Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, May 27, 2015

Perkongsian Pengalaman Saya – YouthPREPlink Batch 5, 2015 (Bahagian Tiga)

Dikumpul / susun oleh Girald Palipus, Tim Dokumentasi


Prunonicol Christian Paulus, St. Stephen Tass, Tawau.
Pengalaman mengikuti program YPL ini adalah suatu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila. Program ini banyak membantu saya untuk mengenali diri saya sendiri serta mengenali kawan-kawan yang baru. Melalui sesi-sesi yang dijalankan dalam program ini, saya telah menyedari kemampuan dan kelebihan diri serta lebih berkeyakinan untuk bercakap dan mengongsikan pengalaman saya di hadapan khalayak ramai. Saya tidak lagi merasa malu untuk berkongsi dengan kawan-kawan saya kerana saya beranggapan bahawa setiap daripada kita itu adalah "istimewa". Pengalaman penting yang saya perolehi semasa mengikuti program ini ialah saya dapat belajar hidup berdikari dan bekerjasama untuk melakukan sesuatu. Di samping itu juga saya dan kawan-kawan yang lain akan bergilir-gilir mengikut kumpulan untuk bangun awal dan memasak dan seterusnya kami akan pergi ke kapela untuk berdoa pagi. Hidup berkomuniti adalah salah satu aspek dalam pembangunan iman seorang Kristian Katolik. Bagi saya, sepanjang program YPL ini berlangsung, Tuhan mahukan saya untuk jangan berputus asa dan juga jangan ada rasa sedih dan marah kepada diri sendiri kerana saya juga merupakan anak Tuhan yang disayang olehNya. Amen, puji Tuhan!

Jenniffer Ledesma Salunatin, Katedral St.Mary, Sandakan.
Program YPL ini banyak membentuk dan memberikan saya input untuk saya lebih bersedia terlebih awal jika saya keluar belajar di tempat lain. Sesi yang dijalankan juga mengubah dan menyentuh hati saya dalam pelayanan saya sendiri. Semasa melihat tayangan video tentang seorang bapa dan anaknya dan mesej yang cuba disampaikan adalah sama seperti dalam petikan Yohanes 3:16, "Karena begitu besar kasih Allah akan dunia ini, sehingga Ia telah mengaruniakan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa, melainkan beroleh hidup yang kekal." Ini telah membuat saya tersentuh kerana saya secara tidak disedari telah teringat akan segala pengorbanan yang telah bapa saya lakukan untuk keluarga kami dan terutama sekali untuk saya. Tuhan mahu sampaikan sesuatu kepada saya melalui program ini dengan mengajar saya untuk menjadi seorang yang kuat, tabah dan sentiasa percaya kepadaNya. Selain itu juga dapat menjadi seorang misionari yang mampu membantu orang yang lebih memerlukan di luar sana. Pengalaman paling penting yang saya dapati adalah saya dapat menerima kekurangan orang lain seterusnya dapat menerima cinta kasih Yesus melalui keluarga YPL ini, kerana saya merasa begitu disayangi ketika berada di dalam pogram YPL. Saya berharap semoga sentiasa ada belia baru yang akan mengikuti program YPL ini dan juga persahabatan kami semua yang berada di YPL ini akan berkekalan sampai bila-bila dan tidak akan terputus. Sekian dan terima kasih para warga YPL.

Jeremy Juniol Bernadus, Holy Trinity, Tawau.

Saya berazam untuk mengikuti program YPL ini setelah diberikan pengenalan serba sedikit daripada Philiipa dan juga Kordinator Program YPL iaitu Kakak Anna. Dalam sesi mengenal diri, saya tersentuh bila saya merenung kembali sikap yang ada pada diri saya iaitu saya adalah seorang yang pemalu. Saya akan merasa malu untuk menegur dan berkawan dengan orang yang belum saya kenali dan juga saya tidak berani untuk menunjukkan bakat yang ada pada diri saya. Melalui sesi ini, saya lebih yakin dan berani untuk bersuara. Melalui program ini, Tuhan mahu saya percaya dengan segala rencanaNya kerana ianya akan menjadi indah pada saat waktunya tiba. Terdapat juga banyak pengalaman yang saya lalui, antaranya ialah saya dapat memasak bersama kawan-kawan, saling membantu dan kami sentiasa makan bersama-sama. Harapan saya bagi program ini adalah semoga program ini dapat diteruskan setiap tahun. Program ini dapat mengubah cara hidup seseorang. Perhubungan para belia juga akan menjadi sangat rapat dan bertunjangkan kepada Yesus Kristus. Sebagai mana kami, graduan batch 5, kami sama-sama jatuh dan sama-sama bangkit. It’s more than just friends, now we are family.

Alyciabeth Joanny Openg, OLOF, Beluran.
Program YPL telah mendorong, membentuk dan membina diri saya untuk melayani di gereja. Aktiviti seharian dan lagu yang kami nyanyikan hampir sama setiap hari, tetapi saya dapat merasakan yang kami semua semakin akrab bagaikan sebuah keluarga. Saya dan kawan-kawan saya semakin bersemangat menyanyikan lagu yang sama setiap hari disamping dapat menghayati lebih dalam lagi maksud lagu tersebut. Saya merasakan Tuhan mahu saya yakin dengan diri saya sendiri untuk melayani tidak kira di mana saya berada dan yang penting keyakinan itu ada dalam diri saya. Pengalaman paling penting yang saya dapat adalah, saya berpeluang untuk membuat penjangkauan, memberikan perkongsian depan umat serta dapat menjadi pewarta Injil. Semua ini saya lakukan buat pertama kalinya, dan saya merasa bangga atas pencapaian diri saya sendiri. Saya tidak menyangkakan yang saya mampu melakukannya. Saya berharap agar lebih ramai belia yang dapat menyertai program ini supaya dapat banyak infomasi yang berguna sebagaimana yang sudah saya dapati melalui program ni. Terima kasih YPL, sebab kini saya rasa bangga ke atas diri saya sendiri. Amen!

Jesslyn Yong Yih Mii, St. Stephen Tass, Tawau.
Saya sungguh berterima kasih kepada mereka yang telah memperkenalkan program YPL ini kepada saya. Dari program ini saya telah mendapat kasih Yesus sekali lagi dalam keluarga YPL. Banyak yang telah terjadi kepada diri saya semasa mengikuti program ini. Ada masa gembira dan ada juga masa sedih kerana merasa tersentuh dengan sesi-sesi yang dijalankan. Antara perkara yang paling menyentuh saya ialah perhubungan saya dan kawan-kawan saya yang begitu rapat ibaratkan sebuah keluarga walaupun kami datang dari keluarga dan latar belakang yang berlainan. Ketika saya jatuh sakit ada yang menjaga saya walaupun keadaan saya tidaklah begitu teruk. Saya merasa bahawa Tuhan mahukan saya untuk terus melayani dan bertumbuh dan berkembang dalam iman, kerana Tuhan sudah menjadikan saya seorang yang ISTIMEWA. Pengalaman yang saya perolehi ialah saya dapat mendengar dan merasa bisikan Tuhan di dalam hati saya ketika berdoa Taize. Tuhan membisikkan pada saya “Pergilah memohon maaf pada ibu bapamu, kerana engkau telah banyak berbuat salah pada mereka.”. Selepas itu saya terus menghubungi kedua ibu bapa saya dan meminta maaf pada mereka buat pertama kalinya. Harapan saya untuk program ini ialah semoga program ini dapat menjemput penceramah yang hebat dan lebih berpengalaman dalam pelayanan untuk berkongsi dengan para belia. YPL ini akan terus mendapat tempat di hati saya. Salam YPL dari saya Jesslyn. Amen.

Bersyukurlah Kepada Tuhan, Sebab Ia Baik!

Dikumpul/susun oleh Rogena R Sining 
Gambar oleh G.  Bell dan Helda Japanis 


Chapel baru St Angeline, Madai yang diimpikan dan dinanti-nantikan akhirnya sempurna dibina. Segalanya terjadi atas berkat dan rahmatNya.  'Jikalau bukan Tuhan yang membangun rumah, sia-sialah usaha orang yang membangunnya'  Mzm 127 : 1    (Petikan pesan Bapa Uskup Julius dalam Buku Kenangan Upacara Pemberkatan dan Perasmian Chapel St Angeline, Madai)                                

Chapel St Angeline dibina dan dirasmi pada 1988
Chapel baru St Angeline diberkat dan dirasmi pada 24hb Mei 2015
Sdra George Minkui
Pengerusi KPUK St Angeline
"Terima kasih kerana bersama kami pada pagi ini untuk menyertai upacara Pemberkatan dan Perasmian Chapel St. Angeline ini. Saya selaku pengerusi KPUK dan Pengerusi Penganjur mewakili semua umat St. Angeline, Madai ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bapa Uskup Julius Dusin Gitom, Fr Simon Kontou, Paderi Paroki St Dominic dan semua umat setempat atas sumbangan dan sokongan dari segi material dan moral. Terima kasih juga kepada para dermawan yang telah memberi sumbangan ikhlas untuk menampung perbelanjaan kerja-kerja naik taraf chapel ini.
Sumbangan dari Keuskupan Sandakan, Paroki St Dominic juga usahasama umat Chapel St. Angeline kita berjaya mengumpul dana dalam lebih kurang RM100 ribu. Dalam kesempatan ini, saya berterima kasih kepada Bapa Uskup Julius Dusin Gitom kerana sudi menyempurnakan perasmian dan pemberkatan chapel St. Angeline, Madai pada pagi ini.
Kepada para jemputan khas, wakil-wakil dari outstasi Paroki St Dominic dan semua yang datang dari jauh dan dekat, saya mengucapkan selamat datang ke Chapel St. Angeline, Madai. Kami amat menghargai kehadiran saudara-saudari ke upacara yang amat bermakna bagi kami di Kampung Madai.
Akhir kata, sebelum mengundur diri, saya ingin memohon maaf sekiranya terdapat kelemahan dan kekurangan dalam majlis ini. Sekian terima kasih."
Rev. Fr. Simon Kontou
Paderi Paroki St Dominic, Lahad Datu
"Salam damai saudara dan saudari sekalian. Sebelum ini kita tahu keadaan chapel ini yang tidak selesa untuk umat beribadah kerana sudah usang. Bapa Uskup Julius telah menyarankan agar chapel ini dinaik taraf. Kita bersyukur kepada Tuhan kerana chapel ini akhirnya dinaiktaraf di atas tapak yang sama. 
Umat di sini telah bekerja keras mencari dana dan respon adalah amat menggalakkan. Dengan peruntukan yang disalurkan dari Keuskupan Sandakan, akhirnya jumlah dana adalah mencukupi untuk  memulakan dan menyempurnakan kereja-kerja naik taraf chapel ini. Tahniah kepada umat St. Angeline, Madai. Saya berharap agar chapel ini dijadikan rumah kedua bagi kamu kerana telah terlibat secara langsung dalam menaik taraf chapel ini.

Sifat yang tidak putus asa dan kerjasama yang erat di kalangan umat harus diteruskan dan jangan diakhiri dengan perasmian dan pemberkatan chapel ini. Iman hendaklah dipupuk agar bertumbuh subur.
Saya tidak lupa juga untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Bapa Uskup Julius kerana meluangkan masa untuk memberkati chapel ini. Terima kasih juga kepada Puan Angeline kerana telah menderma tapak ini. Semoga Puan dan keluarga terus diberkati oleh Tuhan. Terima ksih sekali lagi atas kehadiran dan sokongan semua umat khususnya umat di St. Angeline ini. Akhir sekali, 'Kotobian Tadau Tagazo do Kaamatan."
Rt Rev Julius Dusin Gitom
Bapa Uskup, Keuskupan Sandakan
Bapa Uskup Julius pernah melayani di St Angeline lebih kurang 23 tahun yang lalu. Pada ketika itu, chapel juga di tapak ini masih baru. Lebih kurang 6 tahun yang lalu, beliau mengunjungi chapel tersebut dan mendapati keadaannya amat menyedihkan, tiada langsung ciri-ciri sebagai sebuah chapel. Waktu itu, beliau telah mengesyorkan kepada KPUK agar chapel tersebut dibaik pulih dan dinaik taraf. Maka dengan itu, Keuskupan Sandakan pohon dan dengan restu Tuhan berjaya memperolehi peruntukan dari Kerajaan Negeri. 
"Umat setempat telah membuat banyak pengorbanan demi menyiapkan chapel ini. Saya percaya itulah yang kita harapkan kerana kita tetap mahu bekerjasama untuk melakukan sesuatu supaya apa yang kita lakukan itu dapat kita capai bersama.
Maka dengan demikian, kita merasakan chapel ini adalah hasil dari titik peluh kita sendiri. Kita bukan kadar mengatakan 'ini chapel saya' tetapi lebih kepada 'saya berusaha untuk memperbaiki chapel ini.' Saya syorkan kepada semua umat terutama sekali umat di Kampung Madai agar menjadikannya tempat pengembalaan iman kalian. Perkembangan dan pertumbuhan iman bukan hanya di keluarga tetapi hendaklah meliputi komuniti keseluruhan di St Angeline.

Kita bersyukur kepada Tuhan atas semua anugerah yang telah diberiNya kepada kita khususnya chapel ini. Kita juga bersyukur kepada Tuhan atas peluang turut serta dalam acara Pemberkatan dan Perasmian serta kita merayakan Pesta Kaamatan. 
Kita percaya bahawa setiap budaya mempunyai nilai-nilai yang baik dan boleh kita kongsikan dengan mereka yang tidak seagama dengan kita. Dengan itu, kita haruslah mempunyai kesatuan, hormat-menghormati di antara satu sama yang lain melalui perayaan kebudayaan.      
Sekali lagi kita bersyukur kepada Tuhan atas santapan rahmat yang diberikan kita pada minggu ini iaitu Minggu Penteskota." 

Tuesday, May 26, 2015

Perasmian Dan Pemberkatan Chapel St. Angeline, Madai

Artikel oleh Rogena Roger Sining
 & gambar oleh George Lawadin
Madai : Kira-kira 400 umat setempat dan wakil-wakil dari outstasi Paroki St Dominic, Lahad Datu berhimpun bersama untuk turut serta dalam upacara pemberkatan dan perasmian chapel baru St Angeline yang disempurnakan oleh Bapa Uskup Julius Dusin Gitom pada 24hb Mei 2015.


Upacara bermula dengan perarakan di luar chapel diiringi dengan kanak-kanak berpakaian suku kaum masing-masing. Bapa Uskup Julius dibantu oleh Fr. Simon Kontou, rektor gereja St. Dominic menyempurnakan acara pemberkatan chapel baru St. Angeline.
Bangunan chapel baru berukuran 30’ x 80’ dibangunkan diatas tapak yang sama dimana chapel lama yang telah usang didirikan melalui kerjasama umat setempat. Kos kerja penambahbaikan chapel ini melebihi RM100 ribu telah mengambil masa hampir 3 tahun untuk disiapkan atas sebab kekurangan dana.
Chapel St. Angeline terletak kira-kira 60km dari Lahad Datu dan kebanyakan penduduknya adalah penduduk tempatan terdiri dari pelbagai etnik. Bangunan chapel St. Angeline awalnya dibina pada tahun 1987 sempena nama Puan Angeline Bangad yang bermurah hati menderma tanahnya kepada Gereja.
Perayaan Ekaristi dirayakan bersama oleh Bapa Uskup Julius dan Fr. Simon Kontou, Paderi Paroki St Dominic.
Dalam homili Bapa Uskup, beliau mengucap syukur atas cinta kasih Tuhan bagi umat di St. Angeline khusus dengan terbinanya bangunan baru St. Angeline.
Bertepatan dengan minggu Pentekosta, Bapa Uskup mengatakan Roh Kudus hidup dalam orang yang beriman dan kehidupan Ilahi ini dicurahkan kepada kita semua yang telah dikuduskan melalui sakramen permandian. Roh Kudus terus bekerja dalam kehidupan kita sehingga kita dapat mengikuti sifat-sifat Kristus yang dipenuhi dengan Roh Kudus.
Beliau menambah dimana ada persatuan, kerjasama serta kehidupan membangun bersama iman, di situ-lah kita melihat kuasa Roh Kudus bekerja dalam diri kita. Apabila kita mempunyai sikap ke arah keperimanusiaan maka di situlah kita dapat melihat kerjanya Roh Kudus dalam diri kita sendiri. Di mana kita terdorong untuk melayani, di situlah kita mengulangi doa-doa agar Roh Kudus yang paling berkuasa sentiasa memimpin kita.
'Pada hari ini kita juga merayakan Pesta Kaamatan dalam gereja kita. Walaupun ini adalah perayaan budaya tetapi juga adalah sebahagian dari iman kita kerana kaamatan adalah suatu yang boleh menyatukan dan mendorong kita semua. Di mana terdapat kesatuan dan hidup bersatu dalam komuniti maka di situlah kita datang menghidupkan budaya kita sebagai Kristian. Di situ juga terdapat tanda-tanda kehadiran Roh Kudus.'


Pemberkatan anak-anak pokok buah-buahan, simbol 
rasminya bermula Pesta Kaamatan Peringkat Paroki

Selepas Misa Kudus berakhir, Bapa Uskup Julius diiringi oleh Sdra. George Minkui, Pengerusi Komiti Pastoral Umat Katolik (KPUK) telah menandatangani 'plague' di depan chapel, disusuli dengan paluan gong sebanyak 7 kali serta pemotongan kek tanda perasmian chapel baru St. Angeline disempurnakan.
Acara diteruskan dengan makan tengahari dan acara pentas yang berlangsung di Dewan Mini St Angeline. Antara persembahan yang disediakan oleh umat St. Angeline, Madai ialah persembahan koir oleh belia St. Angeline, persembahan nyanyian, pertandingan bina badan peringkat akhir dan cabutan tiket bertuah. 

Perkongsian Pengalaman Saya – YouthPREPlink Batch 5, 2015 (Bahagian Dua)

Dikumpul dan disusun oleh Girald Palipus, Tim Dokumentasi
Oswell Tamin, Holy Trinity, Tawau.
Program YPL ini sangat membantu saya dari segi persediaan saya bagi melanjutkan pelajaran saya di tempat yang baru. Banyak sesi yang di jalankan sangat berguna dan menyentuh hati saya. Bagi saya sesi “I’m special” adalah sesi yang sangat menyentuh hati saya, kerana dalam sesi ini , saya telah belajar untuk menerima diri saya sebagai seorang yang sangat istimewa. Sebelum ini saya berasa kosong dan sentiasa berfikiran negatif terhadap diri sendiri. Melalui program YPL ini, bagi saya, Tuhan itu adalah kasih kerana saya dapat merasakan semua cinta kasih yang sejati dan penuh bermakna daripada kawan-kawan serta para fasilitator. Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan semasa mengikuti program ini adalah memperolehi cinta kasih daripada kawan-kawan selain daripada keluarga saya sendiri. Berbanding dengan kawan-kawan yang ada di sekolah, kawan-kawan di YPL ini lebih mesra dan saya bagaikan mendapat sebuah keluarga yang baru. Harapan saya untuk program ini adalah semoga program ini dapat dikekalkan dan lebih ramai belia yang berada di luar sana hadir dan turut merasakan kasih Yesus dalam program YPL ini. Terima kasih untuk kasih di YPL ini!
Kelvin Ng Chee Wing, Katedral St. Mary, Sandakan.
Sesungguhnya saya mengikuti program YPL ini adalah untuk mencari sesuatu yang telah lama hilang dalam diri saya sendiri. Program ini banyak membentuk saya dan banyak sesi yang menjawab persoalan dalam diri saya. Saya berasa gembira kerana diberikan peluang untuk mengikuti program YPL ini. Melalui aktiviti penjangkauan yang terdapat dalam program YPL ini, saya dapat berkenalan dan mengongsikan kasih Yesus yang saya terima kepada mereka yang tinggal di pedalaman. Saya mengongsikan kepada mereka yang setiap daripada diri kita ini adalah istimewa. Sepanjang program ini saya merasakan yang Tuhan mahukan saya untuk terus mengingatiNya selalu dan cuba untuk mengelakkan diri daripada berbuat jahat. Pengalaman berada dalam program YPL ini membentuk saya untuk tidak mementingkan diri sendiri dan sentiasa bekerjasama sehingga tugas selesai. Saya berharap agar lebih ramai belia yang tertarik untuk menyertai program YPL ini. Sekian dari saya Kelvin.

Valna Nana Valentine, St. Peter, Kunak.
Program YPL ini telah dapat membuka mata saya akan cabaran yang bakal saya hadapi jika saya akan melanjutkan pelajaran saya nanti di tempat yang lain. Perkara yang paling menyentuh hati saya sewaktu mengikuti program ini adalah mendengarkan perkongsian daripada rakan-rakan yang sekumpulan dengan saya. Saya sangat tersentuh mendengarkan cerita kehidupan mereka yang berbeza-beza dengan pelbagai masalah yang dialami. Melalui program ini, saya dapat rasakan bahawa Tuhan inginkan saya supaya membuka hati saya sekali lagi untuk menerima orang lain ke dalam kehidupan saya walaupun saya masih belum dapat menerima sepenuhnya. Pengalaman yang paling penting yang saya perolehi semasa menyertai program YPL ini ialah saya berani untuk menyuarakan pendapat saya semasa kami berbincang tentang aktiviti pelayanan kami. Saya juga berharap agar program YPL ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa agar belia-belia yang lain juga dapat melalui perasaan yang telah saya dan rakan-rakan lalui semasa menyertai program ini. Terima kasih kepada mereka yang telah memperkenalkan YPL ini kepada saya.

Peter Saiman, St. Stephen Tass, Tawau.
Semasa di kenalkan tentang program YPL ini saya masih tertanya-tanya, apakah yang akan saya dapat jikalau saya hadir dan mengikuti program ini. Program 2 minggu ini telah banyak membentuk diri saya dan saya percaya begitu juga dengan kawan-kawan saya yang lain. Antara sesi yang paling menyentuh hati saya apabila saya berdoa Taize. Saya dapat merasakan yang saya berada rapat dengan Tuhan ketika berdoa, dan ketika sampai pada saat untuk berhening, saya merasakan kehadiran Tuhan itu dekat dengan saya. Saya merasakan yang Tuhan mahukan saya untuk mempunyai iman yang kuat dalam menghadapi segala dugaan yang mendatang. Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan semasa mengikuti program ini ialah sentiasa berdisiplin di mana saya dan kawan-kawan yang lain terpaksa bangun awal pagi untuk memasak dan seterusnya ke Kapela untuk doa pagi. Kebiasaan ini akan saya cuba untuk terapkan walaupun selepas program ini nanti. Harapan saya untuk program ini agar setiap belia yang dapat mengikuti program ini dapat dimantapkan imannya dan dengan cara hidup berkomuniti dapat menghilangkan sifat perkauman antara sesama saudara seiman. Akhir kata dari saya, Jesus up! Love us! Namaste.

Genevi D. Yakobos, OLOF, Beluran.
Mengenal dan menyertai program YPL ini telah menjadi suatu kenangan yang tidak dapat saya lupakan. Banyak sesi yang telah mengubah pandangan saya tentang pelayanan dan seterusnya membuat saya tersentuh hati. Antara yang paling menyentuh hati saya ialah saya dapat merasakan persaudaraan dalam Kritus untuk terus melayani Tuhan bersama-sama dengan rakan seiman. Sebelum ini saya jarang mengikuti aktiviti pelayanan di gereja kerana saya kurang bergaul dengan rakan-rakan yang seiman dengan saya. Melalui program ini juga saya merasakan campur tangan Tuhan di dalam hidup saya iaitu supaya jangan takut untuk mengenali Tuhan dengan lebih dekat lagi serta tetap percaya kepadaNya. Serta Tuhan itu mempunyai rancangan yang terbaik dalam hidup kita masing-masing. Pengalaman yang terpenting yang saya perolehi ialah dapat memberitakan khabar baik kepada masyarakat di kawasan-kawasan kampung di pedalaman Tawau yang bertempat di St. Agnes dan St. James. Saya berharap agar program ini akan menerima sambutan daripada belia yang lebih ramai lagi di masa akan datang untuk memantapkan lagi iman para belia Kristian Katolik. Pada kesempatan yang lain, akan saya kongsikan lebih banyak lagi. Jadi kepada belia di luar sana yang ingin tahu lebih lagi sila datang dan rasailah kasih Yesus dalam program ini. All the best YPL!

Perkongsian Pengalaman Saya – Youth Preplink Batch 5, 2015 (Bahagian Satu)

Dikumpul dan disusun oleh Girald Palipus, Tim Dokumentasi


Wilfred Frid Drick, St. Stephen Tass, Tawau.
Sepanjang mengikuti program YPL ini saya telah tersentuh dalam sesi mengenal diri serta peringkat hidup dan peralihan. Dalam sesi ini, saya dapat mengenali diri saya dengan lebih terperinci lagi. Kami telah diberikan masa untuk merenung diri kami masing-masing sejak daripada kami dilahirkan sehinggalah kami dewasa kini. Dalam masa yang sama kami diminta untuk cuba memaafkan semua orang yang pernah menyakiti kami. Pada saat itulah saya dapat membukakan hati untuk memaafkan semua orang dan menerima mereka apa adanya. Selepas sesi `Dot and Stars’ saya berasa sungguh tenang dan damai. Apa yang Tuhan cuba mahu sampaikan kepada saya adalah untuk belajar memaafkan diri sendiri dan juga orang lain. Antara pengalaman yang tidak akan saya lupakan ialah apabila saya telah dipilih untuk menjadi pengerusi bagi YPL Level 2. Walaupun tidak pernah menyandang jawatan yang sebegini besar, saya tetap ingin belajar untuk menjadi seorang ketua yang baik. Syukur, dengan bantuan Kakak Anna beserta dengan para fasilitator yang tidak putus-putus memberikan sokongan serta semangat, saya telah mampu untuk buat yang terbaik. Saya dapat merasakan bantuan Roh Kudus dimana semasa aktiviti penjangkauan dilakukan saya dapat memberikan perkongsian dengan  baik dan tanpa ada rasa gementar. Saya berharap agar program ini dapat diteruskan untuk membantu mempersiapkan lebih ramai belia yang akan melanjutkan pelajaran ke tempat yang baru.

Pamela Jane Philip, Holy Trinity, Tawau.
Program YPL ini telah memberikan saya peluang untuk saya mengetahui bahawa saya ini adalah `Special’ tidak kira apa pun pandangan orang lain terhadap saya. Tuhan telah menciptakan kita semua tanpa ada sedikitpun kesilapan. Tuhan telah lebih dahulu mengenal diri kita semua seperti yang tercatat dalam alkitab “Sebelum Aku membentuk engkau dalam rahim ibumu, Aku telah mengenal engkau, dan sebelum engkau keluar dari kandungan, Aku telah menguduskan engkau, Aku telah menetapkan engkau menjadi nabi bagi bangsa-bangsa.”(Yeremia 1:5). Melalui program ini Tuhan mahu saya supaya terus melayani tidak kira dimana pun saya berada. Akan ada saat dimana saya diuji dan pada waktu itulah saya mengetahui bahawa Tuhan itu senantiasa bersama-sama saya. Tuhan mahu supaya saya semakin bertumbuh dan menghasilkan buah yang baik. Membuat `Vision Board’ adalah suatu pengalaman yang baru bagi saya, dimana saya diminta untuk merenung kembali perjalanan hidup saya pada masa akan datang. Vision Board ini dapat membantu saya sebagai panduan hidup saya sekiranya saya hilang arah tujuan. Kini saya lebih menyedari matlamat hidup saya justeru ingin mencapainya dengan pertolongan Tuhan. Saya berharap agar program ini dapat dikembangkan ke seluruh diosis kerana pengisian dalam program ini sangat membantu diri para belia lepasan SPM mahupun STPM sebagaimana ianya dapat membentuk diri saya sendiri. Amen.


Helen Apolinaris, St. Peter, Kunak.
Shallom semua! Saya ingin mengongsikan di sini bahawa Program YPL ini telah banyak membentuk diri saya. Perkara yang paling menyentuh hati saya ialah semasa berdoa dalam Doa Taize. Saya dapat merasakan bahawa Tuhan berada dekat dengan saya serta pelukan dari kawan-kawan yang baru saya kenali itu saya ibaratkan bahawa Tuhan Yesus-lah yang memeluk diri saya. Semasa berdoa juga saya merasakan seperti hanya saya dan Tuhan sahaja yang berada dalam chapel tersebut. Dalam sesi mengenal diri, saya dapat belajar untuk menghargai ciptaan Tuhan yang sentiasa sempurna kerana saya juga berharga di mata Tuhan. Semasa program ini berlangsung, saya merasakan bahawa Tuhan menginginkan saya untuk melayaniNya melalui pelbagai cara termasuklah kehidupan berdoa serta pelayanan di dalam gereja. Dalam program ini juga saya di ajar untuk hidup berkomuniti dan mencintai saudara seiman. Selama ini saya hidup berdikari bersendirian, namun di dalam program YPL ini saya berdikari bersama-sama dengan kawan-kawan saya yang lain. Pelbagai aktiviti yang memerlukan semangat serta kerjasama yang erat di antara kami semua. Saya berharap agar program seperti ini sentiasa diadakan dan jikalau boleh di tempat saya sendiri di St. Peter, Kunak. Saya akan terus melayani Tuhan dan akan berkongsi dengan yang lain akan kasih Yesus. Alleluia! Terima kasih YPL, Amen!


Norwin, Katedral St. Mary, Sandakan.
Mengikuti program YPL ini merupakan suatu keputusan saya yang terbaik pernah saya lakukan. Dalam program ini saya telah dibentuk dan dipersiapkan untuk menghadapi dunia luar sekiranya saya akan melanjutkan pelajaran saya nanti. Hari terakhir program YPL merupakan saat yang paling saya tidak dapat lupakan. Saya tersentuh bila pada masa itu saya dan kawan-kawan saya saling berpelukan dan kami saling mengucapkan terima kasih dan juga memohon maaf antara satu sama lain. Secara tidak sedar kami sudah bersama-sama selama dua minggu dan ikatan kekeluargaan yang terjalin antara kami semua telah menyatukan kami dalam nama Tuhan Yesus Kristus. `Sama-sama mula, sama-sama kasi habis’ itulah moto yang saya dan kawan-kawan saya pegang hingga program YPL ini berakhir. Teruskan melayani dan menyebarkan berita gembira kasih Yesus merupakan mesej yang ingin disampaikan oleh Tuhan Yesus kepada diri saya. Kerjasama mesti ada dalam setiap pelayanan berserta janganlah cepat berputus asa sebab Tuhan Yesus itu selalu ada untuk kita. Harapan saya ialah agar program ini terus diadakan. Saya juga berharap agar para belia di luar sana terutama sekali bahagian pedalaman dapat mengikuti program YPL. Program ini sangat baik sebagai persediaan para belia waktu mereka berada jauh dari keluarga. Akhir sekali dari saya ialah terima kasih YPL 'because now I’m capable to smile always.


Clifford Peter, OLOF, Beluran.
Saya berasa amat diberkati apabila saya diberikan peluang untuk mengikuti program YPL ini. Sepanjang mengikuti program ini saya amat tersentuh semasa doa Taize. Semasa berdoa pada masa itu saya dapat merasakan kehadiran Tuhan dan dapat berkomunikasi denganNya. Sesi “I`m Special” turut mengajar saya secara tidak langsung untuk lebih menghargai kelebihan dan kelemahan diri sendiri. Saya merasakan yang Tuhan memanggil saya untuk menyertai program ini kerana ingin menguatkan lagi iman saya dan juga lebih bergiat aktif dalam pelayanan saya sendiri. Antara pengalaman yang saya perolehi adalah saya dapat memasuki gereja-gereja di kawasan pedalaman dan dapat membantu umat-umat di sana dengan mengongsikan cinta kasih Tuhan. Memikul tugas sebagai timbalan ketua turut menjadi suatu pengalaman yang baru bagi saya di mana saya di latih untuk menjadi seorang ketua untuk memimpin sebuah kumpulan. Saya sangat berharap agar program ini tidak dihentikan dan sentiasa aktif. Selain itu, saya juga ingin lebih ramai belia akan mengikuti program ini apabila ianya dijalankan pada masa akan datang. Terima kasih YPL!


Deyerbeen Sipaan@Fredoline, St. Pius X, Bundu Tuhan.
Ternyata peluang mengikuti program YPL ini tidak menjadi sia-sia apabila program ini telah mampu mengubah diri saya. Saya telah tersentuh dengan sesi “I`m special” di mana saya mengetahui setiap orang itu mempunyai kelebihan dan kekurangan mereka masing-masing dan setiap apa yang dijadikan olehNya itu ada rencana Tuhan yang tersendiri dan kita tidak berhak untuk menghakimi sesiapapun. Komunikasi antara sesama adalah sangat penting untuk mewujudkan kerjasama yang erat dalam kumpulan. Apa yang Tuhan mahu sampaikan kepada saya melalui program ini ialah supaya saya sentiasa bersedia untuk melayani walau di mana jua saya berada dan kasih setia Tuhan sentiasa ada di mana-mana dan sentiasa bersama-sama dengan kita semua. Pengalaman penting yang dapat saya perolehi ialah dapat mengenali ramai kawan yang membantu saya untuk lebih banyak bergaul secara sihat dan lebih mendekatkan diri dengan Tuhan untuk persediaan saya melayani di tempat saya sendiri mahupun di tempat yang lain. Harapan saya agar pogram ini terus di jalankan sebab ianya dapat membantu untuk melahirkan semangat bekerjasama dan kasih setia sesama. Sekian sahaja daripada saya. YPL is the best!

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent