SY Soccom Lahad Datu
Lahad Datu - Setelah empat tahun KKD di paroki St Dominic dibentuk, sejak tahun 2008, seminar kepimpinan KKD sekali lagi diadakan selama dua hari iaitu pada 14-15 Januari 2012 bertempat di Dewan Gereja St Dominic. Seminar kali ini disertai oleh lebih 140 orang pemimpin KKD di paroki St Dominic dan stasiluar.
Penceramah jemputan untuk seminar ini adalah saudara John Lainsin dari Diosis Keningau. Seminar ini dimulakan dengan doa pembukaan yang dipimpin oleh Rev Fr Simon Kontou disusuli dengan slot "Ice Breaker" melalui 'nyanyian dan aksi'.
Seminar ini dibahagi kepada tiga sesi iaitu :-
1) Kepimpinan Dalam Gereja
Saudara John Lainsin menerangkan bahawa dalam KKD, setiap ahli haruslah komited untuk datang, duduk dan dengar. Sifat berpartisipasi (take part) dan ambil peduli terhadap keadaan ahli sekitar kawasan KKD adalah penting dalam perkembangan KKD tersebut.
Seperti dalam Mrk 9:33-37, sebagai peminpin haruslah melayani dan berhati-hati dalam pelayanan kerana akan ada percubaan dan cabaran dalam proses tersebut. Saudara John turut menerangkan perbezaan antara pelayanan dan kerja. Beliau turut mengingatkan para pemimpin KKD bahawa dalam pelayanan, jangan ada yang terlalu mementingkan kejayaan tetapi kesetian dalam melakukan pelayanan itu yang harus diutamakan.
2) Komunikasi yang Efektif
Dalam sesi ini, saudara John menerangkan akan kebaikan dan keburukan komunikasi dalam 3 peringkat umur iaitu golongan berusia, dewasa dan kanak-kanak. Setiap ahli KKD haruslah mengamalkan sikap "win-win" dalam perbincangan agar setiap perbincangan dapat mencapai persetujuan daripada semua ahli. "Tujuan KKD adalah seperti cara hidup jemaat yang pertama terdapat dalam Kis 2:41-47" kata saudara John.
3) Pertumbuhan Komuniti Yang Berakar dan Beriman
KKD adalah rumah untuk semua. (Kis 4:32-37). Hidup sebagai KKD seharusnya sentiasa saling berkongsi, membaca kitab suci bersama dan saling tolong menolong. Mat18:19-22, Yesus harus lah menjadi sumber pertemuan dan aktiviti KKD agar membuahkan hasil.
Bengkel diadakan setiap sesi dan para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk perbincangan dan perkongsian.
Seminar ini diakhiri dengan ucapan daripada wakil MPP saudara Willie Binati dan Rev Fr Simon Kontou, penyampaian hadiah cenderakenangan kepada Saudara John Lainsin atas kesudian beliau memberi ceramah tentang KKD untuk kali kedua di paroki ini.
No comments:
Post a Comment