Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, December 15, 2018

Meletakkan kembali Kristus ke dalam Karol Natal

Artikel oleh Rogena Sining
Gambar oleh Soccom

Sandakan: “Meletakkan kembali Kristus ke dalam Karol Natal” menjadi tema pilihan Rev. Fr. David A. Garaman bagi rekoleksi para Karolers tahun ini. “Tujuan kita berkaroling adalah untuk mewartakan Yesus. Semua lagu Natal yang dinyanyikan itu adalah Sabda Tuhan. Kita sudah diutus untuk mewartakan Sabda Tuhan. Kita mengharapkan agar Tuhan mengubah hidup orang yang dilawati itu melalui nyanyian lagu-lagu Natal”, kata Fr. David.
Gambar bersama selepas rekoleksi
Rekoleksi dimulakan dengan Pentakhtaan Alkitab diiringi lagu "O Come O come Emmanuel"
Rekoleksi Para Karolers telah diadakan pada 8hb Disember 2018 di Dewan Paroki Katedral St. Mary. Seramai 150 orang daripada beberapa kumpulan telah menyertai dalam rekoleksi ini.  Objektif rekoleksi ini ialah persediaan secara rohani para karolers sebelum mewartakan khabar gembira melalui nyanyian lagu-lagu Natal.
Perayaan Natal hanya boleh menjadi lebih bermakna apabila kita mempersiapkan diri dengan baik semasa musim Adven. Karol Natal juga boleh menjadi alat yang sangat berkesan untuk penginjilan. Karol Natal "mengandungi INTI mesej Injil,". "Menyanyikan Karol Natal dapat membuka hati kepada kabar baik tentang Yesus, apa yang telah dilakukanNya untuk kita, dan apa yang Dia mahu lakukan dalam kehidupan kita.
Dalam perkongsian Saudari Susanna Cordova, beliau mengongsikan pengalamannya semasa kumpulan mereka iaitu Star of Yahweh Covenant Community (SYCC) yang telah membawa nyanyian lagu Natal di samping menyalurkan sedikit sumbangan kepada keluarga yang terpinggir.  “Mereka sangat gembira menerima Yesus dalam diri dan keluarga mereka”, katanya.
Sundry Ekok dari kumpulan St. Cecilia Choir dalam perkongsian mengatakan, “Semasa Karoling bukan sahaja untuk menyanyi lagu Natal tetapi kita dapat belajar tentang kehidupan orang lain yang turut memberi kesan kepada diri kita sendiri”.
Pada sebelah petang, Misa Pengutusan untuk semua Karolers telah diselebrankan oleh Bapa Uskup Julius Dusin Gitom pada jam 6 petang di Katedral St. Mary. Dalam homili, prelatus itu memberi penegasan kepada para karolers bahawa “Jikalau kamu keluar berkaroling hanya dengan tujuan bersukaria, lebih baik kamu lupakan niat itu kerana kamu hanya akan merosakkan suasana Karoling dan kumpulan itu”. Bapa Uskup turut mengatakan kepada para karolers untuk memahami erti sebenar rekonsiliasi. “Kita seharusnya mempunyai damai dalam diri sendiri terlebih dahulu barulah kita boleh membawa damai kepada orang lain”.  Bapa Uskup menyeru para karolers untuk terus berdoa semasa musim Adven kerana masa ini merupakan masa untuk berdamai dengan diri sendiri dan juga ahli keluarga agar hubungan  turut berada dalam perdamaian.
Upacara Pengutusan para karolers
Fr. David memimpin doa pembukaan
Selepas Misa Pengutusan, semua umat dan para karolers dijemput untuk bersama-sama dalam makan malam kesyukuran.
"Carols by Candlelight"
Gabungan beberapa kumpulan karolers menyanyikan lagu Natal
Paulina Francis
Saya menyertai karoling bermula tahun ni (2018) dan sebagai ketua karoling di bawah KKD St. Benedict, Batu 7, Sandakan. Sebelum ini, saya telah menyertai karoling bersama abang dan adik saya sejak 20 tahun yang lalu di bawah pimpinan Sdra. Leonnie Degullacion. Pimpinan beliau banyak mengajar saya tentang koir di gereja dan juga karoling. Persiapan rohani sebelum dan selepas kumpulan kami memulakan latihan  karoling ialah dengan berdoa bersama. Secara peribadi, saya berdoa Rosari, memohon kekuatan, kesabaran, kerendahan diri dan semangat kerjasama kumpulan perlu disemai. Saya berasa sangat bersemangat untuk mengabarkan berita gembira kelahiran Yesus di Bethlehem dan kedatangan Yesus yang kali kedua di samping dapat membantu untuk memberi kesedaran serta perlahan-lahan mengenali Yesus. Tambahan pula, perasaan ikatan kekeluargaan bertambah kukuh dalam KKD St. Benedict. Tuhan Memberkati.


Jody Nolimis berusia 15 tahun dari kumpulan Taman Rimba Youth Choir mengongsikan bahawa beliau telah menyertai karoling selama 3 tahun. Sebagai seorang karolers, beliau berasa gementar namun pada masa yang sama berasa yakin bahawa boleh membawa khabar gembira kelahiran Yesus Kristus kepada rumah yang akan dilawati semasa karoling. Akhir sekali, harapan Jody kepada keluarga yang akan dilawati agar berasa sukacita dan syukur kerana ahli kumpulan karoling boleh meyebarkan khabar gembira kepada mereka.



Cecilia George
Pendapat saya karoling bukan sahaja menyanyi lagu-lagu Natal tetapi melalui karoling kita dapat menyebarkan berita gembira tentang Juruselamat kita, Yesus Kristus. Secara peribadi, saya meyiapkan diri dengan berdoa sebelum memulakan latihan karoling. Begitu juga dengan kumpulan karoling saya iaitu KKD Santa Maria, Katedral St. Mary. Saya sangat berbesar hati dan gembira kerana terpilih menjadi pengutus khabar gembira tentang Yesus Kristus. Harapan saya kepada keluarga yang dilawati agar mereka gembira dengan hati terbuka menerima berita kelahiran Yesus Kristus.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent