Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, July 29, 2016

PERTEMUAN BELIA BULANAN KE-38 ( YMG Youth Monthly Gathering ) – TEMA : 'THE HEROES'

Artikel : Suzana dan Philipa
PYA Holy Trinity, Tawau
Tawau : Program YMG kini kembali lagi setelah berhenti sejenak semata-mata untuk memberi ruang dan laluan kepada persiapan dan pelaksanaan acara SYD ( Sabah Youth Day ) ke-4 yang berlangsung dari 6 – 10 Jun 2016.
Program ini telah dimulakan semula pada 17 Julai 2016 bertempat di Dewan Paroki dari 12.30 tengahari hingga 3.30 petang. Di anggarkan seramai 150 belia yang mengambil bahagian. Turut hadir adalah seminarian Raymond Lee.
Bertemakan 'The Heroes' antara objektif YMG-38  kali in adalah :
1. Membantu belia untuk membina hubungan persahabatan antara satu dengan yang lain.
2. Membentuk semangat kerjasama dalam satu kumpulan memandangkan masih terdapat belia belum dapat menyesuaikan diri dalam keadaan kerja berkumpulan atau berkomuniti.
3. Menyedarkan belia untuk mengenal dan meneladani ‘hero’ Kristus dan para Santo dan Santa.
4. Memberi pendedahan awal kepada para belia tentang pelayanan di gereja agar belia bersedia untuk menerima misi pelayanan gereja khususnya dalam pelayanan iman belia paroki. 
(Terdapat ramai belia yang berbakat, tetapi ada di antara mereka yang tidak mengetahui bahawa bakat mereka juga boleh digunakan dalam pelayanan di gereja. Oleh itu, pendedahan awal sangat penting untuk para belia.)
Program ini bermula dengan pendaftaran pada pukul 12.30 tengah hari disusuli dengan lagu puji-pujian dan penyembahan serta doa pembukaan. Semua peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan berdasarkan kepada aktiviti yang telah disediakan di mana setiap kumpulan dikehendaki untuk mencipta "Yell" sebagai tanda kesatuan kumpulan tersebut.
Aktiviti Pembentukan Pasukan (team building) di mana aktiviti ini benar-benar dapat membantu para peserta untuk bekerjasama dalam satu kumpulan. Selain itu, kreativiti peserta juga dapat dilihat apabila mereka berusaha dan bekerjasama untuk menjayakan aktiviti yang memerlukan sokongan dan dorongan setiap individu dalam pasukan.
Program diteruskan dengan acara utama iaitu “The Heroes”. Dalam aktiviti ini para peserta didedahkan tentang peribadi para santo/santi berdasarkan hasil dari pilihan nama para santo/santi yang telah disediakan. Contohnya, nama, asal usul dan apakah misi pelayanan hero tersebut.
Selepas itu, setiap kumpulan membentangkan hasil carian mereka melalui rakaman video dengan mengguna kreativiti kumpulan mereka masing-masing. Dengan ini, belia dapat pengetahuan secara tidak langsung tentang hero-hero Katolik sekaligus memberi kesedaran kepada belia bahawa “untuk menjadi saksi Kristus, tidak semestinya mereka yang berpelajaran tinggi dan mempunyai latar belakang yang sempurna.”
Seminarian Raymond memberi kesimpulan untuk keseluruhan program dengan soalan “siapa itu hero?”. Bagi pendapat seminarian, hero itu ialah seseorang yang melakukan sesuatu yang orang lain tidak dapat buat atau lakukan. Jadilah seorang hero dengan melayani, walaupun dalam perkara yang kecil dalam aktiviti Gereja. Melayanilah dengan kebolehan yang kamu ada” katanya.
Kemudian aktiviti diteruskan dengan “express corner”. Setiap peserta diberikan sekeping kertas. Kertas tersebut perlu dituliskan kata-kata yang boleh memberikan motivasi dan inspirasi untuk menunjukkan bahawa mereka juga adalah hero. Setelah itu, peserta diberikan masa untuk melawat pameran Kerasulan Belia Paroki (KBP) di suatu sudut dalam dewan.
Beberapa orang peserta yang sedar akan bakat yang ada dalam diri mereka, lalu mendaftarkan diri sebagai sub-tim dalam pelayanan yang mereka minati.
Program YMG ke-38 berakhir kira-kira pukul 3.45 petang  dengan doa Jubli Kerahiman. Seperti biasa, ia disusuli dengan sesi bergambar beramai-ramai dan sedikit makanan ringan untuk dijamu bersama.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent