Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, May 19, 2020

PERINTAH KAWALAN PERGERAKKAN (PKP): APA KATA BELIA - BAHAGIAN 2

PAROKI KATEDRAL ST MARY, SANDAKAN

Cecilia George

Sejak PKP diumumkan perkara paling  merindukan adalah bersembayang di gereja dan ini membuat saya rasa sedih.

Pengalaman yang paling mencabar dalam hidup saya adalah saya merasa tidak berguna kerana tidak dapat membantu keluarga saya dari segi kewangan kerana mereka menanggung banyak bayaran yang perlu dibayar. Ini membuatkan saya banyak berfikir untuk mencari cara untuk membantu mereka. 

Meskipun saya tidak dapat ke gereja, saya  tetap berdoa rosari bersama keluarga saya .

PKP membuatkan saya belajar untuk menghargai masa yang telah Tuhan berikan kerana pada saat ini saya dapat meluahkan perasaan saya kepada keluarga saya yang lama sudah saya pendam dan saya berasa lega setelah memperkongsikan semua masalah - masalah saya.

Perkara yang saya amat bersyukur adalah walau bagaimanapun kadang - kadang ada masalah kewangan, keluarga saya tetap membekalkan keperluan di dalam rumah.

Harapan saya agar semua orang mematuhi arahan yang diberi dan sentiasa ingat akan Tuhan kerana masa masa seperti ini iman kita mudah dicabar dan dipengaruhi oleh roh - roh jahat.


Karolina Wolor

Saya merasa terjejas dan tertekan kerana situasi PKP, ini sebab tidak boleh pergi ke mana - mana termasuk pergi ke gereja.

Perkara yang paling mencabar adalah menjaga jarak dengan orang ramai dan yang paling mengecewakan apabila pergi ke kedai pun mesti akan di check.

Sebagai seorang yang beriman, saya tetap berdoa dan percaya bahawa badai pasti akan berlalu sesuai dengan keadaan dan waktu TUHAN. Meskipun merasa ada kekecewaan, situasi ini telah mengajar saya untuk menghargai waktu mengikuti Misa Kudus dan kesempatan dalam pelayanan. Perkara yang saya mat syukuri adalah pekerjaan yang saya masih ada dan juga kehidupan saya. Akhir kata sya berharap semoga ada keajaiban yang menerangi selama Perintah Kawalan Pergerakan ini.


Deidre Denielia Donius Esmario

Keadaan yang dihadapi amat membuat saya rasa terkurung dan tercabar. 

Cabaran yang saya hadapi adalah apabila pergi membeli barang ada had berapa orang boleh masuk. Selain itu sebagai seorang pelajar, kami di suruh untuk buat kerja rumah melalui Google Classroom tanpa diajar dan kadang kala membuatkan saya stress.

Meskipun PKP, saya tetap cuba dengan pelbagai cara untuk menghidupi iman Katolik saya seperti, banyakkan berdoa, membaca Alkitab, mengikuti Live Streaming Mass dan mendengar MarianFM dari gereja.

Sejak berada dalam situasi PKP ini, saya belajar untuk lebih mendekati diri dengan Tuhan dan meluangkan masa dengan keluarga. Saya juga merasa bersyukur kerana Tuhan menajda keluarga saya dan rakan - rakan saya. Saya juga bersyukur dengan adanya Live Streaming Mass, saya merasakan seoalh - olah saya berada di gereja. Akhir sekali, saya berharap agar pandemik Covid - 19 akan berlalu dengan secepatnya.


MacShamus Bilcher ak Nawun

Situasi PKP ini membuat perasaan saya bercampur baur tetapi mostly, saya berasa amat gembira kerana dapat berkumpul bersama sama dengan keluarga. Sudah lama agaknya saya tidak berkumpul dengan keluarga saya. dan saya pasti akan rindu situasi ini. 

Perkara yang mencabar bagi saya ada dua iaitu tidak boleh keluar rumah dan kesukaran untuk mendekati Tuhan. Ini kerana saya rindu dengan situasi saya pergi ke Misa Kudus bersama keluarga menyambut tubuh Kristus. Tetapi sejak PKP ini, membuatkan saya rindu dengan Misa Kudus.

Cara saya menghidupi iman Katolik saya adalah dengan menghadiri Misa Kudus atas talian dan berdoa bersama keluarga.

Saya belajar bahawa hidup ini seperti tayar, ada kalanya di atas, ada kalanya di bawah, maksud saya, ada kalanya kita bernasib baik dan ada kalanya kita tidak bernasib baik. Maka dengan itu, kita perlu meminta bantuan dari Tuhan kita Yesus Kristus untuk membantu kita dalam masa yang sukar ini.

Saya bersyukur kerana saya boleh meluangkan masa dengan keluarga saya sepenuhnya di rumah dengan berdoa rosari dan sebagainya. Terutamanya di bulan Mei ini yang didedikasikan sebagai bulan Bonda Maria.

Harapan saya adalah agar semua umat di gereja khususnya di Paroki St Mary, Sandakan agar mendoakan supaya Covid-19 ini hilang dan semua yang telah menderita penyakit ini disembuhkan.

===============================================================

PAROKI ST MARTIN, TELUPID

Darren Alfio Lajiman
Sebagai seorang pelajar di perantau, saya selalu berasa sedih kerana tidak mampu bersama ahli keluarga dalam situasi yang berat ini. Saya juga berasa risau akan pelajaran saya kerana saya mungkin akan lewat bergraduasi disebabkan penangguhan jadual semester di universiti saya.

Bagi saya, perkara yang paling mencabar ialah proses untuk menyesuaikan diri saya dalam situasi ini, kerana semuanya tidak seperti dulu lagi, terutamanya cara pembelajaran atas talian, waktu tidur yang tidak menentu dan kekangan untuk keluar dan berkumpul.

Saya menghidupi iman Katolik saya dengan mendisiplinkan diri untuk menghadiri Misa Kudus atas talian yang disediakan di media sosial seperti Facebook dan Youtube. Selain itu, saya juga mengikuti doa Rosari dan perkongsian alkitab atas talian yang dilakukan oleh Kerasulan Belia Katolik di universiti saya.

Saya mempelajari bahawa segala kemudahan, peluang dan kemewahan dalam hidup patut saya syukuri dan gunakan dengan sepenuh hati kerana saya tidak akan tahu bila peluang ini akan hilang begitu sahaja seperti yang berlaku dalam situasi ini. 

Saya bersyukur akan segala yang terjadi pada situasi ini, terutama sekali keadaan ibu bapa saya yang sentiasa baik. Selain itu, saya juga bersyukur akan kehadiran rakan-rakan seiman saya di sini yang sentiasa memberi sokongan dan bersama-sama mengajak untuk menghidupi iman Katolik.

Saya berharap agar keluarga saya sentiasa sihat dan kekal positif walaupun berjauhan. Akhir sekali, saya juga berharap agar rakyat di negara kita akan bersatu hati dan sentiasa patuh akan perintah kerajaan untuk mengatasi pandemik ini bersama-sama.


Joviana Lea Lawerence
Situasi ini membuat perasaan saya menjadi bimbang akan keselamatan dan kesihatan keluarga saya yang saat ini berada di kawasan yang agak terdedah dan dilabelkan sebagai zon merah dengan virus Covid - 19 ini. Selain itu, saya juga merasa rindu untuk membuat pelayanan di gereja bersama rakan - belia yang lain dan rindu untuk beribadah bersama umat seiman yang lain.

Apa yang mencabar bagi saya dalam keadaan ini adalah sebagai seorang belia saya tidak datang ke gereja untuk berdoa dan melakukan pelayanan seperti berlatih dan membuat perkongsian antara belia disebabkan peraturan yang ditetapkan untuk tidak berkumpul. Biasanya saya dan rakan belia yang lain akan bersama - sama membersihkan kawasan gereja namun oleh kerana keadaan yang tidak mengizinkan hanya 2 atau 3 orang belia sahaja yang membersih secara bergilir.

Dalam situasi ini, Saya menhidupi iman Katolik dengan membuat renungan perbadi beberapa minit berdasarkan kepada firman Tuhan dan setiap pagi saya akan membaca Inspirasi Pagi yang dikongsikan melalui aplikasi whatsapp. Oleh kerana bulan Mei adalah bulan Bonda Maria, maka saya bersama keluarga akan berdoa Rosari.

Apa yang saya telah pelajari sepanjnag berada dalam PKP ini adalah untuk terus meletakkan harapan dan keyakinan untuk penyembuhan dan perlindungan dunia dengan terus berdoa kepada Tuhan. Seperti yang dikatakan oleh seorang Paderi sebelum ini melalui aplikasi Facebook, beliau berkata "Jangan takut, jangan sedih dan jangan berputus asa kerana Tuhan sentiasa ada bagi kita semua." Maka dengan itu, saya terus belajar untuk meletakkan kepercayaan dan terus berdoa kepada Tuhan untuk pemulihan pandemik yang berlaku sekarang ini.

Perkara yang paling saya syukuri adalah berdoa dan mengikuti Misa Kudus atas talian melalui Facebook dan berdoa bersama keluarga di rumah.

Harapan saya semoga dalam tempoh lanjutan PKP ini dapat membendung penularan Covid- 19 dan semoga masyarakat dapat terus bersabar serta berdoa bagi penyelamatan dan penyembuhan dunia.

Arnol Julius
Shallom. Saya amat bersyukur kerana di beri peluang untuk membuat satu perkongsian sepanjang PKP ini dilaksanakan. Bagi diri saya sendiri, saya amat bersyukur dan juga gembira, kerana saya dapat bersama - sama dengan keluarga saya dan dapat mengeratkan lagi hubungan kami antara adik - beradik. Bagi saya, apa yang Kerajaan sedang lakukan adalah yang terbaik untuk semua orang. Di samping merasa gmbira, saya juga berasa amat sedih kerana tidak dapat bersama-sama dengan para belia untuk melayani dan saya juga berasa amat risau dengan pelajaran saya.

