Oleh Mary Chong
Foto oleh Helen J
Sandakan : Program Rekoleksi dan Pembaharuan Janji Perkahwinan merupakan salah satu program anjuran bersama Majlis Pastoral Paroki (MPP), Komiti Kristian Dasar (KKD) Induk dan Komiti Pelayanan Hidup Keluarga Paroki (KPHKP) St. Mary, Sandakan. Sasaran peserta bagi program ini ialah pasangan yang perkahwinan mereka telah diberkati di gereja dan telah mencapai usia perkahwinan 5 tahun dan ke atas.
Pada 22 November 2014, seramai lapan pasangan telah mengikuti rekoleksi PPJP seawal 8.00 pagi. Sr. Appollonia Gumpu fsic memimpin Doa Pembukaan dan Pentakthaan Alkitab.
Sesi 1, “Komitmen dan Sakramen Perkahwinan” telah disampaikan oleh Sdra Cesar Siruno dan isterinya, Eva. Dalam ceramah beliau, Sdra Cesar menerangkan perkahwinan sebagai bersifat kekal dan eksklusif. Malah perkahwinan adalah berasal dari rencana Tuhan.
Sesi 2 diteruskan oleh Sdra Pius Gorohom, bertajuk “Kerohanian Dalam Keluarga”. Beliau menerangkan pentingnya kerohanian sebagai tunggak dalam kehidupan berkeluarga.
Sesi 3 yang bertajuk “Cabaran Dan Konflik Keluarga Katolik Masa Kini” telah disampaikan oleh Sr.Veronica Kandaung fsic. Dalam sesi ini Sr. Veronica fsic telah menerangkan cabaran-cabaran dan konflik yang sentiasa dihadapi dalam kehidupan berkeluarga.
Pada sebelah petang para peserta menjalani raptai perarakan di gereja. Selesai raptai, peserta beralih ke Bilik Katekatikal untuk sesi menonton tayangan video yang berkaitan dengan kekeluargaan. Acara terakhir hari pertama ialah sesi pengakuan, khas untuk para peserta.
Pada hari kedua, 23 November 2014, setiap pasangan dengan pakaian yang anggun dan menawan berarak dari dewan paroki ke pintu masuk katedral untuk mengikuti Misa Kudus Bahasa Malaysia pada pukul 9.15 pagi. Upacara pemberkatan dan pembaharuan janji telah diupacarakan oleh Fr. Sunny Chung.
Rev. Fr. Sunny Chung |
Fellowship secara potluck bersama kesemua pasangan PPJP dan saudara mara mereka telah diadakan di dewan paroki pada sebelah malam. Acara dimulakan dengan perarakan masuk setiap pasangan ke dalam dewan dan menuju tempat duduk yang disediakan khas untuk mereka. Pengerusi penganjur sdri Valerie Linggok dan Fr Thomas Makajil, paderi paroki katedral St Mary menyampaikan ucapan alu-aluan mereka.
Sepanjang acara makan, program terus diisi dengan persembahan lagu-lagu dari anak-anak setiap pasangan. Acara dimeriahkan lagi dengan acara memotong kek oleh setiap pasangan disusuli dengan perkongsian pengalaman hidup dalam berkeluarga daripada 4 pasangan iaitu pasangan Hildi Poili dan isteri, pasangan Simeon Linus dan isteri, pasangan Pagrios Petrus dan isteri serta pasangan Carlito Del Rosario dan isteri. Kesemua pasangan ini mempunyai pengalaman dan cerita tersendiri.
Acara berakhir tepat 11.00 malam dengan Fr. Sunny memimpim doa penutup. Semoga program ini telah memperkukuhkan lagi cinta kasih antara suami dan isteri dan keluarga dan semoga semua peserta dilimpahi dengan berkat Tuhan menjadi saksi-saksi Kristus yang lebih efektif.
No comments:
Post a Comment