Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, February 15, 2021

PENTAHBISAN DIAKON 2 SEMINARIAN KEUSKUPAN SANDAKAN

Artikel oleh Evelyn Jock
Gambar oleh Soccom/Marian Live Streaming Crew

Sandakan – Keuskupan Sandakan sekali lagi melakar sejarah dengan pentahbisan dua orang seminarian menjadi diakon, iaitu Seminarian Andy Borine Tingadon dan Seminarian Arthur John. Misa Pentahbisan menjadi Diakon telah disempurnakan pada 24 Januari 2021 di Paroki Katedral St Mary, Sandakan oleh Uskup Datuk Julius Dusin Gitom, dibantu oleh Paderi Paroki, Fr. David A. Garaman dan Diakon Stephen Esguerra. 

Keuskupan Sandakan di bawah kepimpinan Uskup Datuk Julius Dusin Gitom merayakan Pentahbisan Diakon ke-6. Sejak penubuhan Keuskupan Sandakan pada tahun 2007, lima pentahbisan Diakon telah dilangsungkan; pada tahun 2010, 2015, 2016, 2019 (dua kali) dan pada tahun 2021. 

Pentahbisan Diakon kali ini hanya disambut dalam skala yang rendah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) susulan kes Pandemik Virus Covid-19. Misa Pentahbisan Diakon hanya boleh dilihat oleh keluarga dan umat-umat menerusi siaran langsung secara maya (live streaming). 

Seminggu sebelum Pentahbisan Diakon, dua seminarian ini telah diberikan ‘Rite of Admission to Candidacy for Holy Orders’ pada 17 Januari 2021. 
Semasa permulaan Upacara Pentahbisan, kedua-dua calon Andy dan Arthur terlebih dahulu dipanggil. Setelah mengesahkan kehadiran mereka, seterusnya Fr. David mengesahkan kepada Uskup bahawa kedua-dua calon itu telah didapati layak untuk ditahbis. Kemudian, Uskup Julius mengatakan dengan bantuan Allah dan Yesus Kristus, penyelamat kita, maka Andy dan Arthur telah dipilih untuk martabat diakon. 

Kedua-dua calon itu kemudian duduk di hadapan Uskup Julius. Selesai homili dan pemberian amanat sebagai diakon, kedua-dua calon telah menyatakan janji mereka untuk hidup membujang atau selibat sesuai dengan martabat pelayanan sebagai diakon. Kemudian, kedua-dua calon juga telah menyatakan persetujuan mereka untuk melaksanakan kewajipan sebagai diakon, memelihara dan memperdalamkan lagi semangat doa dengan merayakan dengan taat Ibadat Harian untuk Gereja dan seluruh dunia dan akhirnya, untuk menyempurnakan cara hidup mereka  mencontohi Yesus Kristus.


Selepas itu, sebagai janji setia kedua-dua calon untuk menghormati dan mentaati kepada Uskup Julius serta penggantinya, satu persatu mereka meletakkan kedua belah tangan yang terkatub ke dalam tangan Uskup. 


Sebagai tanda kesediaan untuk menawarkan kehidupan mereka untuk melayani gereja dan juga menyerahkan kehidupan mereka kepada Yesus Kristus, kedua-dua calon meniarap di hadapan altar. 

Litani para Santo Santi telah dilaungkan oleh Diakon Stephen Esguerra, memohon para Kudus ini untuk membantu kedua-dua calon, Andy dan Arthur dalam perjanjian yang baru mereka nyatakan. Selesai litani, Uskup Julius menumpangkan tangannya ke atas kepala kedua-dua calon dan menyatakan Doa Pentahbisan. 




Sebaik sahaja ditahbis sebagai Diakon, Andy dan Arthur memakai dalmatik Diakon, dan seterusnya, berlutut di hadapan Uskup Julius dan selepas itu meletakkan tangan mereka pada Kitab Injil. Uskup Julius kemudian mengucapkan kata-kata ini, 'Terimalah Injil Kristus yang akan anda beritakan. Percaya apa yang kamu baca, ajari apa yang kamu percaya dan lakukan apa yang kamu ajarkan.' 


Setelah upacara pentahbisan, Diakon Andy dan Arthur naik ke panti imam lalu membantu Uskup Julius di altar. 


Dengan rahmat Tuhan, Pentahbisan Diakon telah dilaksanakan dengan jayanya dan penuh makna. Misa yang disiarkan secara langsung telah ditonton secara maya oleh paroki-paroki dalam dan luar Keuskupan Sandakan. Keluarga dan rakan-rakan Diakon Andy dan Arthur dari Keningau, Beluran dan Telupid juga telah menonton upacara ini melalui siaran langsung secara maya. 

Tahniah kepada Diakon yang baru ditahbis, Andy dan Arthur. Kita mengucapkan terima kasih kepada mereka atas pelayanan mereka dan juga kerana menjadi saksi kepada kita semua bagaimana kita semua juga dipanggil untuk mendekati Yesus dan menjadi hamba para orang miskin. Kita menghargai keluarga-keluarga mereka yang telah memberikan persetujuan dan sokongan penuh kepada sahutan 'YA' yang diucapkan kedua-dua diakon kepada panggilan Tuhan. Kita doakan yang terbaik kepada mereka dan semoga Tuhan menggunakan mereka agar dapat menjangkau lebih ramai umat khususnya di Keuskupan Sandakan dan amnya seluruh dunia.




"Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu dan dengan segenap akal budimu (Matius 22:37)

Seminarian Andy Borine Tingadon, 39, berasal dari Pekan Beluran. Beliau dilahirkan di Kampung Bingkor, Keningau pada 6 April 1982 dan merupakan anak ke-3 dalam keluarga 8 orang, ibu bapanya dan 6 adik-beradik. Untuk sebahagian besar zaman kanak-kanaknya, beliau menghabiskan masa di Beluran. Beliau belajar sekolah di Sekolah Rendah Pekan Beluran (1989-1994), Sekolah Menengah Pekan Beluran (1995-1999) dan menamatkan Tingkatan 6 Atas di Sekolah Menengah Seventh Day Adventist, Tamparuli (2002-2003).

Andy mempunyai cita-cita dan keperluan yang sama seperti semua orang, walaubagaimanapun, keperluan untuk menjawab panggilan Tuhan adalah kuat. Beliau menyedari bahawa terdapat kekurangan paderi yang datang dari Beluran kerana tidak ramai belia yang cukup berani untuk menyahut panggilan menjadi paderi dan lebih-lebih lagi, para umat jarang pergi ke misa kudus. Beliau akhirnya memutuskan untuk membuat susulan ke atas panggilannya pada tahun 2012. Keluarga dan rakan-rakannya sangat menyokong panggilannya dan dia juga merasakan kekuatannya datang dari Tuhan sendiri.

Andy telah menjalani 8 tahun pembentukan seminarian di Kota Kinabalu, Kolej Am di Pulau Pinang, dan Kolej St Peter di Kuching, Sarawak. Sepanjang pembentukannya, beliau belajar kitab suci, falsafah dan teologi. Sepanjang kehidupan beliau di seminari adalah kenangan yang tidak dapat dilupakan dan beliau menerima pembentukan yang penuh dengan kejutan. Pembentukannya telah membawanya untuk melawat tempat-tempat yang tidak pernah diimpikan dan beliau juga telah bertemu ramai kawan-kawan baru.

Tugasan Pastoral beliau dalam setiap paroki telah membentuk beliau dalam memahami dengan mendalam tentang kepaderian. Ia adalah keperluan bagi beliau untuk persediaan melayani di Diosis Sandakan. Dia berasa gembira bahawa dia lebih berpengetahuan tentang kerja-kerja pastoral sekarang. Semasa lawatannya ke setiap paroki di Diosis Sandakan, beliau dapat memerhati kekuatan dan kelemahan di setiap paroki. Diosis Sandakan terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik dan budaya yang berbeza dan pendatang dari negara-negara lain. Oleh itu, terdapat keperluan yang besar untuk lebih ramai paderi, religius sister, katekis dan pemimpin gereja dalam membantu mentadbir gereja.

Andy merasakan bahawa pentahbisannya semasa PKP pandemik Covid 19 sememangnya satu rahmat kerana walaupun pada zaman kesusahan dan ketakutan ini, Tuhan tidak meninggalkan rakyat-Nya. Sesungguhnya kita melihat Tuhan menjawab harapan dan doa rakyat-Nya dengan memberikan Diosis Sandakan dengan 2 orang seminarian untuk ditahbis menjadi Diakon.

Harapan beliau untuk masa depan, adalah gereja menjangkau para umat melalui pelbagai platform media seperti, youtube, facebook, twitter dan sebagainya. Gereja harus merancang untuk membawa para umat untuk kembali ke gereja selepas pandemik ini, kerana para umat boleh menjadi terlalu leka sekiranya bergantung pada siaran langsung secara maya dalam mengikuti Misa Kudus. Beliau menggalakkan para belia untuk bersikap terbuka dan peka kepada penyertaan Tuhan dalam kehidupan mereka dan sikap keterbukaan boleh membawa mereka ke arah kehidupan kepaderian.

Tetapi TUHAN berfirman kepadaku: "Janganlah katakan: Aku ini masih muda, tetapi kepada siapapun engkau Kuutus, haruslah engkau pergi, dan apapun yang Kuperintahkan kepadamu, haruslah kausampaikan (Yeremia 1:7)

Seminarian Arthur John, 30, dilahirkan pada 20 Julai 1991 di Telupid.  Arthur merupakan anak ke-4 dalam keluarganya terdiri daripada ibu bapa dan 5 adik-beradiknya.  Bapanya, John Kisong dari Kuala Sapi, seorang pesara, manakala ibunya, Nuini Batum, seorang suri rumah berasal dari Beaufort. Beliau belajar di Sekolah Rendah SK Pekan Telupid (1997-2002) dan Sekolah Menengah SMK Pekan Telupid (2003-2009).

Arthur sentiasa aktif dalam aktiviti gereja di kampung halamannya dan melalui itu dia menyedari serta memutuskan untuk menyahut panggilan Tuhan.  Beliau memasuki seminari dari Januari 2012 hingga Mei 2020, di mana beliau telah mempelajari bahasa Inggeris, falsafah, teologi dan kitab suci (sacred scripture) di Pusat Archdiocesan Katolik, Kolej St Peter, Kota Kinabalu dan Seminari Utama Kolej St Peter, Kuching, Sarawak.  Beliau juga dilantik sebagai Pembaca (Lector) pada 3 November 2016 dan Acolyte pada 3 November 2017.

Arthur memberitahu bahawa pengalamannya semasa di seminari adalah sangat berharga.  Segala aktiviti dan program yang diikuti telah mencabar beliau untuk membangunkan kehidupan rohani, intelektual dan kehidupan kemanusiaannya kerana hal inilah yang terpenting dalam mengekalkan beliau terus bertahan dalam pangilan. Dia mempelajari menghargai tangan Allah dalam kesemua aktiviti rohani, akademik, sosial, pastoral dan identitinya.

Beliau berkongsi bahawa semasa mengikuti latihan dan tugas pastoral, beliau telah melayani di beberapa paroki di Sabah dan Sarawak dari 2014 hingga 2020. Tugasan-tugasan pastoral ini telah membantu beliau untuk menyedari dengan lebih mendalam semua isu-isu berkaitan harian pastoral. Antara komuniti-komuniti yang lain, beliau telah sertai, Gerakan Pembaharuan Karismatik, Legion of Mary, RCIA, Rumah Mental Sarawak, Chesire Home for the Disabled, Rumah Orang Tua, Youth Apostolate Ministry, Migran dan pernah melayani di gereja Paitan.  Arthur berasa bangga dan gembira dengan masyarakat Katolik yang begitu bersatu padu dalam membangunkan gereja.

Beliau berpendapat bahawa adalah penting untuk mematuhi SOP kerajaan dan sentiasa memerhati kebersihan dan keselamatan semua orang. Walaupun kehadiran para umat adalah terhad semasa pandemik ini, beliau merasakan gereja masih boleh mendekati umat dalam melaksanakan Pentahbian Diakon melalui siaran langsung secara maya.

Arthur menyarankan agar semua belia Katolik menjalani kehidupan suci kudus dan berusaha untuk mencontohi Yesus Kristus, Gembala Agung. Beliau juga menasihatkan golongan belia agar merenungkan panggilan mereka masing-masing sebagai paderi, dan keluar dari kehidupan selesa serta berjumpa dengan paderi paroki masing-masing untuk kaunseling selanjutnya.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent