Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, August 22, 2016

Rekoleksi Singkat Pelayan Komuni Luar Biasa dan Pemimpin Awam

Artikel oleh Sr. Liza Augustine, fsic

TAWAU - Seramai 42 pemimpin awam dan pelayan komuni tak lazim dari 3 bahasa iaitu Cina, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris telah menghadiri rekoleksi singkat yang dikendalikan oleh Fr. Philip yang diadakan di bilik Mesyuarat Gereja Holy Trinity pada 9hb Ogos 2016.
Rekoleksi ini bermula pada pukul 7.00 malam dengan doa dan pembacaan Injil. Dalam rekoleksi ini, Fr. Philip memberi renungan berdasarkan pada petikan Injil Markus 1: 21-38. Petikan ini membawa para peserta satu renungan akan jadual harian Tuhan Yesus dari awal pagi hingga malam.
Dalam rekoleksi ini Fr. Philip menekankan betapa pentingnya hubungan yang erat dengan Allah Bapa melalui doa. Sebagai pelayan, permulaan hari harus dimulai dengan doa supaya seseorang itu memperolehi kekuatan untuk menghadapi cabaran yang akan ditempuhinya.
Di samping itu Fr. Philip juga mengingatkan para peserta akan kualiti sikap seseorang pemimpin berdasarkan kepada petikan injil iaitu mempunyai kemampuan dan dapat memberi tindakan yang pantas bila diperlukan dan tidak mudah menghakimi seseorang serta rela keluar daripada zon selesanya dan selalu mendahulukan keperluan orang lain. Namun, semua ini hanya dapat dilakukan bila seseorang itu mempunyai hubungan yang erat dengan Yesus.
Beliau juga menyatakan bahawa Yesus dapat menarik perhatian orang ramai kerana pengalaman dan hubungannya yang intim dengan Allah Bapa.
Tanpa hubungan yang erat dengan Yesus mana mungkin seseorang itu dapat merasakan kasih Tuhan yang tidak terbatas. Bila sesorang itu tidak mengalami kasih Tuhan mana mungkin dia dapat berkongsi cintakasih dengan orang lain.
Beliau juga mengingatkan para peserta untuk sering adakan lawatan kepada keluarga ataupun ke stasiluar supaya hubungan persahabatan dengan umat yang dilawati dapat dibina dan seterusnya dapat memenuhi keperluan umat setempat terutama sekali dalam doa dan kaunseling bagi umat yang memerlukan.
Beliau juga mengingatkan semua peserta supaya jangan terikat dengan jadual dan masa bila melayani. Dia mencabar semua yang hadir supaya keluar dari zon selesa mereka dan melayani dengan sungguh bagi menyahut seruan dan cabaran Sri Paus Fransiskus yang mahukan gereja keluar untuk menjangkau umat terutama sekali yang memerlukan dan yang terpinggir.
Fr. Philip menambah refleksinya dengan mengambil petikan daripada 1 Tim 3:1-7 dan Gal 5: 16-26 untuk para peserta renungi. Kedua-dua petikan ini telah menunjukkan bagaimana menjadi seorang pemimpin yang sejati yang dikuasai oleh Roh Allah yang hidup saling mengasihi, bersukacita, rukun, sabar , berbudi, baik hati, setia, rendah hati dan dapat mengawal diri.
Rekoleksi singkat ini diakhiri dengan perbincangan dan soal jawab oleh para pemimpin awam dan pelayan komuni luar biasa dengan Fr. Philip. Rekoleksi dan pertemuan ini berakhir pada pukul 10.00 malam dengan doa penutup oleh Rev. Fr. Philip.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent