Pada hari ke-3, seawal 6.30 pagi peserta ziarah sudah berkumpul dan bersedia untuk upacara memasuki pintu belas kasihan yang dipimpin oleh Dikon Christopher Ireneus di Chapel of Adoration of Blessed Sacrament, Tatal, Keningau. Selesai upacara, peserta ziarah berpeluang mengambil gambar kenangan bersama sebelum meneruskan perjalanan yang seterusnya menuju ke St. Patrick, Membakut. Walaupun tidak dapat masuk ke pintu belas kasihan St. Patrick, Membakut kerana telah ditutup lebih awal namun peserta ziarah tetap disambut mesra oleh umat di sana. Peserta ziarah juga berpeluang membeli barang - barang kudus sambil makan tengahari bersama.
Perjalanan ziarah diteruskan menuju ke Holy Rosary, Limbahau, Papar untuk memasuki pintu belas kasihan yang kedua. Setibanya di sana, peserta ziarah berpeluang bertemu dengan Rev. Fr. Thomas Yip selaku paderi Paroki Gereja Holy Rosary, Limbahau, Papar. Dikon Christopher Ireneus kemudiannya memimpin para peserta ziarah untuk upacara masuk ke dalam pintu belas kasihan.
Selepas upacara selesai peserta ziarah menghadiri misa petang yang diselebrankan oleh Yang Mulia Bapa Uskup Julius Dusin Gitom dan dibantu oleh Rev. Fr. Philip Muji dan Dikon Christopher Ireneus. Dalam homili, Bapa Uskup mengaitkan pembacaan pertama dan kedua yang menunjukkan bahawa Yesus dalam perjalanan menuju ke Yerusalem dan menjelaskan apa yang telah berlaku di sepanjang perjalananNya itu. Begitu ramai orang yang tidak mempercayai dia sebagai Juruselamat. Bapa Uskup mengingatkan kepada semua yang hadir untuk melaksanakan kehendak Tuhan dalam diri masing - masing dengan iman yang teguh mempercayai Dia sebagai Tuhan dan juruselamat. Para ziarah juga diingatkan agar menggunakan talenta yang telah diberikan Tuhan dengan sebaiknya agar dapat berbuah banyak bukan untuk disimpan untuk kegunaan diri sendiri tetapi juga talenta itu haruslah dipraktikkan dalam kehidupan setiap hari bersama keluarga, komuniti, paroki dan dalam mengikuti jalan Tuhan.
Perjalanan ziarah kemudiannya diteruskan ke Pusat Retret, Pace Bene yang terletak di Kampung Purak, Papar sebagai tempat istirehat peserta untuk hari ketiga. Selesai makan malam, program ziarah diteruskan dengan sesi perdamaian yang dipimpin oleh FSIC Sr. M. Lilian Unsoh. Dalam sesi perdamaian peserta diajak untuk berdamai diantara satu sama yang lain. Selesai sesi tersebut, peserta ziarah berpeluang menghadiri sesi pengakuan.
No comments:
Post a Comment