Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, August 23, 2016

REKOLEKSI AHLI LEGIONARIES SEMPENA PESTA KENAIKAN BONDA MARIA KE SYURGA

Artikel oleh Sr. Liza Augustine, fsic

TAWAU : Sempena dengan Tahun Jubili Kerahiman dan Pesta Kenaikan Bonda Maria ke Surga, Kuria Legionaries Bahasa Malaysia Paroki Holy Trinity telah mengadakan rekoleksi singkat yang bertemakan ‘Tahun Kerahiman dan Bonda Maria Bonda Kerahiman.’ Seramai 50 orang ahli Legionaries telah menghadiri rekoleksi pada 14hb Ogos 2016 yang bermula pada 11.00 pagi sehingga 4.00 petang.
Program telah dimulakan dengan doa dan perkongsian daripada para Legionaries tentang pengalaman dan kesaksian mereka dengan Bonda Maria. Salah satu perkongsian adalah daripada saudari Hermin yang mengongsikan rasa syukurnya kepada Bonda Maria. Pada mulanya beliau berasa tidak layak dan tidak mampu memegang tanggungjawab sebagai presiden tetapi sehingga hari ini dia masih bertahan. Dia percaya semuanya ini adalah atas berkat doa dan penyertaan Bonda Maria sehinggakan dia mampu bertahan. Beliau menambah bahawa dengan berbakti dan mendekati Bonda Maria kita tidak akan pernah dikecewakan.
Selepas itu ceramah bertemakan Tahun Kerahiman dan Bonda Maria Bonda Kerahiman disampaikan oleh Sr. Liza Augustine fsic selaku Pembimbing Rohani kepada Legionaries Kuria Bahasa Malaysia.
Sr. Liza fsic menyatakan Tahun Jubili Kerahiman ini diistiharkan oleh Bapa Suci Fransiskus kerana keadaan dunia sekarang yang semakin melupakan Tuhan, pemikiran manusia yang mengerikan yang berpendapat bahawa kebahagian hanya boleh diperolehi melalui wang. Kekerasan dan pembunuhan digunakan untuk memperolehi kekayaan dan pangkat. Kehidupan yang penuh korupsi dan keruntuhan moral secara meluas. Kecenderunagan manusia adalah budaya bertentangan dengan ajaran Kristus yang mempertahankan dan menghargai kehidupan.
Tahun kerahiman ini adalah masa pengampunan dosa, masa untuk berdamai sesama, masa untuk menerima sakramen pengakuan, masa untuk berziarah, masa untuk menerima rahmat Tuhan. Sr. Liza juga menekankan pesan Bapa Suci Franciskus yang mengatakan hanya Kerahiman Allah yang boleh menebus kembali maruah manusia.
Turut ditekankan dalam ceramah ini adalah maksud moto Jubili Tahun Kerahiman ini “Hendaklah kamu berbelas kasihan seperti Bapa kamu berbelas Kasihan” (Luke 6:36). Ini adalah jemputan untuk mencontohi Bapa yang selalu berbelas kasihan dan meminta kita untuk tidak menghakimi tetapi mengasihi dan mengampuni tanpa syarat.
Sempena Tahun Kerahiman ini, para Legionaries juga dicabar untuk meneladani Bonda Maria, Bonda Kerahiman. Ini kerana Peranan Bonda Maria istimewa. Tuhan menghendaki Bonda Maria, menjadi Bonda Kerahiman bagi mereka, agar dapat belajar sifat-sifat kerahiman itu. Maria adalah ikon bagi Gereja bagaimana mengampuni bagi orang-orang yang sukar memaafkan. Bonda pengampun telah menyatakan kepada Gereja bahawa pengampunan telah terpenuhi di Golgotta, pengampunan adalah tidak terbatas, malah ia merentasi undang-undang dan peraturan manusia. Bonda Maria juga setia berdiri di kaki Salib Yesus, memaafkan mereka yang menganiaya Yesus, serta mengikut jejak langkah Yesus yang mengampuni mereka yang membunuh Dia. 
Dengan meneladani Maria, para Legionaries menjadi Ibu bila mereka mengandung Dia di dalam hati dan tubuh dan menerapkan sifat kerahiman itu dalam hidup mereka, agar hidup mereka diubah sedikit demi sedikit hingga menampakkan Allah Sang Kerahiman. Bunda Maria adalah manusia pertama yang menjadikan kerahiman Allah itu sebagai jalan hidupnya. Dengan itu para Legionaries juga diseru untuk mengikuti teladannya.
Berpandukan teladan Bunda Maria, para Legionaries juga dipanggil untuk menyalurkan belas kasih dan kerahiman Allah kepada sesama, terutama kepada setiap anggota keluarga mereka. Seperti  Bunda Maria, oleh karena Kerahiman Ilahi, telah dijadikan kudus tak bernoda sejak di dalam kandungan sampai akhir hidupnya, para Legionaries juga dipanggil untuk hidup dalam kekudusan. Dengan demikian mereka turut mengambil bagian dalam karya Kerahiman Allah.
Di akhir ceramah itu, Sr. Liza fsic sekali lagi mengingatkan para Legionaries untuk ikut serta dalam karya-karya belas kasihan seperti yang disarankan oleh Bapa Suci Fransiskus dalam melaksanakan Jubli Tahun Belas Kasihan, supaya mengalami kembali kekayaan karya jasmani dan rohani.
Rekoleksi ini diakhiri dengan para liturgi iaitu sesi saling mendoakan dan saling mengampuni. Rekoleksi ini telah berjaya membawa para Legionaries memahami akan erti Tahun Jubili Kerahiman dan peranan Bonda Maria sebagai Bonda Kerahiman serta mendekatkan dan berdamai dengan Tuhan dan sesama. Selepas sesi terakhir ini para Legionaries dijemput untuk menikmati jamuan ringan.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent