Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, October 12, 2020

Pelancaran Kempen PROTEC Keuskupan Sandakan

Sandakan: Kempen Lindungi Bumi Kita, Lindungi Anak-anak Kita (Protect Our Earth, Protect Our Children) atau singkatnya Kempen PROTEC telah dilancarkan di peringkat Keuskupan Sandakan oleh Bapa Uskup Julius Dusin Gitom pada 4 Oktober 2020 bersempena dengan Pesta Santo Fransiskus dari Asisi iaitu Santo Penaung bagi Haiwan dan Ekologi. Terlebih dahulu, penyerahan gegantung (bunting) logo Kempen telah disampaikan kepada semua paroki sewaktu mesyuarat para paderi pada 9hb September 2020 bertempat di Pusat Retret St. John of the Cross, Ulu Dusun.

Pelancaran Kempen PROTEC telah disiarkan di Katedral St. Mary, Sandakan secara virtual (online) susulan peningkatan kes Pandemik Virus Covid-19. Acara dimulakan terlebih dahulu dengan adorasi dan benediktus pada jam 6 petang secara “Earth Hour” dimana semua umat digalakkan untuk menutup lampu selama sejam.

Kempen ini akan berlangsung selama lima tahun (1 Sept 2020-31 Ogos 2025) dengan tema berbeza setiap tahun. Tema bagi tahun pertama (1 Sept 2020-31 Ogos 2021) ialah "Kurangkan penggunaan elektrik.”

Dalam ucapan Diakon Stephen Esguerra selaku Pengarah Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan Keuskupan Sandakan mengatakan kesedaran diri sangat penting dalam melindungi dan memperbaiki kerosakan yang terjadi di bumi ini. “Menjaga ciptaan adalah tanggungjawab bagi setiap manusia. Akan tetapi ia sukar dilakukan jika sekiranya tiada pengetahuan dan pertobatan dalam hidup. Oleh itu, pengetahuan dan pertobatan adalah langkah utama bagi memulihkan hubungan sesama kita dengan alam ciptaan Tuhan.” Di akhir ucapan, beliau menyeru semua umat untuk menyertai Kempen ini dan mengamalkan cara hidup yang mampan demi kelangsungan hidup generasi akan datang.

Sementara itu, Bapa Uskup Julius Dusin Gitom menyeru semua umat agar dapat menyertai kempen ini untuk menjaga alam sekitar dan secara tidak langsung dapat menjaga masa depan bagi generasi yang akan datang.

Menurut Bapa Uskup Julius lagi, apabila manusia membinasakan hasil ciptaan Tuhan, maka malangnya ia turut membinasakan diri sendiri. Pada akhirnya, jika perbuatan manusia ini tidak dapat dibendung, maka dunia ini tidak dapat dihuni lagi. Beliau menambah bahawa penggunaan elektrik juga menyumbang kepada perubahan iklim dan kemusnahan manusia.

Prelatus itu mengingatkan semua umat agar menyertai kempen ini dengan kesedaran diri melalui pengurangan penggunaan elektrik serta dapat mempraktikkan tindakan yang mudah ini walaupun agak susah dilaksanakan.

Setelah ucapan berakhir, Bapa Uskup diiringi oleh Diakon Stephen untuk menyempurnakan pelancaran dengan gimik  pelancaran perkataan PROTEC.

Walaupun pelancaran Kempen ini hanya dijalankan secara virtual (Online), namun setiap paroki juga terlibat dimana para umat turut bersama-sama menyertai dalam sesi pelancaran tersebut dari kediaman masing-masing.

Kehadiran hanya dihadkan kepada ahli  penganjur ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan SOP dipatuhi dengan ketat.

Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan Keuskupan Sandakan mengajak semua umat untuk bersama-sama dalam menjayakan Kempen ini. Sukarela diperlukan dalam pelayanan ini. Jika berminat, sila hubungi pejabat Paroki masing-masing di Keuskupan Sandakan.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent