Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, January 28, 2015

Bapa Uskup Julius Mengurapi Minyak Suci Krisma Pada 111 Calon Penguatan

Berita dan gambar oleh : 
GBell dan Helda Japanis
Panorama kawasan Chapel St. Francis of Assisi Kg. Sukang Paitan
Paitan :  Pada hari kedua lawatan pastoral Bapa Uskup Julius Dusin Gitom ke Misi Paitan, 18hb Januari 2015, beliau telah mengurapi minyak suci krisma kepada 111 calon dalam upacara Sakramen Penguatan di Chapel St Francis of Assisi, Sukang. Kampung tersebut terletak 192 KM dari pusat bandar Sandakan.

Kehadiran umat dalam perayaan Ekaristi dianggarkan sekitar 500 orang yang datang dari persekitaran kampung-kampung daerah kecil Paitan.


Turut hadir bersama dalam upacara tersebut ialah Rev. Fr. Thomas Makajil rektor paroki Katedral St. Mary Sandakan, Sr. Appolonia Gumpu fsic, Sr Maria Dipal rgs serta beberapa ahli rombongan dari Sandakan, Ulu Dusun dan Beluran.
Bacaan Pertama : 1Sam. 3:3b-10,19; Mazmur : Mzm. 40:2,4ab,7-8a,8b-9,10; Bacaan Kedua : 1Kor. 6:13c-15a,17-20; Injil : Yoh. 1:35-42
 Umat yang menyertai Misa Kudus
Bishop of the Diocese of Sandakan
Bapa Uskup Julius
Bapa Uskup Julius dalam homilinya memanjatkan syukur kepada Tuhan atas berkat dan rahmatNya yang senantiasa dicurahkan kepada para pengikutNya khususnya bagi 111 calon penguatan. Sakramen Penguatan mengingatkan kita bahawa kita sudah dewasa dalam iman, harus turut serta dalam misi gereja dalam dunia ini, menyebarkan Injil Keselamatan kepada orang lain terutama kepada mereka yang belum mengenal Kristus.

Bapa Uskup mengingatkan para calon penguatan, juga semua umat bahawa mereka harus memberi perhatian kepada tiga perkara sebagai panduan menghidupi iman Katolik.


Kita tidak boleh memberi kepada orang lain yang tidak kita miliki. 

Jika Kristus belum hidup dalam peribadi kita, kita tidak boleh membawa Kristus kepada orang lain. Hanya apabila kita mempunyai hubungan intim dengan Kristus, barulah kita boleh membawa Kristus kepada orang lain. Kita harus memiliki iman yang teguh agar menjadi pembawa Kristus kepada dunia ini supaya dunia kenal Kristus sebagai Juruselamat. Beliau mengajak semua umat agar misi menyebarluas Kristus yang merupakan tanggungjawab besar bermula daripada setiap individu.

Perbuatan sentiasa lebih menyakinkan daripada kata-kata kita.
Ada yang mengaku beriman tetapi perbuatannya sama sekali tidak mencerminkan hidup beriman. Kehidupan sedemikian tidak menyakinkan orang lain kerana kita dianggap sebagai tin kosong. Iman sepatututnya mendorong kita melakukan perbuatan yang menyenangkan hati Tuhan. Iman bukan sekadar percaya, kita boleh melihatnya dari tingkahlaku kita.
Ketika kita mengimani Tuhan, maka ini akan terlihat dari sikap hidup dan perbuatan kita seharian. Iman adalah akar kehidupan dan perbuatan baik adalah buahnya. Kita sendiri harus memulakan bukan dengan banyak kata-kata tetapi kita lakukan melalui perbuatan kita. Perbuatan yang baik lebih berkesan dari kata-kata belaka.

Hubungan dengan Tuhan
Umat hendaklah sentiasa bersandar sepenuhnya kepada Tuhan. Amalan yang baik ialah berdoa kepada Tuhan dan harus dipupuk agar menjadi budaya hidup. Berdoa itu penting, umpama 'makanan' harian memberi tenaga untuk meneruskan hidup. Bersikap sedemikian dapat membina hubungan lebih intim dengan Tuhan. Berdoa, samada secara individu mahu pun kelompok boleh menjadi kesaksian bagi kita sebagai putera-puteriNya. Beliau menyeru semua umat, khususnya calon penguatan agar memupuk amalan kehidupan berdoa 

Bapa Uskup juga mengingatkan semua umat untuk berdoa khusus bagi hari perbicaraan dalam Mahkamah Agung di Kuala Lumpur berkenaan dengan kes penggunaan kalimah Allah dalam Mingguan Katolik Herald terbitan Keuskupan Agung Kuala Lumpur  pada 21hb Januari 2015. 
Upacara mengurapi Minyak Suci Krisma dalam Sakramen Penguatan oleh Bapa Uskup Julius

MAJLIS UCAPAN

Sdra Willy Pius
Pengerusi KUK Paitan, sdra Willy Pius mengharapkan sokongan daripada para sukarelawan dari luar untuk datang membantu Paitan dari segi material dan pelayanan kerohanian. Menurutnya Misi Paitan amat kekurangan dari segi bahan-bahan katekesis. Beliau berharap bahan-bahan tersebut dapat disumbangkan kepada mereka.
Sdra Pilis Malim
Sdra Pilis Malim, Pengerusi MPP Katedral St Mary, Sandakan mengucapkan syabas kepada umat Katolik Paitan yang merayakan ulang tahun khabar Gembira yang ke-33 tahun sejak mulanya Misi Paitan pada 1982 merujuk pada sejarah yang ditulis oleh sdra Henry Solibun di buku kenangan sempena lawatan pastoral Uskup ke Paitan. Beliau ingin mengajak komiti dari Katedral untuk berusaha membantu dari segi kunjungan pastoral, bahan material dan sebagainya menurut kemampuan selain dari berdoa kepada Tuhan untuk terus membangun iman penduduk Katolik Paitan.  
Ketua Katekis Paitan sdra Peter Saimin
Beliau mengimbas kembali kedatangan Khabar Gembira ke Paitan pada awal 80an yang dilakukan oleh orang awam dari Beluran iaitu mendiang Stephen Ubing dan mendiang Michael Anthony. Beliau mengajak semua umat untuk bersyukur atas pengorbanan mereka. Aktiviti mereka ini berterusan sehingga tertubuhnya Misi Paitan dari Sandakan. Selama 30 tahun, Misi Paitan senantiasa menerima sumbangan tenaga, material dan bantuan pembangunan kerohanian daripada berbagai perkumpulan dan Komuniti, seperti perkumpulan Karismatik, Kerasulan Wanita dan orang perseorangan. 
Fr Thomas Makajil
Fr. Thomas menyampaikan ucapan terima kasih atas lawatan pastoral Bapa Uskup Julius dan sokongan daripada umat Katolik dari Sandakan. Seterusnya, beliau mengucapkan syabas kepada 111 yang menerima Sakramen Penguatan disamping memberi nasihat-nasihat tentang cabaran-cabaran baru yang mungkin dihadapi. Fr. Thomas mengajak para muda mudi mengambil bahagian dalam usaha membangunkan komuniti Misi Paitan.
Bapa Uskup Julius
Bapa Uskup Julius mengajak umat bersyukur kepada rahmat Tuhan atas perubahan yang telah berlaku di Misi Paitan sejak 1982. Ia umpama benih kecil yang ditabur dan kini menjadi sebuah pohon yang besar. Saat ini, kita dapat melihat buah-buahnya yang baik. Beliau mengajak para umat agar bersatu dan menjaga kerohanian bersama-sama sebagai satu komuniti Kristian yang memiliki semangat kepunyaan.

USKUP MENYAMPAIKAN PENGHARGAAN KEPADA PARA KATEKIS DAN SUKARELAWAN

Berikut adalah album kenangan penyampaian cenderamata daripada Bapa Uskup kepada semua katekis lama dan baru yang melayani di Misi Paitan.

UPACARA MEMBERKATI GROTTO MARIA

Gambar berikut adalah upacara memberkati Grotto Bunda Maria yang dibina oleh Komuniti Pembaharuan Karismatik Katolik Bahasa Malaysia dari Katedral St. Mary, Sandakan yang diketuai oleh Sdra Adaris Sintan.
Uskup Julius dan Fr. Thomas bersama-sama menekan butang air pancutan sebagai tanda perasmian Grotto (Gua Maria)
 di Kampung Sukang.
Album kenangan di Grotto Sukang sempena pemberkatan.

USKUP MELAWAT GERAI KOMUNITI KRISTIAN DASAR PAITAN

Gerai komuniti dari St. Francis Kg. Sukang, Paitan
Gerai komuniti Katolik dari Kg. Pinangkau, Paitan
Sr. Appollonia FSIC mencuba resepi masakan tradisional daripada penduduk tempatan Paitan. Gerai komuniti dari Kg. Tangkarason, Paitan 
Uskup melawat gerai komuniti Kristian dari Kg. Tangkarason, Paitan
Uskup melawat gerai komuniti Kristian dari St. Simon Kg. Timpus, Paitan
Fr. Thomas melawat gerai komuniti Kristian dari St. Petrus Kg. Tawanan, Paitan

ANTARA ACARA YANG MENARIK DALAM PERSEMBAHAN PENTAS

Persembahan tarian tradisional daripada Komuniti Indonesia
Persembahan tarian daripada belia St. Francis of Assisi Kg. Sukang
Persembahan tarian Mogigol dari Kg. Panangkau Paitan 

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent