DAMASUS KAYUN bertugas sebagai Katekis di Kapela St. Simon, Kg. Timpus, Paitan. Beliau telah melayani sebagai katekis lebih dari 10 tahun. Malah sebelum menjadi katekis beliau sudah mula menjadi tenaga pembimbing ajaran agama Katolik. Dengan rendah hati beliau berkata walaupun sudah menjadi katekis lebih dari 10 tahun tetapi beliau masih perlu belajar tentang kaedah-kaedah dan pendekatan efektif untuk memperkembangkan iman Katolik di Misi Paitan ini.
Banyak perubahan ketara telah berlaku di Misi Paitan, khususnya di Kampung tersebut. Penduduk-penduduk kini lebih cenderung mengimani agama Katolik dan meninggalkan kepercayaan nenek moyang mereka yang lebih menjurus kepada amalan ilmu.
Beliau merasa gembira sekali dan berbangga terutama akan kehadiran Bapa Uskup Datuk Julius Dusin Gitom untuk memberkati serta merayakan Ekaristi bersama di kapela St. Simon, Kg. Timpus pada 17 Januari 2015. Kehadiran Bapa Uskup memberi semangat kepada umat setempat Kapela tersebut. Beliau menekankan bahawa iman harus dipelihara sebab tanpa iman umat tidak ada sandaran yang kukuh dan berharap agar umat mempertahankan iman dan menurunkannya kepada anak cucu.
Bersempena dengan lawatan rasmi Bapa Uskup ke Misi Paitan buat kali yang ke-3 serta sambutan ulangtahun ke-33 Misi Paitan, merupakan pengalaman yang cukup bermakna bagi saya sendiri. Sambutan seperti ini adalah saat yang dinanti-nantikan oleh semua umat Katolik Misi Paitan khususnya kami umat di St. Francis Assisi, Kg. Sukang. Ianya bukan sahaja memberi peluang kepada kami untuk menyertai sambutan besar seperti ini namun juga berpeluang untuk menjadi tuan rumah bagi majlis ini.
Antara detik yang cukup menarik bagi saya sempena lawatan Bapa Uskup kali ini adalah upacara Sakramen Penguatan buat 111 calon. Selaku AJK penganjur pada majlis ini, persiapannya amatlah mencabar, memandangkan cuaca yang tidak menentu dengan hujan yang berterusan. Keadaan hujan yang hampir setiap hari menyulitkan kami dan wakil setiap chapel di seluruh misi untuk berkumpul menyiapkan segala persediaan. Ditambah pula dengan tugasan saya sebagai AJK serta juga calon penguatan pada masa yang sama cukup mencabar bagi saya.
Namun begitu, saya rasa amat bersyukur, walaupun tanggungjawab kami yang cukup berat namun saya selalu teringat yang walaupun kita berada dalam kesusahan namun ianya adalah peluang yang Tuhan berikan kepada kita untuk mendekatiNya. Terima kasih atas semua sokongan dan bantuan yang diberikan oleh semua pihak yang terlibat dalam menjayakan perayaan ini. Tuhan memberkati. Amen!
SAUDARA ABDUL PIUS, Kampung Timpus, Paitan
Sdra Abdul Pius telah menjadi Katolik sejak 20 tahun yang lalu. Sejak dibaptis beliau tidak tetap tinggal di Kampung. Walau bagaimanapun, beliau merasa senang sekali akan lawatan Bapa Uskup Datuk Julius Dusin Gitom untuk memberkati kapela St. Simon, Timpus pada 17 Januari 2015 yang lalu dan amnya di Misi Paitan kali ini memandangkan kunjungan Bapa Uskup ke Paitan jarang-jarang berlaku.
Menurut beliau sebelum agama Katolik di sebar di Paitan, penduduk di sini rata-rata lebih cenderung mengamalkan
ilmu kepercayaan nenek moyang mereka. Namun kini beliau sangat bersyukur kerana
sudah ramai umat yang percaya kepada Kristus terutama agama Katolik.
Beliau menjangka bahawa Misi Paitan mempunyai harapan menjadi lebih maju pada masa hadapan bukan saja dari segi ekonomi tetapi
terutama sekali dari segi kerohanian.
No comments:
Post a Comment