Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, September 7, 2018

PROGRAM JUALAN GARAJ KBK CHAPEL ST. JOHN, KAMPUNG TELUPID


TELUPID - Pada 4 Ogos 2018 yang lalu, Kerasulan Belia Katolik chapel St. John, telah mengadakan sebuah program di perkarangan chapel mereka di Kampung Telupid. Program yang diinisiatifkan oleh Pengerusi KBK St. John, iaitu saudara Maldinew Elixius berjalan dengan jayanya bermula seawal daripada pukul 8 pagi sehingga pukul 6 petang.

KBK St. John yang diterajui oleh saudara Maldinew adalah satu komuniti yang kini semakin bertumbuh, bukan sahaja dari segi jumlah malahan daripada pertumbuhan iman. Ditubuhkan pada tahun 2017, beberapa hari sebelum chapel St. John dirasmikan pada April 2017, saudara Maldinew merasakan bahawa belia di chapel berkenaan perlu dikumpulkan semula untuk menjalankan pelayanan, lebih-lebih lagi dengan adanya chapel baru di kampung ini.

Cabaran demi cabaran yang terpaksa dihadapi oleh saudara Maldinew sepanjang menjadi ketua kepada kumpulan belia yang kecil ini, apatah lagi dengan umur beliau yang baru mencecah 16 tahun pada tahun 2017. Namun, dengan dorongan daripada ibunya yang merupakan Pemimpin Ibadat beserta sokongan padu daripada ahli keluarga beliau yang lain, perlahan-lahan saudara Maldinew bertumbuh dalam kepimpinan sehinggalah pada hari ini.

Buktinya ialah dengan pelaksanaan Program Jualan Garaj yang sangat meriah dan disambut baik oleh seluruh umat Katolik di Kampung Telupid khususnya, dan masyarakat sekitar beserta yang datang daripada luar stasi. Persiapan program ini sebenarnya hanya mengambil masa dalam tempoh kurang daripada sebulan. Jawatankuasa pelaksana ditubuhkan pada bulan Julai dengan hanya beberapa kali mesyuarat am yang diadakan. Proses meminta kebenaran bagaimanapun berjalan dengan sangat lancar dan cepat apabila Pemimpin Ibadat, Pengerusi KUK, dan juga Rektor Paroki St. Martin dengan serta merta memberikan kelulusan untuk pelaksanaan.

Antara kekangan yang terbesar dihadapi oleh saudara Maldinew dan juga jawatankuasa pelaksana program ini ialah peruntukan kewangan. Proses publisiti dan juga promosi hanya dapat dibuat menggunakan media sosial seperti aplikasi WhatsApp, Facebook, Instagram, dan sebagainya. Ekoran daripada masalah kewangan, poster dan juga risalah tidak dapat diedarkan untuk memastikan lebih ramai tahu mengenai program ini. Namun, syukur kepada Tuhan, usaha saudara Maldinew dan jawatankuasa pelaksana serta umat Katolik St. John mendapat bimbingan daripada Roh Kudus, publisiti dan promosi yang dilaksanakan berjalan dengan lancar.

Antara kekangan lain yang menjadi cabaran adalah jawatankuasa pelaksana yang langsung tiada pengalaman dalam mengendalikan program. Namun, syukur atas nasihat dan tunjuk ajar daripada tiga orang penasihat yang dilantik, akhirnya kesemua jawatankuasa pelaksana dapat menjalankan tanggungjawab mereka walaupun sibuk dengan hal sekolah dan juga pekerjaan harian mereka.

Pada hari program berlangsung, indahnya menjadi seorang Katolik yang mendahulukan Tuhan, saudara Maldinew telah mengatur untuk memastikan semua penjual bersama-sama dengan jawatankuasa pelaksana berdoa untuk mendapatkan bimbingan dan berkat daripada Tuhan. Puji  Tuhan, sepanjang program, cuaca sangat cerah dan semua aktiviti yang telah dirancang berjaya dilaksanakan tanpa sebarang masalah yang timbul.


Kerasulan Belia Katolik St John Kg. Telupid
Program ini sebenarnya dijalankan untuk mengumpulkan dana bagi tabung belia. Para belia berhadapan dengan kekangan kewangan untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti belia yang dianjurkan samada diperingkat chapel, paroki, ataupun yang berada di luar kawasan Diosis Sandakan. Oleh yang demikian, program ini telah menjadi aspirasi mereka untuk memastikan para belia ini mempunyai kewangan yang mencukupi atau sekurang-kurangnya dapat menampung sebilangan belia yang akan menghadiri mana-mana aktiviti luar yang akan berlangsung kelak.

Program Jualan Garaj ini akan menjadi program tahunan oleh belia memandangkan sambutan yang menggalakan daripada umat pada hari berkenaan. Sokongan daripada Pengerusi KUK, Pemimpin Ibadat, dan juga Rektor Paroki juga menjadi batu sandungan kepada KBK St. John untuk memastikan program seumpama dapat terus dijalankan daripada semasa ke semasa. Apa yang pasti, benih-benih iman yang ditanam, kini disiram, dan dengan bimbingan Roh Kudus, akan terus dibaja agar bertumbuh sesuai dengan pelayanan KBK St. John ini.

Dibawah adalah gambar - gambar yang menunjukkan apa yang berlaku dan barang - barang yang dijual:



1 comment:

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent