Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, May 4, 2018

Doa Taize intensi khusus untuk kejayaan Pilihan Raya Umum 2018

oleh Rayner Marcello

Sandakan: Kerasulan Belia Katolik St. Mark dan St. Peter, Gereja St. Mark telah mengadakan Doa Taize intensi khusus untuk kejayaan Pilihan Raya Umum yang ke 14 julung-julung kalinya di Dewan Rainforest Discovery Centre, Sepilok pada 27.04.2018. Seramai 70 orang telah datang untuk berdoa bersama di dalam doa Taize ini.
Sdra. Alday Alexius
Doa Taize dijalankan di Dewan RDC Sepilok atas permintaan umat KKD St. Francis dari Asisi, Sepilok dengan tujuan untuk mengumpulkan belia-belia di KKD Sepilok dan sekitarnya bagi memberi pendedahan kepada para belia terhadap pelayanan di dalam gereja. Doa Taize dimulakan pada jam 7.30 petang dan telah dipimpin oleh saudara Alday Alexius, yang juga merupakan Ahli Kerasulan Belia Paroki, Katedral St. Mary, Sandakan.
Selesai berdoa Taize, program diteruskan dengan Sesi Pengenalan Kerasulan Belia Keuskupan Sandakan (Diocesan Youth Apostolate) dan Kerasulan Belia Paroki Katedral St. Mary, Sandakan (Parish Youth Apostolate) yang telah disampaikan oleh Ahli DYA dan juga PYA iaitu, saudari Airene A. Gumanas. Di dalam sesi tersebut saudari Airene telah menjelaskan tentang peranan dan tanggungjawab para ahli DYA dan PYA bagi peringkat Keuskupan dan juga Paroki. Di akhir sesi, saudari Airene menggalakkan dan mengingatkan para belia untuk melibatkan diri secara aktif di dalam pelayanan namun perlu seimbang dengan pelayanan utama di rumah iaitu tanggungjawab sebagai anak di dalam keluarga dan juga sebagai pelajar.
Sdri Airene menyampaikan sesi
Selepas itu, saudara Cristopher Aban, Pembantu Kordinator PYA Sandakan, telah memberikan sedikit perkongsian mengenai mesej yang telah disampaikan oleh Bapa Suci Fransiskus pada Hari Belia Sedunia yang ke-33, 2018. Mesej Bapa Suci Franciskus dipetik dari Lukas 1:30: “Jangan takut, hai Maria, sebab engkau beroleh kasih karunia di hadapan Allah”. Melalui mesej tersebut, saudara Cristopher menekankan bahawa “belia tidak seharusnya takut akan segala hal tetapi harus percaya dan yakin kepada Yesus bahawa Yesus akan sentiasa bersama-sama dengan kita”.
Sdra. Christopher 
Dimeh Koyopo selaku Pengerusi Komiti Pastoral St. Mark, dalam ucapannya beliau telah memetik petikan Lukas 23:46: “Ya Bapa, ke dalam tangan-Mu Kuserahkan nyawa-Ku”. Melalui petikan tersebut, beliau mengatakan “kita harus selalu berdoa dan serahkan semuanya ke dalam tangan Tuhan agar apa yang kita doakan itu akan terjadi menurut kehendak-Nya”.
En. Dimeh memberikan ucapan
Pengerusi KKD St. Franscis dari Asisi, Sepilok iaitu saudara Fabian Koret dalam ucapannya beliau berharap agar doa Taize dapat diadakan lagi di Sepilok dan juga harapan berterusan agar belia-belia di KKD Sepilok akan lebih berusaha untuk melayani bersama di dalam pelayanan belia mahu pun gereja.
En. Fabian Koret
Sesi perkongsian telah dikongsikan oleh Quinn (bukan nama sebenar) di mana dalam perkongsiannya, dia tidak pernah mengambil tahu tentang mesej Bapa Suci Fransiskus sebelum ini. Dia juga telah mendapat kekuatan bagi menghadapi segala beban yang dialami dalam pelayanannya dan rasa bersyukur kerana dapat mendengar dan mengerti akan mesej Bapa Suci Fransiskus kepada para belia pada malam tersebut.
Program ditutup dengan sesi bergambar beramai-ramai dan makan malam secara ‘potluck’ bersama umat dan para belia.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent