Gambar oleh : Dominggus dan Farnandes Siprianus
Artikel oleh Nowel, Sister Evelin fsic dan Farnandes
Lahad Datu : Seramai 323 peserta telah menghadiri Seminar Mengenali dan Mengasihi Iman Katolik - 'Apa Perbezaan Gereja Katolik, Ortodoks dan Protestant pada 17hb dan 18hb Januari 2015 di Gereja St. Dominic. Seminar selama dua hari dalam 9 sesi, telah dianjurkan oleh Komiti Kateketikal Paroki St Dominic dibantu oleh para religius dari Kongregasi FSIC.
Seminar tersebut diawali dengan Pentakhtaan Alkitab oleh Rev. Fr. Simon Kontou, rektor paroki St.Dominic. Setelah itu, beliau telah mengongsikan secara ringkas tentang sejarah perpecahan gereja awal.
Sr. Veronica Kandaung fsic, Sr. Imelda Anggang fsic, Sr. Evelin Tivit fsic, Sr. Dariah Ajap fsic, Sr. Christella Lim fsic dan Sr. Anita Lintanga fsic mengendalikan sesi- sesi dalam program tersebut.
Sesi-sesi tersebut meliputi ;
- Sejarah Ringkas Perpecahan Gereja oleh Fr. Simon Kontou
- Sesi tentang Iman Bahagian 1 oleh Sr. Veronica Kandaung fsic
- Sesi tentang Iman Bahagian 2 oleh Sr. Veronica Kandaung fsic
- Sesi tentang Tuhan oleh Sr. Imelda fsic
- Sesi tentang Penyembahan oleh Sr. Evelin Tivit fsic
- Sesi tentang Keselamatan oleh Sr. Dariah Ajap fsic
- Cabaran Iman Katolik oleh Sr. Veronica Kandaung fsic
- Sesi tentang Etika oleh Sr. Anita Lintanga fsic
- Sesi tentang Ekumenisme oleh Sr. Anita Lintanga fsic
Dalam sesi yang seterusnya para Sister telah mengongsikan secara lebih terperinci mengenai Asas dan Iman Katolik (Melalui Kitab Suci, Tradisi Suci dan Magesterium) terutama ciri-ciri Tri Tunggal, 2 sifat Yesus iaitu Manusia dan juga Tuhan. Dalam masa yang sama juga cara-cara kepercayaan serta perjalanan iman bagi gereja Ortodoks dan Protestant turut dikongsikan dan para peserta didedahkan bagaimana indahnya perjalanan iman Katolik dan mengapa kita sebagai umat Katolik harus bersyukur menjadi seorang Katolik.
Dalam sesi “Cabaran Iman Katolik,” Sr.Veronica fsic telah mengongsikan bagaimana dunia sekarang cuba untuk memanipulasi iman umat Katolik terutamanya generasi muda (kanak-kanak dan belia) dengan pelbagai cara dan yang paling ketara sekali melalui pendidikan, perbankan dan pentadbiran. Melalui pendedahan ini, ia merupakan perkara yang sangat baik agar umat masa kini tidak leka dan akan mengambil serius terhadap perkara ini.
Di akhir sesi pula beberapa peserta telah diberi peluang untuk memberi perkongsian tentang pengalaman serta informasi yang mereka alami di sepanjang seminar tersebut.
Patricia telah mengongsikan bahawa pada mulanya beliau merasa hairan dan tertanya-tanya, “Apakah keistimewaan Gereja Katolik”.
“Saya sebenarnya belum dibaptis sebagai seorang Kristian Katolik dan masih mengikuti kelas IKD. Sebelum ini juga saya pernah pergi ke gereja-gereja lain untuk mencari Tuhan, namun saya tidak menjumpaiNya” ujar beliau.
Namun, setelah beliau mengikuti seminar ini, beliau mulai memahami apa itu Katolik, dan diakhir perkongsiannya beliau mengatakan, “Saya bangga menjadi seorang Katolik”.
Komiti Kateketikal juga akan mengambil tindakan susulan bagi mengongsikan pengalaman serta informasi ini kepada umat di luar stasi dan umat di paroki yang tidak dapat hadir pada seminar tersebut.