oleh Soccom
TELUPID - Tahun Santo Yosef telah diisytiharkan oleh Sri Paus
Fransiskus bermula 8 Disember 2020 sehingga 8 Disember 2021. Bersesuaian dengan
perayaan pesta St. Yosef yang jatuh pada 19 Mac 2021, Keuskupan Sandakan secara
rasminya telah melancarkan Tahun St. Yosef di peringkat diosis bertemakan
“Perlihatkan dirimu sebagai bapa, dan bimbinglah jalan kehidupan kami”. Bagi
peringkat paroki pula, Misa Kudus Solemniti diadakan sebagai memperingati St.
Yosef sebagai pelindung gereja diselebrankan oleh Rev. Fr. Christopher Ireneus.
Umat yang hadir terlebih dahulu mengikuti ibadat jalan salib pada pukul 6.30
petang disusuli dengan perayaan ekaristi.
Diakon Andy Borine membacakan surat Apostolik Paus Fransiskus “Patris Corde” - Peringatan 150 Santo Yosef tahun Pemakluman Sebagai Pelindung Gereja Semesta.
Pada awal perayaan misa kudus, Diakon Andy Borine telah membacakan surat Apostolik Paus Fransiskus “Patris Corde” - Peringatan 150 tahun Pemakluman Santo Yosef Sebagai Pelindung Gereja Semesta. Dalam surat tersebut, Paus Fransiskus menggambarkan peribadi Santo Yosef sebagai seorang pencinta, lembut dan penuh kasih, taat, menerima serta berani secara kreatif yang dapat dijadikan teladan. Situasi pandemik yang berlaku masa kini menjadi sumber inspirasi dalam surat tersebut bahawa kesabaran itu akan memberikan pengharapan. Sejurus selepas itu, gimik perasmian pelancaran tahun St. Yosef disempurnakan oleh paderi paroki.
Rev. Fr. Christopher Ireneus menyempurnakan gimik pelancaran tahun St. Yosef peringkat paroki St. Martin, Telupid.
Rev. Fr. Christopher
Ireneus dalam homilinya mengajak umat untuk mengenal lebih dekat tentang St.
Yosef. Dalam alkitab, tidak banyak cerita mengenai St. Yosef yang dapat dibaca
namun jika direnungkan, peranannya sangat besar dalam kisah penyelamatan kita.
“St. Yosef merupakan bapa kepada Yesus yang telah menjaga keluarganya serta
membimbing Yesus dalam kehidupannya. Kisah-kisah St. Yosef dalam Injil ini
dapat dikaitkan dengan peranan seorang ayah dalam keluarga yang sanggup
menghadapi segala cabaran dan dugaan dalam menjadi ketua keluarga yang
bertanggungjawab untuk membimbing dan melindungi keluarga. Bagi diri sendiri
pula, apakah yang dapat dilakukan untuk menghayati dan menyedari peranan St.
Yosef dalam kehidupan keluarga kita?”
Gimik selesai dilancarkan
Justeru, siapa pun kita, sebagai seorang ayah, ibu mahupun anak cabaran tetap ada. Namun, kerana iman, kekuatan dan kepercayaan kepada Allah, seperti St. Yosef yang mampu melakukannya, demikian juga kita boleh menjadi seperti dia. Seiring dengan pelancaran tahun St. Yosef, kita juga perlu sentiasa merenung akan kehidupannya dan berdoa untuk kehidupan kita sendiri. Melalui hubungan dengan Tuhan, kita akan dikuatkan untuk menghadapi apa jua yang direncanakan untuk kita.
Perayaan misa kudus
diakhiri dengan penyerahan poster Tahun St. Yosef kepada semua kapela di paroki
St. Martin, Telupid yang diwakili oleh Katekis Wilfred A. Pain selaku Pengerusi
Komiti Katekis.
Penyerahan poster tahun St. Yosef kepada Katekis Wilfred A. Pain yang mewakili semua kapela di paroki St. Martin, Telupid
No comments:
Post a Comment