Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, June 14, 2019

PERAYAAN PESTA KAAMATAN PERINGKAT PAROKI ST. MARTIN, TELUPID 2019 DISAMBUT MERIAH

Oleh Clly Gulimit/SOCCOM

TELUPID - “Popotongkop Koginavaan Do Kinoringan Maja Koubasanan” dalam bahasa Dusun Labuk yang bermaksud “Sebarkan Cinta Kasih Allah melalui Budaya" telah menjadi tema bagi perayaan pesta kaamatan peringkat paroki St. Martin, Telupid yang telah diadakan pada 26 Mei 2019 di Chapel St. Fidelis, Kiabau (Zon Jalan Sandakan) selaku tuan rumah pada tahun ini.
Gambar para AJK bersama Yang Mulia Bapa Uskup Datuk Julius Dusin Gitom, Rev. Fr. Jasery G. Emmanuel, Rev. Fr. Stanley William Matakim.
Bersesuaian dengan tema yang dipilih, para umat diajak bersama-sama mempromosikan dan mempertahankan nilai-nilai Kristian dan kekeluargaan melalui perpaduan dan kedamaian dalam kalangan umat setempat agar seruan Visi Keuskupan Sandakan untuk menjadi 'Komuniti Berpusatkan Kristus, Melayani Sesama dengan Kasih' dapat dicapai.
Upacara Pemberkatan dan Pemotongan Kek Kesyukuran
Lebih kurang 800 orang umat dari seluruh paroki hadir memenuhi ruang di Chapel St. Fidelis dan Dewan Mini Chapel bagi bersama-sama merayakan Misa Kudus Kesyukuran sempena pesta kaamatan yang bermula pada pukul 9:00 pagi diselebrankan oleh Yang Mulia Datuk Julius Dusin Gitom, Uskup, Keuskupan Sandakan. Turut hadir bersama adalah Rev. Fr. Jasery G. Emmanuel (Paderi Paroki), Rev. Fr. Stanley William Matakim (Pembantu Paderi Paroki), Seminarian Arthur John dan Seminarian Raymond Lee. Bapa Uskup dalam homilinya menyatakan bahawa ketiga-tiga bacaan pada hari tersebut terarah kepada Roh Kudus. Para umat diajak untuk merenung apa yang telah dilakukan Roh Kudus kepada gereja kita. Seterusnya, Bapa Uskup menjelaskan bahawa Roh Kudus telah membawa ‘kesatuan’ kepada gereja kita. Justeru, penting untuk semua umat agar terus bersatu walaupun hidup dalam kepelbagaian budaya bagi mewujudkan kesatuan serta keharmonian.
Simbolik perayaan - Upacara mengetam padi disempurnakan oleh Bapa Uskup 
Persembahan khas lagu-lagu kaamatan oleh  AJK Penganjur bersama Bapa Uskup, para paderi dan tetamu VIP
Selesai Misa Kudus, En. Silvester Sundang yang merupakan Pengerusi Perayaan mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir ke perayaan ini serta memberikan ucapan penghargaan kepada semua penyumbang yang telah memberikan derma untuk menjayakan perayaan ini. Seterusnya, Rev. Fr. Jasery G. Emmanuel selaku paderi paroki mengucapkan tahniah kepada umat Zon Jalan Sandakan atas usaha dan komitmen bagi menjayakan perayaan ini. Walaupun hanya dua buah chapel sahaja yang ada di dalam Zon Jalan Sandakan, kesatuan yang ditunjukkan terbukti melalui persediaan yang sangat rapi serta kemeriahan sambutan. Seterusnya, Bapa Uskup dalam ucapannya pula mengucapkan tahniah kepada semua umat di seluruh paroki kerana berjaya menunjukkan kesatuan dengan memberikan sokongan kepada penganjuran perayaan ini.
Gambar kenangan para pemenang tiket bertuah bersama Bapa Uskup
Selepas perayaan Misa Kudus, acara disambung di Dewan Serbaguna Kg. Kiabau. Bapa Uskup, para paderi dan semua tetamu jemputan disajikan dengan tarian sambut tamu yang dipersembahkan oleh Kerasulan Belia Katolik St. Fidelis, Kiabau. Walaupun terpaksa mengubah suai atur cara pada hari tersebut disebabkan hujan lebat, namun suasana di dewan tetap meriah dan semua tetamu tetap terus bersama-sama dalam sambutan tersebut. Simbolik perayaan disempurnakan oleh Bapa Uskup dengan upacara mengetam padi disaksikan semua tetamu yang hadir. Kemudian, acara diteruskan dengan pemberkatan kek kesyukuran diikuti acara makan bersama.
Upacara pemberkatan benih padi dan tanaman
En. Lami Buntoi selaku Pengerusi Zon Jalan Ranau menerima simbolik penyerahan tugas selepas Bapa Uskup mengumumkan tuan rumah perayaan pesta kaamatan pada tahun 2020
Acara disambung lagi dengan persembahan khas daripada AJK Penganjur bersama-sama Bapa Uskup, para paderi dan tetamu VIP iaitu persembahan tiga buah lagu kaamatan diiringi muzik ‘live band’. Setelah hujan reda, Bapa Uskup telah menyempurnakan pemberkatan benih padi dan tanaman lain yang diadakan di luar dewan. Selain itu, sambutan di dewan turut dimeriahkan dengan persembahan pentas daripada wakil Zon Jalan Sandakan, Zon Jalan Nangoh, Zon Jalan Tongod dan Zon Jalan Ranau. Di samping itu, persembahan lagu-lagu selingan dan acara cabutan tiket nama bertuah turut diadakan. Sebelum acara penutup, Bapa Uskup telah mengumumkan bahawa tuan rumah untuk perayaan pesta kaamatan pada tahun 2020 adalah Zon Jalan Ranau.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent