Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, June 24, 2020

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan halangan untuk pelajar mempelajari ajaran Yesus


Shallom, terima kasih kerana memberikan saya peluang untuk berkongsi pengalaman saya sepanjang PKPB ini. Nama saya Cherlena Merlyn Henry dan berasal dari Sandakan. Saya berumur 20 tahun dan merupakan pelajar lepasan STPM. Saya merupakan salah seorang guru sekolah minggu (PMG) dan tahun ini merupakan tahun ke-4 pelayanan saya sebagai guru sekolah minggu di Paroki St Mary, Sandakan.

Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan pada 18 March 2020, saya berasa sedih dan kecewa kerana terpaksa duduk di rumah dan juga tidak dapat ke gereja. Pada awal PKP dijalankan, sememangnya perasaan sangat berbeza kerana rutin harian kita berubah secara mendadak. Namun, kita masih diberi peluang untuk keluar membeli keperluan harian walaupun hanya ketua keluarga sahaja yang dibenarkan.

Pada 27 Mei 2020 yang lalu, satu mesyuarat atas talian telah dijalankan menggunakan aplikasi khas untuk membincangkan hal-hal berkaitan mengenai sekolah minggu (PMG). Mesyuarat disertai seramai 9 orang guru PMG. Pengerusi Katekatikal, Puan Juliana Kimin telah membuat keputusan untuk mengadakan kelas atas talian (online class) bersama dengan murid-murid PMG yang akan diadakan pada setiap hari Ahad.

Saya bersama seorang rakan guru pembimbing PMG tahap 3, Florida Frans membuat kelas atas talian pada 7 Jun 2020 menggunakan WhatsApp Group namun saya terpaksa menjalankannya dengan sendiri disebabkan rakan pembimbing saya bekerja pada waktu itu. Saya membuat persiapan seminggu lebih awal dengan memikirkan cara yang sesuai agar saya dapat mengajar dengan baik.

Cabaran yang saya hadapi sepanjang menjalankan kelas atas talian ini adalah saya terpaksa membuat video seperti saya sedang mengajar di dalam kelas dan mengharapkan agar apa yang disampaikan dapat difahami oleh murid-murid. Pada awalnya, saya tidak yakin dengan cara ini namun, saya tetap percaya akan apa yang saya lakukan ini adalah tanggungjawab saya sebagai seorang guru PMG.

Seramai 26 orang murid namun hanya 15 orang sahaja yang dapat menyertai kelas tersebut. Cabaran seterusnya, kebanyakan murid-murid tinggal di kawasan yang tidak mempunyai signal telefon yang baik dan agak sukar untuk mengikuti kelas tersebut. Syukur puji Tuhan beberapa murid berusaha untuk mendapatkan signal telefon agar dapat menyertai pembelajaran. Selesai sahaja kelas atas talian, saya membuat panggilan video bersama murid-murid secara bergilir di aplikasi WhatsApp dan berkesempatan bertanya khabar serta keadaan mereka sepanjang PKP berlangsung. Beberapa perkongsian daripada murid-murid Tahap 3 mengatakan bahawa mereka sangat bosan kerana tidak dapat keluar rumah dan sedih kerana tidak dapat ke gereja. Namun, mereka berasa gembira apabila mengetahui kelas secara atas talian akan dijalankan walaupun tidak dapat belajar dalam suasana di dalam kelas sebenar.
Semasa video call bersama beberapa orang murid kelas Tahap 3
Apa yang paling menyentuh hati saya semasa menjalankan kelas secara atas talian? Walaupun saya menghadapi kesukaran dalam membuat persiapan sesi pembelajaran atas talian ini namun usaha gigih mereka untuk menyertai kelas sehingga ada yang sanggup pergi ke rumah jiran semata-mata untuk bersama-sama menyertai kelas tersebut membuatkan hati saya tersentuh dan penuh sukacita. Mereka juga sangat rajin menyiapkan kerja sekolah yang diberikan dan tidak takut untuk bertanya sehingga saya terpaksa melayan berbagai soalan di dalam WhatsApp sehingga malam. Namun, saya tidak pernah penat untuk memberikan tunjuk ajar kepada mereka  setelah melihat kesungguhan dan kegigihan mereka untuk belajar.
Gambar anak-anak murid menyiapkan kerja sekolah yang diberikan .
Saya sangat bersyukur atas peluang dan kehidupan yang diberikan oleh Tuhan. Saya masih mempunyai kesempatan untuk meneruskan pelayanan saya sebagai seorang guru PMG dan dapat menjadi salah satu utusan kecil dari Tuhan untuk menyampaikan khabar sukacita Yesus bersama murid-murid tahap 3. Harapan saya agar penularan pandemic virus covid-19 tidak menjadi penghalang bagi saya dan murid-murid untuk bersama-sama belajar mengenal Yesus di dalam kehidupan masing-masing.

‘sesungguhnya aku ini hamba Tuhan terjadilah padaku menurut perkataanMu itu’ (Luk 1:38)

Saya Paula Dennis salah seorang guru pembimbing/katekatikal di gereja St. Mark, batu 12, Sandakan. Terlibat dalam pelayanan di gereja adalah niat yang tulus dan ikhlas dari hati. Apabila diutus menjadi pembimbing/Katekatikal dalam kelas PMG sememangnya menjadi satu kegembiraan yang tidak tergambarkan oleh kata-kata kerana bagi saya tugas sebagai seorang pembimbing/katekatikal adalah seperti melaksanakan perintah Yesus Kristus iaitu memberitakan injil kepada semua.
Seperti yang diketahui umum, seluruh dunia kini dilanda oleh penularan pandemik virus Covid-19 yang mana telah membekukan aktiviti seluruh dunia. Bukan saja dari segi ekonomi tetapi juga aktiviti kebiasaan harian. Turut terkesan adalah aktiviti gereja. Misa kudus ditiadakan dimana-mana gereja di seluruh negara, sekaligus kelas Pertemuan Minggu Gembira (PMG) turut terhenti. Sejujurnya, saya sangat terpukul dan terkesan dengan arahan ini. Banyak perkara bermain difikiran. Saya tidak mahu anak-anak yang sangat berminat untuk mengenali dan mengimani ajaran Yesus Kristus terhenti belajar. Mereka boleh mengikuti Misa Kudus secara online tetapi bagaimana dengan pembelajaran dalam kelas PMG yang terhenti? Saya selalu teringat dengan petikan Injil Yoh 20:21 Maka kata Yesus sekali lagi: “Damai sejahtera bagi kamu! Sama seperti Bapa mengutus Aku, demikian juga Aku mengutus kamu’. Saya telah diutus maka saya harus berbuat sesuatu untuk keterusan pembelajaran kelas PMG ini. Maka inilah yang membuat saya terdorong untuk mengadakan kelas secara online iaitu melalui video call dalam aplikasi Whatsapp.
Ketika saya menyuarakan niat saya kepada ibubapa dan pelajar melalui kelas Whatsapp Group, saya sangat gembira kerana mendapat respon yang baik serta menggalakkan daripada ibubapa dan pelajar. Mereka juga tidak mahu anak-anak mereka ketinggalan pelajaran. Dengan itu, kelas PMG secara online pun dimulakan. Kelas kami juga membuat satu lagi kumpulan bagi mereka yang sukar mendapat liputan rangkaian internet dengan memberi info secara bertulis. Kumpulan ini dikendalikan oleh rakan pembimbing/katekatikal saya iaitu Molonia Agus. Syukur puji Tuhan kelas PMG secara online berjalan dengan lancar. Kegembiraan dan sukacita di dalam hati saya tidak terkata apabila melihat anak-anak ini bersemangat mengikuti kelas PMG. Begitu indah rencana Tuhan.
Bersama pelajar yang terlibat
Pembacaan Injil 

Thursday, June 11, 2020

BELIA DISATUKAN DALAM DOA TAIZE

 ...bahwa dalam segala situasi kegelapan dan penderitaan yang kita bicarakan, ada jalan keluar. Sebagai contoh, memang benar bahwa dunia digital dapat menempatkan kalian pada risiko menutup diri, pada pengasingan diri atau kesenangan hampa. Tetapi jangan lupa bahwa ada orangorang muda di bidang-bidang ini yang juga memperlihatkan kreativitas dan kejeniusannya.

- KRISTUS HIDUP (CHRISTUS VIVIT), 104 -


Sandakan - Pada 1 Jun 2020 yang lalu Komisi Kerasulan Belia Keuskupan Sandakan telah mengadakan buat pertama kalinya Doa Taize secara siaran langsung (Live Streaming). Doa Taize yang berlangsung selama hampir satu jam ini dikhususkan bagi penyembuhan dan harapan agar penawar dapat ditemui dan pandemik Covid - 19 ini dapat diakhiri.  

Ini merupakan usaha komisi untuk menjangkau para belia melalui media  sosial dan pada masa yang sama mengubati perasaan rindu para belia untuk berkumpul dan berdoa. Penganjuran ini telah dijayakan bersama - sama dengan para belia paroki seluruh Keuskupan dengan mengambil peranan dalam menyediakan rakaman awal nyanyian lagu - lagu rohani dan lagu Taize menggunakan aplikasi - aplikasi seperti 'Virtual Choir', 'Wondershare' dan 'Kinemaster'. Rakaman - rakaman ini telah digabungkan dan ditelah diudarakan semasa Doa Taize yang disiarkan secara lansung. 

Semoga melalui Doa Taize ini sedikit sebanyak iman para belia dapat disegarkan dan dikuatkan. Para belia juga dingatkan bahawa meskipun berada dalam situasi genting ini, Tuhan pasti akan memberikan 'jalan keluar'  agar mereka dapat dijangkau. Doa Taize ini akan ke udara secara langsung pada bulan hadapan dan berharap akan ada lebih ramai belia dan keluarga mereka dapat mengikutinya.








Berikut adalah gambar - gambar yang telah dikongsikan oleh para belia bersama - sama dengan keluarga mereka di akhir Doa Taize.




Keluarga Hildy Albert dari St Martin Telupid. Saudara Hildy juga telah mempersiapkan rakaman nyanyian doa - doa Taize.

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent