Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, March 23, 2019

RETRET PRA PASKAH, PERHIMPUNAN AGUNG KE-8 KERASULAN WANITA KATOLIK KEUSKUPAN SANDAKAN & PERAYAAN HARI WANITA SEDUNIA

Artikel: Mdm Derren /SOCCOM SDC/ Pn. Jovinia I. Justin

Kerasulan Wanita Katolik Keuskupan Sandakan (KWKK) sekali lagi menganjurkan program 3 dalam 1 iaitu Retreat Pra-Paska, Perhimpunan Agung Kali ke-8 dan Hari Wanita Sedunia 2019. Paroki St. Dominic, Lahad Datu telah diberi mandat untuk menjadi tuan rumah pada kali ini. Program ini berlangsung selama 3 hari 2 malam iaitu pada 8 – 10 Mac 2019 bertempat di My Inn Hotel Bandar Perdana, Lahad Datu. Seramai 117 orang delegasi dari setiap paroki – 16 Delegasi dari Holy Trinity, Tawau, 14 delegasi dari St. Martin, Telupid, 8 delegasi dari Our Lady of Fatima, Beluran, 22 delegasi dari St. Mary, Sandakan, 57 delegasi dari St. Dominic Lahad Datu, kecuali Misi Paitan yang tidak dapat turut serta dalam program kali ini.
Pada hari pertama, dimulakan dengan Misa Kudus yang diselebrankan oleh Fr. Christopher Ireneus. Dalam homili, beliau mengucapkan rasa bersyukur dan tahniah kerana sekali lagi berjaya menganjurkan perhimpunan 3 dalam 1 pada tahun ini. Beliau mengajak semua perwakilan supaya lebih menghayati dan merenungkan sedalam-dalamnya tujuan para perwakilan hadir ke perhimpunan ini. Beliau juga dengan penuh harapan menyeru supaya semua ahli merenung lebih mendalam keperluan dalam pelayanann wanita masa kini yang penuh dengan cabaran dan dapat memperlihatkan penyelamatan Yesus Kristus sebagai sumber kasih kepada semua orang. Oleh kerana tiada tema khas pada perhimpunan tahun ini, Fr. Christopher meminta kepada perwakilan untuk memberi beberapa topik atau persoalan yang ingin dibincangkan bersama. Hal ini sekaligus dapat menarik perhatian para perwakilan semasa sesi-sesi yang akan diadakan, kerana semua yang bakal dibincangkan adalah isu yang dibangkitkan oleh para perwakilan sendiri.
Selepas makan malam, satu tayangan video ‘Kisah Sengsara Yesus’ telah disediakan oleh Sr. Sylvia Imbun sebagai renungan. Tayangan yang memberi fokus kepada kesengsaran Yesus dan Bonda Maria sebagai idola bagi semua wanita ini telah menyentuh hati setiap perwakilan susulan babak-babak kesengsaraan Yesus yang sangat menyayat hati. Sementara tayangan video ditayangkan, Sakramen pengakuan turut dijalankan.
Hari kedua dimulakan dengan Misa Kudus yang diselebrankan oleh Fr. Simon Kontou, Rektor Paroki St. Dominic. Dalam homili, beliau mengingatkan semua umat untuk sentiasa memelihara kesederhanaan, memupuk kesedaran terhadap panggilan Tuhan, dan siap sedia untuk menerima teguran di dalam pelayanan. Menurut beliau, pelayanan di dalam gereja adalah sesuatu yang dituntut oleh gereja kepada setiap umat. “Sama seperti Levi (dalam Injil) berubah dari sikapnya setelah bertemu dengan Yesus dan bertobat. Kerana itu janganlah berputus asa dan tidak lemah semangat apabila menerima kritikan” tambah Fr. Simon.
Sesi Pertama bertajuk “Berjalan Bersama Bonda Maria” dikendalikan oleh Fr. Simon Kontou. Antara inti sesi ini ialah membawa perwakilan menghayati sifat-sifat Bonda Maria yang kurang bercakap tetapi banyak merenungkan kehendak Allah yang disampaikan oleh malaikat Gabriel dan menerima dengan rela akan terjadi menurut rencana Allah. Antara penginjilan yang terawal gereja yang dilakukan oleh Bonda Maria ialah berjalan melawat saudaranya dengan membawa Yesus di dalam kandungannya. Membawa kegembiraan serta mengenali Yesus di pesta perkahwinan di Kanna. Sesungguhnya dari awal misi sehingga misi terakhir Yesus di kayu salib, Bonda Maria tetap setia kepadaNya. Selesai sesi tersebut, semua perwakilan mengadakan Doa Rosari sebagai renungan dan penghormatan kepada Bonda Maria.
Sesi kedua oleh Fr. Christopher Ireneus. Di dalam sesi ini, Beliau membincangkan tentang topik atau persoalan yang telah dikemukakan diawal sesi pendaftaran sebelum ini. Antara rumusan yang dikongsikan adalah pertentangan dalam keluarga, ketidaksetiaan suami atau isteri, masalah komunikasi dengan ahli keluarga, kesukaran memaafkan, tidak mendapat sokongan dalam pelayanan gereja, masalah anak tidak memahami ibubapa dan ekonomi keluarga. HUBUNGAN DENGAN TUHAN telah menjadi tajuk sesi ini kerana hubungan baik dengan Tuhan akan membuat diri mampu menghadapi semua dugaan tersebut denga DOA. Dengan amat memahami cabaran dan masalah, Fr. Christopher menyeru supaya tekun dan setia di dalam doa. DOA adalah cara berhubung dengan Tuhan, mengongsikan serta menyatakan segala fikiran, keperluan atau keinginan kita kepadaNya.
Dalam sesi seterusnya juga oleh Fr. Christopher Ireneus sendiri. Di dalam sesi ini, beliau sekali lagi membawa perwakilan untuk mengimbas dan merenungkan kembali bentuk pelayanan yang penuh dengan cinta kasih. “Pelayanan itu adalah penginjilan dan kesaksian tentang Kristus. Bukan kita yang bekerja, tetapi Yesus yang bekerja dalam diri kita, maka setiap orang yang melihat pelayanan kita, melihat Yesus didalam diri kita” kata beliau. “Pelayanan yang baik adalah seperti “mendengar tanpa mengganggu”, “memberi tanpa bersungut”, “Memaafkan tanpa menghukum” dan “menjawab tanpa bertengkar dan berdoa tanpa henti” tambahnya lagi. Sesi ini diakhiri dengan sesi doa Kerahiman Ilahi juga sebagai persiapan untuk sakramen pengakuan.
Dalam sesi keempat pula ialah “Cabaran Wanita masa kini” telah disampaikan oleh Sr. Regina Kimung. Dalam perkongsian beliau, wanita tidak akan pernah terlepas dari bebanan dan cabaran. Ramai wanita di dunia berputus asa dan kecewa. Namun, wanita beriman masih boleh memikul beban kerana Yesus tidak pernah membiarkan wanita bersendirian. Semasa sesi ini, Sr. Regina merujuk pada nama wanita yang tercatat dalam perjanjian lama dan baru. Peranan mereka dalam perkembangan iman serta bagaimana mereka menggunakan kebijaksaan terutama Bonda Maria yang tidak Bernoda.
Ketua Penyelaras Kerasulan Wanita Katolik Keuskupan Sandakan, Pn. Cecelia D'Souza
Pada sebelah malam, para delegasi berkumpul lagi untuk makan malam bersama dan turut dihadiri oleh Rev Fr Simon Kontou.  Selesai sahaja makan malam, acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Penyelaras KWKK Sandakan, Pn Cecelia D’Souza dan Rev. Fr. Simon Kontou selaku wakil daripada Paroki St. Dominic, Lahad Datu. Acara pemotongan kek juga turut diadakan sebagai simbolik perayaan Hari Wanita Sedunia. Persembahan koir dari setiap paroki merupakan acara pentas pada malam tersebut. Sebelum setiap persembahan dimulakan, perkongsian singkat berkaitan wanita dari seorang wakil setiap paroki turut diadakan. Buat julung kalinya, Anugerah Khas diberikan kepada para delegasi yang telah lama melayani dalam Kerasulan Wanita. Anugerah ini telah diberikan kepada Pn. Bibiana Gadisa dan Rosali Yapuan dari Paroki St Dominic, Lahad Datu, Pn Siony Fiel dan Pn Cecelia D’Souza dari Paroki St Mary’s, Sandakan, Pn Nora Nicholas dan Pn Victoria Salati dari Paroki St Martin, Telupid, Pn Theresa Kampun dan Pn Esther Bungkun dari Paroki Holy Trinity, Tawau dan seterusnya dari Paroki Our Lady of Fatimah Beluran diberikan kepada Pn. Helda Marusin dan Pn. Marayah Undin.
Pada hari terakhir dimulakan dengan Misa Kudus disusuli sarapan pagi. Perhimpunan diteruskan dengan pembentangan laporan perhimpunan KWKK yang lalu. Antara yang diperkatakan ialah mengenai pengubahsuaian dan penambahbaikan garis panduan KWKK perihal keahlian. Penetapan perhimpunan ke-9 di Paroki Our Lady of Fatima (OLOF) Beluran akan dibincangkan lagi pada mesyuarat Penyelaras Keuskupan. Fr. Christopher memaklumkan perlantikan lanjutan AJK termasuk pengerusi penyelaras perlu dikekalkan kerana pengerusi dan AJK telah memahami Misi dan Visi Diosis serta mampu membawa Misi dan Visi ini dalam pelayanan. Perhimpunan berakhir jam 12.30 tenghari dan diakhir dengan Doa pengutusan oleh Fr. Christopher sendiri.
Barisan Ahli Jawatankuasa Tertinggi KKWK untuk tahun 2019-2021
Semasa perhimpunan dijalankan
Para Perwakilan menghadiri sesi ceramah

1 comment:

  1. mari segera bergabung dengan kami.....
    di ajoqq^^com...
    segera di add black.berry pin 58CD292C.
    WwW-AJoQQ club-c0m | bonus rollingan 0,3% | bonus referral 20% | minimal deposit 15000

    ReplyDelete

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent