Tarikh: 07 Ogos 2016
Artikel oleh Farnandes
Gambar oleh, Farnandes, Maria dan Simon H
Hari ulang tahun Paroki St Dominic dirayakan setiap tahun pada bulan Ogos untuk mensyukuri rahmat yang telah diberikan oleh Tuhan, “Kehadiran tuan–tuan dalam perayaan paroki ini adalah satu kenyataan, rasa kepunyaan dan sokongan bahawa kita adalah dibawah satu paroki. Disinilah kita dapat bekerjasama khususnya dalam pembangunan rohani di paroki kita”. Demikianlah kata-kata aluan Rev. Fr. Simon Kontou selaku Rektor di paroki St.Dominic ini.
Perayaan Peringkat paroki ini dirayakan seminggu lebih awal dengan pelbagai aktiviti yang telah disertai oleh hampir semua KKD dibawah naungan paroki ini termasuk umat-umat dari luarstasi. Acara-acara yang telah berlangsung adalah seperti berikut:
· 30 July 2016 - Pertandingan Bola Tampar
· 31 July 2016 - Pertandingan melukis oleh PMG
· 31 July 2016 - Auditions Mr & Mrs Dominican Season 2
07 Ogos 2016, tepat pada jam 9.00 pagi Hari Paroki yang ke - 64 ini dimulakan dengan misa kudus yang diselebrankan oleh Bapa Uskup Julius Dusin Gitom dan dibantu oleh Rev Fr Simon Kontou, Fr. Marcelinus Pongking dan Dikon Christopher. Sekali lagi hari yang bersejarah telah dicipta di paroki ini dengan penglibatan umat dari pelbagai bangsa yang sentiasa bekerjasama antara satu sama yang lain sebagai keluarga didalam kasih Tuhan.
Dalam Misa Kemuncak ini, Bapa Uskup telah merakamkan rasa syukur dan rasa terharu beliau kepada semua umat yang hadir, lebih-lebih lagi perayaan ini telah dirayakan dalam tahun kerahiman, “Segala yang terjadi di dalam tahun ini adalah ungkapan dan kenyataan dimana Tuhan sentiasa mengasihi kita, Tuhan menyertai kita. Ini kerana hanya dengan kehendak Tuhan barulah semua ini terjadi”.
“Saudara dan saudari walaupun Tuhan itu sangat bermurah hati tetapi Tuhan menuntut kita supaya kita terus menguatkan jaminan kekeluargaan itu, semangat kekitaan dan semangat berkomuniti. Kita perlu meningkatkan lagi semangat kekeluargaan itu agar kita berjaya didalam segala sesuatu yang kita rancangkan”. Demikianlah kata-kata Yang Mulia Bapa Uskup sempena perayaan ini.
Selesai sahaja misa, perayaan hari paroki diteruskan dengan acara pentas bertempat di dewan terbuka paroki yang bermula lebih kurang jam 11 pagi. Acara dimulakan dengan pemotongan kek dan diikuti dengan persembahan daripada para belia dan ahli-ahli KKD di paroki termasuk luarstasi. Acara berakhir lebih kurang pada jam 6 petang.
No comments:
Post a Comment