Sandakan : Para staff dari Pusat Kebajikan Good Shepherd (PKGS) yang diketuai
oleh Sr. Maria Dipal RGS, bersama dengan Jellferlyne Joseph dan Stephanie Sabin
serta pembimbing sukarela telah menganjurkan perayaan pesta Hari Natal Program
Pembelajaran Kanak-kanak Gembala Baik di Gereja Katolik St. Mark Batu 12 pada Ahad, 18hb Disember 2011. Sambutan pesta Hari Natal tersebut telah dianjurkan khasnya untuk kanak-kanak
dan para ibu bapa yang telah mengikuti program ini. Beberapa basis (KKD) dari
Komuniti Keluarga Besar Katolik Indonesia (KBKI) juga telah dijemput untuk
sama-sama memeriahkan pesta tersebut. Kelancaran dan kejayaan sambutan pesta
Hari Natal ini adalah hasil bantuan dan kerjasama daripada pihak Kerasulan
Wanita Gereja St. Mark serta komuniti KBKI - sikap dan keterbukaan
mereka haruslah diberikan pujian.
Juruacara; Yakob Jhon (8 tahun),
Elis Leyn (11 tahun), dan Jellferlyne Joseph
Antara jemputan yang hadir pada hari tersebut ialah En.
Francis Tan dan keluarga, serta En. Dimeh Kyopo dan ahli Komiti Pastoral Gereja
St. Mark yang lain. Kehadiran mereka juga telah menambahkan lagi kemeriahan
sambutan pesta Hari Natal itu terutama sekali apabila En. Dimeh memberikan
ucapan di mana beliau juga berasa sangat gembira dan bersyukur kerana beliau
dapat berkumpul bersama-sama dengan komuniti Indonesia di Gereja St. Mark.
Menurut beliau “…walaupun kita berasal dari tempat yang berlainan tetapi kita tetap adalah satu keluarga Kristian dan kita
berkumpul serta bersatu di dalam nama Yesus Kristus walau di mana pun kita berada .” Beliau juga memberikan
galakan dan sokongan kepada mereka untuk meneruskan usaha mereka bagi mendekati dan terlibat di dalam aktiviti atau pelayanan gereja.
Ucapan En. Dimeh Koyopo,
Pengerusi Komiti Pastoral Gereja St. Mark
Sr. Maria memberikan ucapan dan doa
penutup
Selain En Dimeh, Sr. Maria juga mengkongsikan pengalaman
beliau selama satu tahun berjalan bersama dengan komuniti KBKI ini. Menurutnya,
beliau telah melihat bintang terang yang bersinar melalui
- Perkembangan
anak-anak dari segi akademik dan kokurikulum. Kini mereka boleh membaca, mengira, dan menulis.
- Penglibatan
ibu bapa dalam menjayakan program ini seperti membantu memasak dan
mengajar
- Perkembangan
KBKI dengan tertubuhnya beberapa Basis (KKD)
- Proses
rekonsiliasi antara sesama ahli komuniti KBKI.
- Sokongan
dan kerjasama dari pihak gereja menyediakan ruang untuk
menjalankan program ini.
Beliau
juga telah menyatakan harapan beliau terhadap komuniti KBKI untuk tahun 2012
dan antaranya ialah
- Penglibatan
komuniti KBKI di dalam membangun gereja setempat
- Meneguhkan iman dan membangun hidup berkomuniti
Lakonan oleh kanak-kanak Program
Pembelajaran Kanak-kanak Gembala Baik
Tajuk: “Malam Natal Yang Penuh
Makna”
Dengan tema “Gloria
In-excelsis Deo” pesta Hari Natal ini diadakan bukan sahaja untuk
memberikan kesempatan dan masa bagi mengumpulkan seisi keluarga komuniti
Indonesia tetapi juga untuk meneguhkan lagi pengertian tentang erti sebenar
Hari Natal. Seperti yang telah dilakonkan oleh beberapa kanak-kanak dari program
ini dengan tajuk “Malam Natal yang penuh makna” di mana mesej yang disampaikan
cukup jelas bahawa Hari Natal disambut setiap tahun adalah untuk senantiasa
memperingati kita bahawa kelahiran Yesus Kristus ke dunia merupakan hadiah yang
paling bermakna dan berharga yang telah dihadiahkan oleh Allah Bapa atas cinta
kasih-Nya yang sangat besar untuk manusia. Oleh itu, sebagai umat Kristian kita
haruslah menghargai dan merayakan Hari Natal dengan penuh riang gembira dan
rasa syukur serta cinta kasih pada setiap tahun
kerana Allah Bapa syurgawi telah memberikan kita Putera-Nya yang tunggal
iaitu Yesus Kristus pada Hari Natal.
Koir oleh Ibu-ibu dari pengurusan
dapur
Selain itu, pelbagai persembahan dan permainan telah
diadakan bagi memeriahkan suasana dan seterusnya mewujudkan atau membina dan
memperkukuhkan hubungan persaudaraan yang merupakan salah satu panggilan untuk
kita sebagai keluarga Kristian. Antaranya ialah persembahan tarian dari
kanak-kanak program ini, Basis Bt. 8 dan Basis Bt. 16, serta persembahan
nyanyian dari ibu-ibu Gereja Basel dan St. Mark.
Sr. Maria Dipal RGS juga telah mengambil kesempatan pada
hari tersebut untuk menyampaikan penghargaan dan tanda terima kasih beliau
serta ahli PKGS yang lain kepada para ibu bapa yang telah menyumbangkan tenaga,
masa, dan usaha secara sukarela untuk menjalankan Program Pembelajaran
Kanak-kanak ini.
Akhir sekali, seperti kata Sr. Maria di dalam ucapan
beliau”…bintang terang itu sebenarnya ada di dalam diri kita masing-masing dan
ia hadir melalui pengalaman-pengalaman pahit dan manis, suka dan duka yang
telah ditempuhi sepanjang tahun kerana pengalaman-pengalaman inilah yang
membantu kita untuk terus berkembang dan membangun di dalam komuniti dan gereja”.
Nyanyian lagu ‘Kesukaan Pada
Dunia’, ‘Anak Yesus Dilahirkan’ dan‘Merry Christmas’
Sekian, setinggi-tinggi
penghargaan dan terima kasih kami kepada semua yang terlibat sama ada secara
langsung ataupun tidak langsung. Selamat menyambut Hari Natal dan Tahun Baru
2012!
No comments:
Post a Comment