Apa yang paling mencabar adalah menghadiri kuliah secara online dan tidak dapat mngikuti misa atas talian kerana masalah talian internet. Selain itu saya juga mempunyai kesukaran untuk membuat kerja khusus di lapanagn kerana kekangan untuk keluar.

Cara saya menghidupi iman Katolik saya ialah dengan membawa ahli keluarga saya untuk berdoa Rosari.

Di sepanjang PKP dilaksanakan, banyak perkara yang telah saya pelajari terutama sekali  belajar untuk bersabar, bekerja sama antara satu dengan yang lain terutama sekali antara saya dengan keluarga saya.

Saya amat bersyukur kerana dapat bersama - sama dengan keluarga dan para guru - guru tidak pernah berputus asa untuk mengajar kami atas talian.

Harapan saya ialah agar keluarga saya sentiasa sihat dan selalu bersabar dengan keadaan sekarang. Saya juga berharap agar semua orang sentiasa memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa dan selalu menjaga kesihatan.

PERINTAH KAWALAN PERGERAKKAN (PKP): APA KATA BELIA - BAHAGIAN 1

KEUSKUPAN SANDAKAN - Tahun 2020 pastikan akan dingati selama - lamanya kerana kesan daripada pandamik Covid - 19 yang berlaku diseluruh dunia termasuklah negara Malaysia. Kehidupan sehari - hari sudah tidak seperti kebiasaan lebih - lebih lagi apabila Kerajaan Malaysia telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah berkuatkuasa pada 18 Mac 2020 dan  telah dilanjutkan sehingga 9 Jun 2020. 

Beberapa belia di seluruh Keuskupan telah memperkongsikan pengalaman mereka, cabaran yang dihadapi, apa yang mereka dapat belajar melalui pengalaman ini dan bagaimana mereka menghidupi iman Katolik mereka serta apa yang mereka syukuri dan harapan di akhir PKP ini. 

MISI PAITAN

Wincey Jupin

Saya berasa amat bersyukur kerana dalam situasi ini, saya dapat berkumpul bersama  dengan keluarga dan masih diberikan kesempatan untuk hidup sementara ramai kawan - kawan kita yang telah kembali ke rahmat-Nya.

Cabaran utama bagi saya adalah kesukaran untuk mengikuti kelas secara online dari pihak Kolej. Ini di sebabkan oleh masalah talian internet di kampung saya. Namun demikian saya berusaha juga agar dapat mengikuti kelas tersebut.

Meskipun telah diumum PKP oleh pihak Kerajaan tidak bermakna iman saya juga 'PKP'. Meskipun tidak dapat menghadiri misa, cara menghidupi iman Katolik saya adalah dengan membaca Alkitab dan renungan harian dalam group Katolik di Facebook. Saya juga mengambil langkah berdoa dan bernyanyi lagu rohani bersama keluarga. 

Saya amat bersyukur dan merasa pertobatan kerana masih di beri kesempatan untuk hidup kerana kita tidak akan tahu bila kita akan di panggil-Nya. Seterus, apa yang saya pelajari adalah Iman tanpa perbuatan adalah mati. In other word, berdoa saja tidak mencukupi untuk melawan Covid-19. Saya perlu mengamalkan the new normal life untuk menghentikan dan memutuskan rantaian Covid - 19. Selain itu saya dan keluarga masih di beri kesihatan yang baik dan berpeluang untuk bersama, di saat orang lain terpaksa berjauhan daripada orang tersayang. 

Harapan saya agar semua lapisan masyarakat mematuhi PKPB Dan mengamalkan the new normal life serta sentiasa berdoa bagi pemulihan ekonomi, politik, dan sebagainya demi kesejahteraan bersama pada masa akan datang.


Caroline Walter

Saya merasa agak sedih sebab kuliah telah di tunda namun pada masa yang sama, saya amat bersyukur kerana berpeluang bersama keluarga lebih lama, selalunya kalau kuliah saya akan berjauhan dengan keluarga selama berbulan - bulan lamanya.

Cabaran utama yang saya hadapi pada masa ini adalah tidak dapat melayani di gereja dan mengikuti perayaan Ekaristi seperti kebiasaannya. 

Namun itu tidak bermakna saya tidak dapat menghidupi iman Katolik saya. Memandangkan bulan Mei adalah bulan Rosari, saya selalu berdoa Rosari di rumah. Walaupun misa di Gereja tidak diadakan buat masa ini, saya dan keluarga akan mengikuti Live Mass Streaming setiap minggu. 

Situasi yang dialami sangat mengajar saya bahawa setiap apa yang berlaku pasti ada kesan baik dan buruk. Sejak pandemik Covid - 19 berlaku di seluruh dunia, kesan baik pada alam sekitar dapat dilihat dengan jelas terutama sekali kurangnya pencemaran. PKP ini telah banyak mengubah cara hidup sebahagian keluarga saya dan juga masyarakat setempat yang selama ini sering mementingkan pekerjaan dan jarang berada di rumah.

Saya amat bersyukur sebab dalam situasi pandamik yang melanda seluruh dunia, saya masih berkesempatan untuk pulang ke pangkuan keluarga dan bersama mereka sepanjang waktu PKP ini. 

Harapan saya tentulah mahu PKP ditamatkan supaya kehidupan kita dapat kembali seperti asal. Pelajar dapat kembali bersekolah dan berkuliah, dapat bekumpul di gereja setiap minggu dan merayakan Ekaristi tapi memandangkan PKP telah dilanjutkan, saya berharap semua orang patuh kepada arahan yang diberikan oleh kerajaan untuk kebaikan semua. 


Jonisie Saimin

Dikala berada dalam PKP ini, saya berasa amat rindu kepada keluarga kerana jauh dari mereka. Saya kini berada di Kota Kinabalu untuk bekerja manakala keluarga saya berada di Paitan. Selain itu, saya juga merasa takut akan ancaman virus Covid - 19 ini kerana pada masa yang sama ada terlibat atau tidak saya adalah salah seorang barisan hadapan dalam membendung pandemik ini. Saya juga merasa amat rindu untuk menghadirii perayaan Ekaristi (misa) penuh, termasuk lagu-lagu misa kudus dan terutama sekali penyambutan komuni. Tidak lupa juga saya berasa sedikit kecewa apabila SYD - 5 yang sepatutnya diadakan pada Julai 2020 telah di tangguhkan sehingga keadaan benar-benar pulih.

Perkara yang amat mencabar bagi saya dalam menghadapi situasi ini termasuklah gagal mengikuti misa kudus secara online kerana waktu berkerja yang tidak tetap. Perubahan norma hidup yang secara tiba-tiba memerlukan saya untuk kerap mencuci tangan dan amal social distancing.

Secara peribadi setelah PKP ini diumumkan oleh Perdana Menteri, jiwa saya untuk memuji dan memuliakan Tuhan itu sangat kehausan. Cara saya dalam penghidupan iman Katolik adalah membawa sifat Yesus itu sendiri dalam kehidupan sehari-hari. Sifat sabar, pemaaf, pengasih dan pemurah Yesus itu saya terapkan dalam kehidupan dan juga orang sekeliling saya.

Saya belajar bahawa cinta kasih kepada sesama tidak semestinya di tunjukkan dengan cara bersalaman atau berpelukan. Tetapi cinta kasih sebenar adalah mendoakan sesama kita agar sentiasa berada dalam lindungan Tuhan Yesus.

Saya sangat bersyukur kerana dalam situasi pandemik ini, media sosial telah diciptakan kerana melaluinya saya dapat melepaskan kerinduan kepada keluarga melalui video call atau voice call. Selain itu, saya juga bersyukur kerana diberikan rakan-rakan kerja yang selalu memberikan suntikan semangat untuk saya kerana Tuhan itu baik Dia memberikan kita orang-orang yang membawa aura positif.

Harapan saya supaya setiap insan yang terkesan dengan pandemik COVID-19 ini di berikan kekuatan iman dan juga berkat kesabaran kerana dengan kesabaran itu banyak nyawa akan di selamatkan. Harapan saya juga agar, selepas pandemik ini berakhir supaya setiap umat Allah mensyukuri hidup yang sementara ini dengan menguatkan iman katolik masing-masing.

 Jasrin Maisin

Dalam situasi ini saya merasa kerinduan untuk mengikuti Misa Kudus dalam gereja dan melakukan aktiviti luar. Manakala perkara yang amat mencabar bagi saya adalah menyesuaikan diri dalam keadaan yang tidak dapat melakukan apa - apa aktiviti luar.

Meskipun tidak dapat Misa Kudus tidak dapat dilakukan, saya tetap berdoa, mengimani renungan harian, dan juga membantu orang sekeliling.

Saya juga diingatkan untuk bersikap lebih sabar dalam apa pun situasi, bersyukur, dan menyedari banyak perkara yang perlu diperbaiki dalam diri saya dan di masa PKP ini adalah masa yang sesuai untuk melihat semula diri saya.

Perkara yang paling saya syukuri adalah kesempatan untuk saya melihat kembali latar belakang saya, iman dan situasi diri saya dalam keluarga sendiri.

Harapan saya agar dapat terus bersabar, dan dapat lebih melakukan aktiviti yang lebih bermanfaat.


Sally Jeffrin

Saya merasa sedih dan mencabar dengan situasi ini kerana tidak dapat berkumpul dengan keluarga dan sanak - saudara ramai - ramai, tidak dapat ke gereja untuk Ibadah Sabda dan bertemu dengan umat - umat lain serta tidak dapat ke sekolah. 

Sebagai seorang yang beriman, saya perlu faham dan mematuhi arahan yang diberikan untuk kepentingan dan keselamatan diri saya dan keluarga. Selain itu berdoa rosari bersama keluarga dan mendoakan kepada Tuhan agar semua para barisan hadapan dilindungi dan para pesakit Covid - 19 diberikan kesembuhan.

Meskipun berasa sedih, saya juga mengambil kesempatan ini untuk merasa amat bersyukur kerana peluang untuk bersama dengan keluarga dan mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan saya. Saya juga berharap agar PKP ini akan habis pada 9 Jun 2020 dan tidak lagi akan dilanjutkan. Semoga keadaan yang dialami sekarang akan beransur pulih dan kembali pulih seperti sedia kala.

===============================================================

PAROKI ST DOMINIC, LAHAD DATU

Maria Roslinda Edo Hera
Saya merasa amat takut dan cemas kerana sudah berapa bulan Corona Virus ini menyerang China dan akhirnya tersebar ke seluruh dunia. Ini telah menyebabkan saya risau sekiranya saya terkena dengan Virus ini kerana telah berjumpa dna bergaul denagn ramai orang sebelum PKP dilancarkan. Memang hal ini amat mencemaskan sehingga keluar membeli barang  - barang dapur juga amat menakutkan saya. Selain itu, saya juga merasa sedih kerana ini adalah pertama kali selama 24 tahun saya tidak dapat menghadiri Ibadah Jumaat Agung, Misa Sabtu Santo dan Misa Paskah di gereja. Apabila mengikuti misa secara live streaming semasa Paskah, saya rasa sebak lalu menangis. 

Dalam situasi ini yang amat mencabar bagi saya apabila majikan memaklumkan bahawa tidak ada gaji untuk sementara PKP ini. Meskipun simpanan kewangan masih ada, belum tentu mencukupi ini akan memberi kesukaran untuk saya membeli barang - barang dapur. Meskipun hidup saya tidaklah senang namun saya benar - benar takut kalau saat nanti akan betul - betul susah.

Setiap hari saya membuat doa berantai dan selalu bersyukur kepada Tuhan kerana masih diberikan kehidupan yang baik. Saya tidak pernah terlepas untuk mengucapkan THANKS GOD setiap hari. Saya setia dalam berdoa dan tidak berhenti lebih - lebih lagi teringat akan virus Covid - 19. Meskipun saya ini kurang kuat dari segi agama, saya tetap pastikan saya bangun awal setiap Ahad dan mengajak keluarga untuk Live Streaming Mass. Saya dan keluarga tidak akan terlepas mengikuti Misa setiap Ahad dan sejak musim Pra - Paskah sehinggalah Paskah. Selain itu kami sekelurga juga mengadakan doa Rosari setiap malam walaupun tidak bersama ahli  KKD yang lain. Saya juga telah mengikuti aktiviti belia (Program Parish Youth Gathering special) secara  iaitu membuat video prayer sempena Hari Belia Sedunia.

Semenjak PKP dilancarkan banyak kesempatan yang saya lakukan dan pada masa yang sama belajar banyak perkara. Pertama sekali saya belajar untuk hidup susah, berjimat dan tidak berbelanja secara boros, makan apa yang ada,  tugasan rumah dibahagikan dikalangan ahli keluarga, ada yang pergi ke kebun dan saya pula menjaga anak - anak buah kerana saya tidak pandai berkebun. Saya juga belajar parut kelapa untuk buat minyak kelapa dan parut ubi untuk buat minum petang. Akhir sekali saya belajar menghargai masa yang ada disepanjang PKP, meskipun bosan duduk rumah tapi itu adalah untuk kebaikan.

Perkara yang paling saya syukuri adalah pertama dapat berkumpul sama keluarga. Selama ini Bapa saya serius bekerja 24 / 7 dan ini kali dan berkumpul untuk makan bersama dan meluangkan masa bersama walaupun ada kala ada 'perdebatan'. Satu lagi yang saya syukuri adalah Fr. Simon Kontou tetap membuat Live Streaming Mass, melaungkan masa dengan kawan - kawan melalui chat group dan yang palin bersyukur masih dapat makan dan minum untuk teruskan kehidupan.

Saya amat berharap agar para saintis seluruh negara dapat mencari vaksin terbaik untuk Virus Covid - 19 ini agar kita semua dapat menjalankan aktiviti harian seperti biasa. Saya ajuga berharap agar rakyat tidak degil dan terus mengikuti arahan PKP untuk duduk di rumah. Kepada yang dikuarintinkan, diharapkan agar terus bersemangat dan terus ikuti arahan yang diberikan dan saya amat bersimpati kepada mereka yang terputus mata pencarian akibat PKP sekiranya ia dilanjutkan lagi. Harapan saya agar semua terus menjaga kesihatan dan membantu pihak barisan hadapan untuk mengurangkan jumlah jangkitan Covid - 19.

Nofie Tokan

Shallom. Saya Nofie Tokan dari Paroki St. Dominic, Lahad Datu. Di sini sy ingin mengongsikan pengalaman saya sepanjang PKP ini, dan terlebih dahulu saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kawan-kawan sepelayanan saya atas kesempatan ini.

Dalam situasi ini, saya merasa amat sedih, kecewa, putus asa dan kerinduan yang teramat sangat untuk ke gereja dan keinginan untuk pulang ke rumah. Ini adalah kerana pada saat ini saya dan mama saya perlu menetap untuk sementara waktu di rumah majikan mama saya. 

Perkara yang amat mencabar adalah tidak berada di rumah sendiri pada masa ini dan yang paling mencabar adalah ketika saya berdoa. Ini adalah kerana terlalu banyak gangguan yang dialami seperti suasan bising sehinggakan terkadang hampir gagal untuk memberi tumpuan. Namun syukur semua masalah boleh diatasi.


Meskipun dengan cabaran yang ada, itu tidak menjadi penghalang bagi saya untuk menghidupi iman Katolik saya dengan berdoa dan melibatkan diri dalam aktiviti yang di cadangkan oleh kawan-kawan sepelayanan melalui Komunikasi Media Sosial. Contohnya seperti Doa Rosari Berantai 24jam dan Program Parish Youth Gathering (PYG) Special yang lalu.  

Di situasi ini saya lebih banyak luangkan masa untuk berdoa dan saya juga belajar untuk lebih menghargai Misa Kudus. Jika sebelum ini bagi saya Misa Kudus adalah suatu kewajiban tapi bila dalam situasi seperti ini, walaupun telah diadakan Misa Kudus Secara Online, tetap ada kerinduan akan Dia dalam Ekaristi yang sangat terasa.

Perkara yang paling saya syukuri pada saat ini adalah diberikan kesihatan yang baik, sahabat-sahabat yang selalu memberi kekuatan dan semangat walaupun cuma melalui media sosial, dan yang terutama adalah saya dapat bersama-sama dengan Mama saya mungkin ada yang di luar sana ada kawan - kawan yang berjauh dengan kesua orang tua mereka. 


Harapan saya buat diri saya sendiri, semoga saya menjadi seorang peribadi yang kuat serta tekun untuk berdoa dan selalu percaya bahwa rencana Tuhan itu lebih indah dari segala sesuatu. Saya juga berharap khas kepada kawan-kawan belia di luar sana, terutamanya bagi belia Paroki St.Dominic, Lahad Datu semoga kita senantiasa saling berpaut antara satu sama lain dan tetap bersatu dalam doa terutama sekali bagi dunia. Semoga cepat pulih dan semakin baik kehadapannya.

Gerald Roble
Virus Covid - 19 ini membuat saya merasa risau kerana tidak diketahui keberadaannya. Perkara yang paling mencabar dalam situasi ini adalah mencari pendapatan harian saya perlu berhati - hati semasa bekerja terutama sekali yang bekerja di luar pejabat untuk mencari barang - barang.

Meskipun menurut arahan PKP, saya pastikan untuk sentiasa mengikuti Misa Live Streaming, berdoa Rosari dan membuat doa permohonan untuk menghapuskan pandemik yang kita sedang hadapi ini.


Perkara yang paling penting saya belajar dari situasi ini adalah kepentingan ada duit simpanan sebab saya tidak akan tahu bila saya akan memerlukanya nanti. 

Dikala berada di dalam keadaan ini saya sangat bersyukur dengan adanya keluarga dan kawan - kawan yang sama-sama membantu anatar satu dengan yang lain dan akhir sekali saya berharap agar pandemik ini berakhir agar kita dapat kembali kepada kehidupan yang dulu.

Friday, May 8, 2020

PRIHATIN KERANA KASIH

"Demikianlah tinggal ketiga hal ini, iaitu iman, pengharapan dan kasih,
dan yang paling besar di antaranya ialah kasih." - 1 KORINTUS 13:13

MISI MEMBERI BANTUAN KEPADA YANG KURANG BERKEMAMPUAN SEMASA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) COVID-19

SANDAKAN: Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia pada 18 Mac 2020, pasti ramai orang akan terkesan dengan situasi ini, terutama sekali para migran (Indonesia dan Filipina) dan orang tempatan yang kurang berkemampuan atau terputus pencarian nafkah hidup. Maka oleh itu, Komisi Pembangunan Insan Keuskupan Sandakan telah mengadakan perkongsian singkat berkenaan hal ini dan tindakan selanjutnya dilakukan oleh Komiti Pembangunan Insan Paroki di setiap Paroki.

Komiti Pembangunan Insan Paroki (KPIP) Katedral St. Mary Sandakan telah mulai berbincang dengan Paderi Paroki, Rev. Fr. David A. Garaman berkenaan bantuan yang perlu disalurkan kepada keluarga yang paling terkesan iaitu mereka yang kurang berkemampuan atau terputus mata pencarian. Misi bantuan ini cuba meringankan beban mereka.

Maka dengan itu, satu usahasama dengan KPIP Sandakan dan Sandakan Rotary Club (NGO) telah dijalinkan demi menjalankan misi bantuan tersebut. Sandakan Rotary Club bersetuju menjadi penyumbang kepada dana bantuan manakala KPIP Sandakan pula membentuk tim penyelaras atau pelaksana. Segala maklumat telah disalurkan melalui Keluarga Besar Katolik Indonesia (KBKI) dan Keluarga Kristian Dasar (KKD).

Kumpulan sasaran yang dikenalpasti adalah para migran dan rakyat tempatan yang kurang berkemampuan, di beberapa kawasan dalam Daerah Sandakan, yang mana belum menerima bantuan dari mana-mana pihak setakat ini. Mereka telah menerima bantuan makanan asas berupa beras, telur, tepung gandum, gula, minyak masak dan serbuk kopi pada 24 April 2020. Misi bantuan pertama ini dapat menjangkau dan membantu 45 buah keluarga iaitu dua di Batu 2 1/2 dan bandar, tiga di Batu Sapi dan Jalan Cecily, sebelas di Batu 7, tujuh di Batu 8, sebelas di Batu 10, enam di Batu 11, empat di Batu 12 dan satu di Batu 19.












Tim Penyelaras / Pelaksana telah mendapati bahawa masih terdapat keluarga yang belum menerima bantuan dari mana-mana pihak, maka bantuan fasa kedua akan dirancang dan dilaksanakan secepat mungkin. Ibu tunggal atau orang tua yang tinggal bersendirian, yang masih memerlukan bantuan juga adalah yang disasarkan untuk menerima bantuan seterusnya nanti.

Pihak Gereja Katolik di Paroki Katedral St. Mary, Sandakan dan Pejabat Pastoral Keuskupan Sandakan amat menghargai sumbangan dana yang diterima daripada Sandakan Rotary Club. Mereka juga berterima kasih kepada semua pihak lain yang terlibat menjayakan misi bantuan ini.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
MISI BANTUAN LAIN YANG DISELARASKAN OLEH PIHAK GEREJA BERSAMA NGO LAIN - KAWASAN KEUSKUPAN SANDAKAN

SANDAKAN: Saudari Elizabeth De Guzman, Pengerusi Komiti Pastoral Filipino telah mengagihkan bantuan makanan asas dan bekalan barangan penjagaan kebersihan diri asas kepada para migran dari Filipin dan Indonesia yang berada dalam Pusat Tahanan Sementara, Sandakan pada 17, 20, dan 21 April 2020.

Kemudian, Suami Elizabeth telah menyumbangkan barang makanan asas kepada komuniti migran Filipino di sekitar Sandakan semasa musim Paska.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


"Memastikan mereka yang dalam kesusahan tidak bersendirian dan diambil peduli" 


TAWAU: Komiti Pembangunan Insan Paroki (KPIP) di Holy Trinity, Tawau melaporkan bahawa ada beberapa pihak yang telah memberikan sumbangan kepada mereka yang terkesan oleh PKP.

Bantuan NGO, Ambar Park melalui KPIP Tawau, telah membantu dua orang ibu tunggal. Bantuan segera tersebut telah dihulurkan kepada mereka pada 15 April 2020.

KPIP Tawau turut terlibat menyelaras bantuan daripada Ahli Parlimen, P190 Tawau melalui Tawau Interchurch (TIC) pada 23 April 2020.


Pada 28 April 2020 pula KPIP Tawau telah melaksanakan program bantuan kepada 70 buah keluarga dari komuniti migran Indonesia di Kongsi 8, Tawau. Program ini telah diatur dan diuruskan oleh Saudara Roland Henry, Timbalan Pengerusi KPIP dan Saudara Nadus [Ketua Komiti Pastoral Indonesia (KPI) Kongsi 8].

Bantuan tersebut telah disampaikan oleh Rev. Fr. Stanley W. Matakim, Pembantu Paderi Paroki Holy Trinity, Tawau bersama Saudara Clarence Chin, Pengerusi KPIP Tawau dan diiringi oleh seorang anggota RELA, En. Mohd Salim. Sumbangan ini adalah daripada seorang insan yang prihatin dan murah hati bernama Ibu Christina dari Jakarta, Indonesia. KPIP Tawau telah membantu urusan pembelian/penyediaan barangan mengikut jumlah wang yang telah dikirim oleh Ibu Christina.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
"KKD bantu KKD" 

LAHAD DATU: Bagi Paroki St. Dominic, Lahad Datu, Rev. Fr. Simon Kontou selaku Paderi Paroki menyokong penuh misi bantuan kepada yang memerlukan, terkesan oleh PKP. Maka oleh itu, misi bantuan ini telah dilakukan melalui Keluarga Kristian Dasar (KKD). Kemurahan hati umat Paroki St. Dominic, Lahad Datu untuk menderma telah membolehkan misi ini terlaksana.

Bantuan oleh KKD Silabukan, Lahad Datu

KKD Silabukan, Lahad Datu semasa bersiap sedia untuk mengagihkan bantuan




KKD Our Lady of Pillar, Silam dalam misi memberi bantuan kepada yang memerlukan
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Komisi Pembangunan Insan Kesukupan Sandakan amat bersyukur selepas menerima laporan daripada KPIP yang menyatakan bahawa bantuan-bantuan sebegini sememangnya ada juga daripada pihak NGO dan Agensi Kerajaan selain Gereja Katolik sama ada yang dilaporkan atau tidak.

PKP masih diteruskan di Negeri Sabah setakat ini, sehingga 12 Mei 2020. Sekiranya ada di kalangan anda terbuka hati untuk menjadi penderma, silalah menghubungi Pejabat Pastoral Keuskupan Sandakan di alamat emel: dospo1@gmail.com. Sumbangan anda pastilah amat bermakna dan Tuhan memberkati kebaikan dan kemurahan hati anda.

Friday, May 1, 2020

Paroki Katedral St. Mary, Sandakan melancarkan Siaran Audio Rohani Secara Langsung


SANDAKAN: Sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Kerajaan Malaysia untuk mengatasi penularan jangkitan wabak COVID-19, Paroki Katedral St. Mary, Sandakan telah mengambil inisiatif untuk melancarkan satu siaran radio selama satu jam bermula 27 April 2020.

Paderi Paroki, Rev. Fr. David A. Garaman mengatakan bahawa ini bertujuan untuk menjangkau para umat yang tidak dapat berkumpul dan menghadiri misa kudus di gereja buat masa ini. Siaran ini memuatkan slot input rohani seperti pujian pagi, pewartaan injil dan renungan singkat terhadap injil serta doa umat. Pewartaan dan renungan injil disiarkan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Fr. David berharap agar slot Bahasa Cina juga dapat disiarkan nanti.

Selain diselang-selikan dengan lagu-lagu rohani, slot 'santai' turut diselitkan iaitu umat mendapat peluang menghantar pesanan mereka untuk disiarkan. Umat juga amat dialu-alukan menghantar ciptaan atau versi 'cover' lagu rohani mereka sendiri untuk dikongsikan kepada para pendengar radio ini. Siaran ini akan berlanjutan sehinggalah tamatnya PKP ataupun mengikut keperluan dan situasi semasa.

Berikut merupakan komen di Facebook Page dari beberapa pendengar termasuk paderi dan umat-umat.

"Let’s all tune in ‘Listen Live’ for our Daily Reflections; Monday to Friday; 9:00am to 10:00am; click: bit.ly/themariansfm"
- Rev. Fr. David A. Garaman



Rev. Fr. David A. Garaman dan DJ Ewod (Seminarian Edward Yahan)
semasa sedang bersiaran langsung pada pagi ini.

Thursday, April 30, 2020

Menyahkuman oleh Gereja Katolik di Sandakan

SANDAKAN: Sebagai langkah berjaga-jaga dan mencegah penularan wabak COVID-19 serta mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Kerajaan Malaysia, pihak Gereja Katolik juga menyokong penuh usaha tersebut agar rantaian jangkitan dapat diputuskan. Oleh itu, pejabat-pejabat keagamaan Gereja Katolik serta tempat-tempat beribadah di Keuskupan Sandakan telah ditutup dan dihentikan operasinya buat sementara waktu.

Pegawai daripada Jabatan Kesihatan telah menghubungi pihak gereja pada 10 April 2020 lalu untuk mengarahkan bahawa disinfeksi perlu dilakukan. Bapa Uskup Julius Dusin Gitom, Uskup bagi Keuskupan Sandakan menghargai usaha pihak kerajaan untuk memastikan bahawa semua tempat-tempat dinyahkuman. Maka dengan itu, pihak gereja patuh kepada arahan tersebut.

Pusat Pastoral Keuskupan Sandakan telah dinyahkuman pada 14 April. Bapa Uskup sendiri bersama dengan Paderi Paroki Katedral St. Mary, Sandakan, Rev. Fr. David A. Garaman, Seminarian Edward Yahan dan Ryan P. Tokan, staf pusat pastoral turun padang untuk membantu menyahkuman di seluruh bangunan tersebut.










Manakala, Katedral St. Mary, Sandakan pula telah dinyahkuman pada 27 April 2020. Kali ini, Diakon Stephen Esguerra dan Religius Sister juga membantu mereka agar kerja-kerja menyahkuman dapat dilakukan secara menyeluruh dan pantas.





















Seperti yang telah disarankan dan diarahkan oleh Jabatan Kesihatan, semua pejabat gereja serta tempat beribadah haruslah dinyahkuman sebanyak dua kali. Kerja-kerja nyahkuman hendaklah dilakukan sekali lagi sebelum tempat-tempat ini beroperasi atau dibuka semula iaitu selepas tamat PKP.

Bapa Uskup Julius dan Rev. Fr. David berterima kasih kepada semua yang membantu dalam kerja-kerja menyahkuman dengan harapan tempat-tempat tersebut bebas daripada virus, bakteria dan kuman lain agar selamat digunakan semula oleh mereka, para staf dan umat Gereja Katolik.

Mereka juga menyeru kepada semua umat untuk terus mematuhi PKP dan tekun berdoa bagi diri sendiri, ahli keluarga serta semua orang di seluruh dunia, agar penularan wabak ini akhirnya dapat dikawal.

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent