursus
ini kerana mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari seluruh paroki dan
berharap agar masalah kekurangan katekis untuk melayani terutamanya di luar
stasi dapat diatasi. Selepas Misa Kudus, Sr. Patricia menyampaikan sesi
terakhir bertajuk Penjagaan dan Pembersihan Siborium, Piskis dan lain-lain
serta Pemberian Komuni kepada Orang Sakit. Dalam sesi ini, Sr. Patricia telah
memberikan penerangan secara teori dan amali supaya para peserta lebih jelas
dengan apa yang disampaikan.
Sr. Patricia menyampaikan hadiah kepada pemenang kuiz spontan
Berikut adalah beberapa perkongsian daripada beberapa
orang peserta yang terdiri daripada katekis senior dan umat awam yang telah
mengikuti kursus singkat tersebut:
Katekis Wilfred A. Pain - Pengerusi Komiti Katekis (Chapel St. Fidelis,
Kiabau - Zon Jln Sandakan)
“Saya bersyukur kepada Tuhan kerana melalui kursus ini saya dapat
mempelajari sesuatu yang baru terutama sekali cara untuk menyediakan
perkongsian. Selain itu, saya juga dapat memperbaharui pelayanan sebagai
seorang katekis dimana saya disegarkan semula dalam pelayanan. Melalui kursus
ini, saya berharap dapat memanfaatkan apa yang telah disampaikan oleh para
penceramah dan melakukan yang terbaik untuk kemuliaan Tuhan serta untuk sesama
khasnya kepada umat di tempat saya melayani. Harapan saya sebagai pengerusi
Komiti Katekis agar umat awam yang menyertai kursus ini dapat menanam tekad
untuk terus melayani dan menggunakan segala pengetahuan dan kemahiran yang
telah diajarkan untuk dikongsikan kepada sesama.”
Katekis Joneta Peter Kulang (Chapel St. Paul, Rumidi/Pinunakan - Zon Jln
Nangoh)
“Saya rasa sangat bersemangat dan kembali segar
setelah mengikuti kursus ini. Apa yang saya harapkan agar ada kesinambungan
bagi kursus ini supaya para katekis dapat sentiasa diperbaharui dalam pelayanan.
Selain itu, melalui kursus sebegini juga diharapkan dapat melahirkan lebih
ramai pelapis menjadi katekis untuk melayani di paroki St. Martin, Telupid.”
Iap Guduh (Chapel St. Petrus, Kironggu - Zon Jln Tongod)
“Walaupun kursus ini singkat,
namun amat bermakna bagi saya. Atas kemahuan sendiri serta dorongan daripada
isteri membuatkan saya ingin menyertai kursus ini. Banyak pengetahuan yang saya
perolehi menjadikan saya lebih bersemangat untuk melayani di ladang Tuhan.
Melalui kursus ini, saya berharap semoga iman saya semakin berkembang, teguh
dan dibaharui sehingga mampu menjadi saksi Kristus. Saya juga berharap agar
akan ada peluang lagi untuk menyertai kursus seperti ini pada masa akan
datang.”
Enniesia Julius (Chapel St. Joseph, Lumou - Zon Jln Ranau)
“Bagi saya, kursus ini sangat menarik dan
menyeronokkan. Rasa ingin tahu akan kandungan kursus ini telah mendorong saya
untuk menyertainya. Melalui kursus ini, saya dapat belajar bagaimana mewartakan
Firman Tuhan agar dapat dihayati dan dijiwai umat setempat. Semoga semua
peserta sentiasa bersemangat untuk melayani sesama dengan kasih Allah dalam
mewartakan Firman Allah, seterusnya ramai yang terpanggil dengan rela hati dan
berani menyahut panggilan sebagai katekis pemimpin ibadat.”
No comments:
Post a Comment