Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Translate

Thursday, May 29, 2014

双亲节暨家长日

           华协属下华文主日学已于2014525日(星期日)假圣玛主教座堂活动中心举行一年一度的双亲节暨家长日。此项活动能顺利有赖于学生与家长们的配合。
           在大家耐心地等待后,我们的庆典终于开始了。这庆典的主题为“给爸爸的话,给妈妈的花”。作为仪式的开始,由黄瑞钦姐妹带领我们作会前及餐前祈祷。祈祷完毕后,大家都被桌上的食物召唤过去了。大家都吃得不亦乐乎.
           把快饿扁的肚子给填饱后,大家又回到原本的座位上等待接下来的活动。首先,由校长致词。然后,孩子们从老师手中接过之前已准备好的卡片和花后,就走回爸妈身边,抱抱父母,并对他们说“我爱您”。这活动蛮有意思的。这个环节结束后,我们就请几位孩子和家长前来跟大家分享自己内心的话。有些同学和家长则把话深藏在心底或以“心电感应”来传达。
           一个温馨的环节终究还是会结束。筹委会主席致谢词后,双亲节庆典也到了尾声。世上没有不散之筵席。陈筱嬑姐妹带领下大家作结束祈祷后,家长带着孩子们向各班导师领取成绩册就回家了。







YouthPrepLink Batch 4 - Perkongsian Pengalaman

 Tim Dokumentasi YPL
Natasha Aronee Melchior

Saya gembira kerana diberi peluang untuk mengongsikan pengalaman saya baik manis mahu pun pahit kepada para peserta. Saya juga gembira kerana dapat kembali dengan Tuhan setelah sekian lama tidak ke gereja. Selain itu, saya dapat mengimbas kembali sesi-sesi yang saya telah belajar pada YPL Batch 3 tahun lalu. Seterusnya, ia mengingatkan saya perkara-perkara yang boleh memusnahkan diri saya kepada hal-hal negatif. Saya berazam tidak akan mengikuti jalan yang salah ketika tidak berada dalam kawalan ibubapa. Dalam Yesus, kita akan menemui jalan, menemui kebenaran dan memperolehi hidup, hidup yang kekal. Natasha adalah salah seorang daripada barisan fasilitator program YPL Batch 4.


Sloane, St. Martin Telupid
Dalam sepanjang masa saya mengikuti program YPL ini, saya dapat merasakan bahawa saya sangat dikasihi dan diberkati oleh Tuhan selama ini. Sepanjang penyertaan saya di dalam program ini, Tuhan telah memberikan kepada saya pelbagai jenis perasaan seperti gembira, sedih, rasa bersalah, penuh kasih dan sebagainya. Saya tahu bahawa Tuhan memberikan saya perasaan ini agar saya dapat terus bertumbuh dan berakar dalam pelayanan saya sebagai seorang belia. Perasaan dikasihi itu adalah perasaan yang sangat indah pernah saya alami. Selain itu, dalam program ini juga, secara peribadinya saya dapat mengenali siapakah diri saya yang sebenarnya dan apakah peranan saya sebagai seorang anak, pelajar dan juga pelayan di dalam gereja. Saya bersyukur kerana setiap sesi yang diadakan dalam program YPL ini membuatkan saya mengetahui kelemahan yang ada pada diri saya. Saya bertekad memperbaikinya untuk menjadi lebih bermakna untuk keluarga, gereja, orang di sekeliling saya dan Tuhan. Namun begitu, apa yang paling berharga dalam diri saya adalah keluarga YPL yang saya perolehi dalam program ini. Setiap peserta yang hadir dalam program ini saya anggap sebagai ahli keluarga saya dalam kasih Tuhan Yesus. Akhir sekali, saya berharap agar program ini dapat menjadi sumber santapan rohani apabila saya menjejakkan kaki ke dunia realiti. 

Saya juga berharap agar mereka yang membaca perkongsian ini terdorong menyertai program YPL yang akan datang dan ianya memang sangat bermakna bagi anda semua. Saya akan akhiri perkongsian ini dengan  ayat yang saya pegang dalam nama Tuhan; "When we want to follow Jesus, it doesn’t mean that we must have a friend beside us because sometimes Jesus wants us to walk alone with him. In this way we can really understand what Jesus really wants from us in this life. Amen". Ayat ini telah menjadi sumber kekuatan kepada saya sepanjang keberadaan saya dalam YPL ini dan puji Tuhan, saya telah bertahan dalam program ini sehinggalah graduasi. Alleluya dan Tuhan memberkati. Amen.



Angelica Del Rosario,
Katedral St. Mary Sandakan
Ini adalah kisah perjalanan saya selama 2 minggu mengikuti program YPL Batch 4. Pada mulanya, saya sangat malu dan saya rasa saya bersendirian dan saya berasa bosan sekali seperti mahu pulang dan tidak mahu meneruskan menyertai program YPL. Tetapi saya bersabar dan perlahan-lahan saya mula berkomunikasi dengan kawan-kawan lain walaupun mempunyai perasaan malu. Banyak pengetahuan yang saya dapat ketika mengikuti program YPL ini, terutama bertutur dalam Bahasa Inggeris. Bagi saya bertutur dalam Bahasa Inggeris adalah sangat mencabar tetapi rupanya ia sangat menyeronokkan. Sesi-sesi yang lain telah menyedarkan saya betapa pentingnya informasi yang dikongsikan sebagai perisai hidup dalam dunia ini.

Sesi-sesi yang kami pelajari adalah sangat bermakna kerana sesi-sesi berkenaan dapat membantu saya bila saya berada di luar nanti. Bagi saya secara peribadi, melalui YPL saya sudah belajar bagaimana untuk berkomunikasi dengan orang lain terutama orang yang saya tidak kenal. Program YPL ini juga mengajar saya bagaimana untuk berdoa, dan saya juga belajar untuk bersabar dengan apa juga cabaran-cabaran yang sayai hadapi. Sekarang saya sudah ada keyakinan diri untuk berkongsi di hadapan orang ramai. Saya ingin mengucap syukur dan terima kasih kepada Tuhan Yesus kerana dengan kuasa RohNya, saya menjadi lebih berani. Amen!

Wednesday, May 28, 2014

YouthPrepLink Batch 4 (Level 2) - Hari Terakhir

Tim Dokumentasi YPL
Peserta bersama Fr Sunny Chung
BUKIT GARAM : Hari ketujuh, Ahad 11hb Mei 2014 juga hari terakhir program YPL, dimulakan dengan "Body Prayer" sebagai doa pagi.  Misa kudus paskah minggu keempat telah dirayakan oleh Rev. Fr Sunny Chung. Beliau mengingatkan para peserta dan semua umat setempat tentang pentingnya untuk kita sentiasa teguh dalam iman agar tidak tergoyah dalam apa juga situasi. Bersempena dengan hari ibu juga, beliau menceritakan kisah tentang seorang anak yang angkuh dan malu terhadap ibunya yang buta. Apabila ibunya meninggal dunia, barulah si anak tahu bahawa, ibunya yang telah memberi matanya agar anaknya dapat melihat. Di akhir cerita tersebut, beliau menasihatkan semua belia untuk sentiasa menghormati dan menyayangi ibu mereka yang selama ini telah memberikan kita perlindungan dan cinta kasih sepenuhnya. 
Sloane Styne Joseph dari St. Martin, Telupid
Rosanne dari Holy Trinity, Tawau
Raynell dari St. Dominic, Lahad Datu
Michelle Cornelius dari Katedral St. Mary, Sandakan
Di akhir misa tersebut, Fr Sunny menyampaikan sijil penyertaan kepada semua peserta juga para fasilitator. Acara penyampaian sijil menandakan tamatnya kem program YouthPrepLink  Batch 4, Level 1 dan 2.  
Di sebelah petang, Kak Anna membuat perkongsian dan renungan dalam kumpulan besar untuk mengimbas kembali apa yang telah mereka perolehi selama seminggu di Bukit Garam. Ianya disusuli dengan sesi "Siapa Saya" berfokus ke perkongsian peribadi dan kumpulan dalam kumpulan kecil dan seterusnya dalam kumpulan besar. 
Pada sebelah malam mereka meraikan kesyukuran sempena dengan graduasi mereka. Program ini diakhiri dengan doa malam.

Sekali lagi, kami ingin mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada peribadi-peribadi seperti 'Orang Samaria yang baik hati' yang telah menderma makanan juga kewangan untuk membantu kami menjayakan program ini. Terima kasih dan Tuhan memberkati.

Tuesday, May 27, 2014

YouthPrepLink Batch 4 (Level 2) - Hari Keenam

Tim Dokumentasi YPL
BUKIT GARAM : Pada hari penjangkauan yang kedua, 10hb Mei 2014, para peserta bertolak kembali ke St. Anthony, Bukit Garam seawal jam 3.30 pagi. Setibanya mereka di St. Anthony, Bukit Garam pada jam 8.30 pagi, mereka mengambil peluang ini untuk membersihkan diri.  Ketika berada di Sukang, Paitan, mereka tidak mandi semalaman atas sebab kekurangan air di waktu musim kemarau. Inilah adalah antara cabaran yang harus dilalui ketika berada di level 2.
Bahagian ibubapa, sesi 'Tanggungjawab ibubapa dan belia sebagai komuniti gereja' disampaikan oleh Uncle Pius Gorohom. Beliau mengongsikan bahawa tiada ibubapa yang mahu anak mereka bercerai-berai. Sebagai ibubapa mereka haruslah menjadi teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Apabila suami isteri itu saling mengasihi sesama, anak-anak secara langsung akan taat kepada mereka. Beliau menggalakkan ibubapa untuk membentuk sebuah keluarga yang kudus dan pada masa yang sama mempersiapkan anak-anak untuk mewarisi gereja.
Akan tetapi terdapat juga cabaran ibubapa dalam zaman teknologi. Beliau mengatakan bahawa tiadanya komunikasi diantara ibubapa dan anak-anak kerana telefon bimbit tidak dapat dilepaskan. Pada zaman sekarang juga, teknologi sentiasa disalah gunakan dan mendorong anak-anak ke alam dosa. Selain itu, belia zaman sekarang suka hidup berlumba-lumba. Mereka sentiasa mahu menpunyai barang teknologi keluaran terkini. Mereka juga tidak lagi mempunyai hubungan secara nyata tetapi secara alam maya. Oleh itu, ibubapa digalakkan untuk belajar menggunakan teknologi agar mereka dapat memantau anak-anak mereka di alam  maya kerana para belia mudah terpengaruh.

"Saya bersyukur kerana dapat mengikuti sesi saudara Pius. Saya juga mengharapkan anak-anak muda sekarang tidak terlalu leka dengan media massa. Selain itu, saya juga bersyukur dengan belia dari denomisi lain kerana mahu mengikuti program YPL. Saya juga mengharapkan belia dari denominasi lain untuk mengikuti apa sahaja program yang dianjurkan di gereja agar dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Saya berasa terharu dengan belia yang mengikuti YPL kerana berusaha untuk menjimatkan air yang digunakan. Saya berharap agar program ini akan diteruskan."- Egilisis
"Saya berterima kasih kerana sudi menjemput kami biarpun kami berlainan gereja. Tuhanlah yang telah menyatukan kita semua disini. Walaupun cara pergaulan kami berbeza tetapi apa yang kami nampak disini adalah suatu pergaulan yang mesra dan seperti adik beradik diantara lelaki dan perempuan. Saya juga melihat lelaki dan perempuan bekerjasama untuk melakukan tugas. Ini disebabkan kasih dan panggilan yang kita terima dari Tuhan. Apa yang saya belajar disini ialah Tuhan tidak mengenal rupa mahupun agama tetapi Tuhan melihat kita dari iman kita. Amen!"  - Nanang
"Saya berasa sangat gembira sebab melakukan aktiviti-aktiviti yang seronok. Setiap program mempunyai mesej yang tertentu dan cara penyampaiannya. Permainan yang dibuat tadi dapat mengeratkan hubungan antara ibubapa, belia dan kanak-kanak. Saya berharap lebih ramai lagi kawan-kawan lain akan mengikuti program ini. Bagi ibubapa, mereka harus mengalakkan anak-anak mereka untuk membiasakan mereka untuk mengikuti aktiviti gereja sejak kecil lagi. Saya akan simpan kenangan ini sebagai kenangan yang manis". - Eddy
Bagi kanak-kanak pula terdapat aktiviti mewarna dan bercerita. Adik Maria, salah seorang peserta kanak-kanak berasa sangat gembira. Sepanjang hari ini dia menari, menyanyi, mewarna dan belajar Bahasa Inggeris. Dia berharap agar kakak-kakak dan abang-abang dapat mengunjungi ke sini lagi. 

Kursus Alpha Pusingan Ke-7

Disediakan oleh :
Mark Louis Benedict, Martha Chia dan Alice Aban
Sandakan : Alpha merupakan satu kursus yang memberi pengenalan asas tentang iman dalam agama Kristian. Kursus ini telah memberi peluang kepada para peserta mencari makna yang lebih mendalam tentang kehidupan mereka. Pada tahun ini, Kursus Alpha dalam konteks Katolik (Alpha Course in Catholic Context ) yang dianjurkan oleh The Forerunners Ministry telah pun memasuki pusingan ke - 7. Kursus ini bermula pada 2 Mac 2014 dan berakhir pada 11 Mei 2014. Sesi yang dijalankan selama 10 minggu ini diadakan setiap hari Ahad, bertempat di Bilik Katekatikal, Katedral St.Mary tepat jam 1.45 petang
Sebilangan peserta adalah dikalangan mereka yang telah mengikuti kursus ini pada pusingan yang sebelumnya dan mereka berasa teruja menyertainya sekali lagi dan telah membawa rakan-rakan mereka untuk sama-sama menyertainya.  Selain dari itu, beberapa peserta yang mengikut kursus ini adalah merupakan calon-calon IKD yang mana akan memulakan sesi pelajaran IKD mereka pada bulan Jun ini. Penyertaan mereka sekaligus dapat mempersiapkan diri mereka untuk mengenali iman Katolik dengan lebih mendalam lagi.  Sepanjang 10 minggu berturut-turut, para peserta diberi sesi ceramah dengan topik-topik yang berbentuk soalan, ringkas dan padat, namun telah memberi kesan yang mendalam kepada setiap mereka. Tambahan pula, setiap sesi ceramah yang diadakan diselit dengan pelbagai aktiviti yang menarik seperti perbincangan kumpulan dan permainan.

Berikut merupakan tajuk-tajuk ceramah mingguan dan semasa Hujung Minggu Roh Kudus:
Tarikh
Tajuk
Penceramah
02/3/2014
         Pengenalan
Caroline Tai
09/3/2014
         Siapakah Yesus?
Jellferlyn Joseph
16/3/2014
         Kenapa Yesus mati?
Rodney Sining
23/3/2014
         Bagaimana saya tahu akan iman saya?
Alice Aban
30/3/2014
         Kenapa dan bagaimana seharusnya saya berdoa?
Clare Tivit
06/4/2014
         Kenapa dan bagaimana saya membaca Alkitab?
         Bagaimana Allah membimbing kita?

Rodney Sining
27/4/2014
         Bagaimana saya menolak roh jahat?
         Adakah Allah menyembuhkan?

Arlene Abel
4/5/2014
         Siapakah Roh Kudus?
     Apakah yang dibuat oleh Roh Kudus?

Aronika Paulus
10 – 11 Mei 2014
(Hujung Minggu Roh Kudus)
   Bagaimanakah saya boleh dipenuhi oleh Roh Kudus?
Bagaimanakah saya dapat memanfaatkan hidup saya?
Kenapa dan bagaimana saya memberitahu orang lain? Bagaimana pula dengan gereja?
Aronika Paulus

Rodney Sining

Acara kemuncak bagi kursus ini adalah Retret Hujung Minggu atau dikenali sebagai Hujung Minggu Roh Kudus. Retret ini telah dijalankan di Pusat Retret Keuskupan Sandakan Batu 28, Ulu Dusun, Sandakan pada 10 dan11 Mei 2014.
Tujuan utama retret ini adalah untuk memberi peluang kepada para  peserta mendalami dan mengenali “Roh Kudus” dengan lebih dekat lagi. Selain sesi ceramah dan aktiviti riadah seperti permainan,  retret ini juga mempunyai sesi berbentuk hening dan renungan peribadi seperti ‘Penyerahan Diri’, ‘Pelayanan Doa', dan sebagainya. Selain iman yang telah diperbaharui dan diperkuatkan, hubungan persahabatan diantara para peserta juga telah terjalin dengan begitu rapat sekali. Setiap peserta berasa amat tersentuh dengan cinta kasih Allah yang terpancar dalam diri sesama dan bersedia untuk menggalas misi menyebarkan khabar gembira ini kepada orang lain.

Kesimpulannya, sepanjang tempoh kursus Alpha ini, para peserta telah diberikan pelbagai bentuk perkongsian dan ceramah berdasarkan sukatan kursus ini. Para penceramah juga menjalankan pelbagai aktiviti dalam setiap perjumpaan mingguan dan semasa retret untuk menjadikan kursus ini lebih menarik, di samping untuk memudahkan para peserta untuk lebih memahami keimanan mereka sebagai seorang Kristian.

Berpaksikan kepada Injil Tuhan bahawa Dia harus semakin besar dan kita harus semakin kecil (Yohanes 3 :30), diharap agar kursus Alpha dalam konteks Katolik ini akan dapat membantu mengukuhkan pemahaman para peserta tentang iman Kristian. Mereka yang berminat untuk mendalami iman Kristian juga dialu-alukan untuk menyertai kursus ini. Semoga kursus ini dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun akan datang.
Puji Tuhan.
Alpha Best!

TESTIMONI PESERTA ALPHA

(Sheryl Wong)
“Saya mendapat informasi mengenai Alpha melalui risalah yang diselitkan di dalam buletin mingguan gereja. Setelah membacanya, saya meletakkannya di atas meja study saya. Tidak berapa lama kemudian, saya melihat kembali risalah tersebut dan merasakan panggilan Tuhan kepada saya untuk menyertai Kursus Alpha ini. Walaupun dilahirkan dalam keluarga Kristian, pada mulanya saya kurang mendalami ajaran agama kerana telah meninggalkan kelas PMG dan hanya menerima Sakramen Penyambutan Pertama semasa saya Tingkatan tiga. Setelah itu saya juga mengikuti kelas IKD agar dapat bertanyakan soalan mengenai agama kristian. Dengan mengikuti kursus ini, saya dapat lebih mengukuhkan pengetahuan tentang Kristian dan semua yang terima dapat saya jadikan ‘bekalan’ untuk masa depan terutama sekali ketika melanjutkan pelajaran nanti. Akhir kata dari saya, keinginan untuk mendalami iman datangnya daripada hati seseorang dan sesiapa yang mempunyai rasa ingin tahu, pasti akan mencari jalan untuk mengenali  siapa Tuhan itu”. 

 (Willie Endrie)

“Alpha menjadi satu permulaan kepada saya dan melalui kursus ini saya lebih mengenali Allah dan diri Allah. Saya juga mendapat pengalaman yang baik terutamanya dalam mengenali Allah di samping dapat mengenali rakan-rakan baru yang menyertai kursus ini. Harapan saya agar Alpha dapat diteruskan. Saya berasa seronok menyertai kursus ini”.

Monday, May 26, 2014

YouthPrepLink Batch 4 (Level 2) - Hari Kelima

Tim Dokumentasi YPL


PAITAN : Pada hari kelima, 9hb Mei 2014, para peserta bertolak ke Kampung Timpus, Paitan seawal jam 5 pagi. Perjalanan dari St. Anthony, Bukit Garam ke St. Francis Assisi, Sukang yang merupakan tempat penginapan para peserta, mengambil masa lebih kurang 4 jam. Walaupun ia merupakan satu perjalanan yang memenatkan tetapi para peserta tetap berasa gembira dan bersemangat. Dalam perjalanan ini ia adalah satu peluang untuk para peserta menjalinkan hubungan yang lebih rapat lagi.
Kampung Timpus, Paitan terletak berdekatan dengan Kapela St Francis of Assisi, Sukang. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 10 minit. Dalam aktiviti penjangkauan para hadirin telah dibahagikan kepada tiga kumpulan; ibubapa, belia dan kanak-kanak. Seramai 37 ibubapa telah mengikuti program ini. Dalam bahagian ibubapa sesi telah disampaikan oleh sdra Spincer Nyahen. Beliau menerangkan ertinya perkhawinan ~ pasangan saling menerima kesalahan dan kelemahan masing-masing. Perkhawinan adalah satu panggilan Tuhan. Beliau juga mengongsikan bahawa ibubapa bertanggungjawab dalam soal pendidikan anak. Anak akan menghormati ibubapanya jika mereka saling mengasihi.
Seramai 17 orang belia setempat telah mengikuti program ini. Para peserta memulakan dengan doa pembukaan yang dipimpin oleh sdra Sloane. Pada bahagian belia, fokus utama ialah pada Komunikasi dalam Bahasa Inggeris. Ini kerana, apabila para belia berada di bandar-bandar besar nanti, bahasa yang biasanya digunakan adalah Bahasa Inggeris. Ini adalah bertujuan memberi mereka keyakinan untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan orang lain  dan mengelakkan mereka dari ditipu orang-orang yang tidak bertanggungjawab. 

Aktiviti dimulakan dengan sesi Bahasa Inggeris yang disampaikan oleh sdra Sloane dari St.Martin, Telupid. Dalam sesi tersebut beliau mengajar bagaimana cara untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Selain itu, mereka juga bermain permainan yang dikenali sebagai "My Hat". Permainan ini bertujuan untuk membantu para belia lebih fokus dan menyedarkan mereka betapa pentingnya untuk mendengar agar mereka lebih peka terhadap sesuatu perkara. Sesi Bahasa Inggeris 2 dan 3 adalah lebih kepada cara penggunaan tatabahasa dalam suatu ayat. Sebelum selesainya program dengan para belia, mereka diberi peluang untuk berkongsi pengalaman mereka.

"Saya amat gembira dan teruja sebab saya dapat mengenali rakan-rakan baru yang mengikuti program YPL. Saya merasakan diberkati oleh Tuhan. Saya juga berasa sangat bersyukur dapat mengikuti kem ini. Saya berharap akan adanya kem seperti ini lagi agar saya dapat mempelajari sesuatu yang baru dan dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain."Evalyn , belia kampung Timpus, Paitan.
Antara aktiviti yang dijalankan dalam bahagian kanak-kanak adalah sesi bercerita, perkongsian dan permainan. Selain itu, mereka juga dapat mengenali apa itu SALIB, mempelajari sekurang-kurang satu perkataan Bahasa Inggeris iaitu "Thank You" dan mendengar cerita Pinochio.
Selesai sahaja program dari ketiga-tiga bahagian tersebut, program diakhiri dengan merayakan kesyukuran.

YouthPREPLink Batch 4 (Level 2) - Hari Ketiga dan Keempat

Tim Dokumentasi YPL 
BUKIT GARAM : Pada hari ketiga, 7hb Mei 2014 bersempena dengan bulan Bonda Maria, hari dimulakan dengan doa rosari yang dipimpin saudari Michelle. Pada sebelah pagi dan tengahari, peserta menjalani latihan Bahasa Inggeris sebagai persiapan sesi seterusnya semasa penjangkauan mereka di Paitan dan juga Bukit Garam. Pada sebelah petang, peserta sekali lagi menjalani latihan pengukuhan komunikasi Bahasa Inggeris. 

Pada jam 3.30 petang, sesi "Hak Asasi dan Hak Perlembagaan" telah disampaikan oleh Kak Evelyn Doikin, wakil dari YouthPrep Center, Kota Kinabalu. Beliau telah berjalan bersama kami di dalam program ini sejak hari pertama YPL diadakan di Katedral St. Mary. Kak Evelyn juga merupakan seorang graduan dari Institute of Formation, Fondacio Asia kumpulan yang ke-ketujuh. 

Kami amat menghargai kehadiran Kak Evelyn bersama kami sepanjang program ini dijalankan. Dalam sesi tersebut, beliau menerangkan satu per satu tentang hak-hak asasi manusia. Terdapat 30 hak asasi manusia, salah satunya adalah artikel 26 – Hak untuk mendapatkan pelajaran. Pada sebelah malam, para peserta diberi kesempatan membuat pembentangan dalam Bahasa Inggeris. Sesi tersebut amat mencabar.


Hari keempat, 8hb Mei 2014 bermula dengan doa Lectio Divina yang dipimpin oleh saudari Valgi dari Kunak. Sesi "Pemerdagangan Manusia – Penghambaan Moden" telah disampaikan juga oleh Kak Evelyn Doikin. Ia dimulakan dengan lakonan berkaitan dengan pemerdagangan manusia yang mampu menyampaikan mesej kepada para peserta. Pemerdangan manusia boleh berlaku dimana-mana dan dengan orang sekililing kita. Oleh yang demikian, semua adalah digalakkan untuk menjadi lebih sensitif dan berhati-hati dengan tawaran kerja yang menjanjikan pulangan yang lumayan. 
Pada sebelah petang, aktiviti “outdoor” dimulakan dengan “Row, row your boat”. Ia bukan sekadar permainan, tetapi ia juga mencabar semangat bekerjasama dalam kumpulan tim. Mereka diberi peluang untuk berlatih sekali lagi sebelum berangkat ke Kampung Timpus, Paitan keesokkan harinya. Pada malam itu juga, para peserta dan fasilitator membersihkan kawasan St. Anthony dan membuat pemeriksaan terakhir sebelum ke lokasi penjangkauan. Walaupun ia adalah hari yang cukup penat, tetapi ia juga merupakan hari yang sangat menggembirakan buat semua.

Friday, May 23, 2014

YouthPrepLink (Level 2) Batch 4 - Hari Pertama dan Kedua

Tim Dokumentasi YPL


BUKIT GARAM : Program YouthPrepLink (YPL) Batch 4 diteruskan dengan YPL Level 2 di St. Anthony Bukit Garam, lebih kurang 85 km dari Sandakan. Program YPL Level 2 membuka peluang bagi peserta berlatih untuk berdikari. Mereka akan mengendalikan bahagian makanan, urusetia, disiplin, kecemasan dan tugasan lain. Ia adalah bertujuan untuk mendedahkan mereka cara dan kaedah pengurusan sesuatu program. Bukan itu sahaja, para peserta juga akan menjangkau belia-belia dan kanak-kanak outstasi. Dua tempat yang telah dipilih untuk penjangkauan adalah, Kampung Timpus, Paitan dan St. Anthony, Bukit Garam. 

Rombongan peserta dan fasilitator bertolak ke Bukit Garam dari Katedral St Mary, Sandakan pada 5hb Mei 2014 tepat pukul 9.30 pagi. Perjalanan ke Kapela St Anthony, Bukit Garam mengambil masa lebih kurang satu setengah jam. Setibanya mereka di sana, peserta mendirikan khemah-khemah untuk peserta perempuan dan lelaki. Mereka juga mendirikan sebuah khemah yang cukup luas buat dapur dan ruang makan. Segala peralatan disusun dengan kemas dan rapi kerana tempat ini akan menjadi 'rumah' mereka buat satu minggu. 

Pada sebelah petang, program diteruskan dengan penubuhan Majlis YPL di mana peserta membina organisasi mereka sendiri. Michelle Cornelius dan Zeenlee Edesius dilantik sebagai Pengerusi dan naib pengerusi masing-masing. Pada masa yang sama, juga dilantik ketua-ketua  bagi kumpulan pelayanan belia dan kanak-kanak semasa penjangkauan nanti. Para peserta mengambil masa untuk membincangkan perincian program yang akan dibuat semasa penjangkauan. Hari pertama tersebut diakhiri dengan doa malam.
Hari kedua, 6hb Mei 2014 dimulakan dengan doa Lectio Divina. Sesi yang pertama untuk Level 2 telah disampaikan oleh Seminarian Andy Borine bertajuk "Prayer". Dalam sesi tersebut, Seminarian Andy menerangkan bahawa doa adalah perkongsian yang intim / komunikasi  antara diri dengan Tuhan. Pada masa yang sama kita harus sentiasa percaya bahawa Tuhan sentiasa menyayangi kita dan tetap mendengar segala permohonan yang dipanjatkan. Selain itu, terdapat empat jenis doa iaitu, puji-pujian, kesyukuran, permohonan dan adorasi.  .
Pada sebelah malam pula, sesi "Realiti Sosial Dan Ajaran Sosial Gereja" disampaikan oleh Uncle Francis Tan. Hukum yang terutama adalah "Kasihilah Tuhan, Allah-mu dengan segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu dan dengan segenap akal budimu. Kasihilah sesamamu manusia seperti dirimu sendiri" (Mat 22:37-40), dan melalui petikan ini, kita wajib membina hubungan yang erat dengan Tuhan dan menjangkau yang kurang bernasib baik. Beliau juga mengatakan bahawa misi Yesus di dunia ini adalah menyampaikan berita baik kepada orang-orang miskin, memberitakan pembebasan kepada orang-orang tawanan, dan penglihatan bagi orang-orang buta, untuk membebaskan orang-orang tertindas (Lukas 4 : 18 - 19)
Selepas itu, para peserta dibawa untuk berdoa Taize bersama-sama agar mereka boleh lebih mendalami perkongsian yang telah dikongsikan oleh Seminarian Andy dan Uncle Francis. Ia adalah satu pengalaman yang sangat indah buat semua yang telah mengikuti sesi-sesi berkenaan. 

Sesungguhnya segala sesuatu yang kamu lakukan untuk salah seorang dari saudara-Ku yang paling hina ini, 
"kamu telah melakukannya untuk Aku" Mt 25 : 40

PROGRAM KEEP IN TOUCH ALWAYS (K.I.T.A)

Disediakan oleh : Fettwinda Sipaan
Jurugambar : Philippa Philip
Holy Trinity Tawau, 27 April – Badan Pelajar Kerasulan Belia Paroki (KBP) Tawau telah menganjurkan Program Keep In Touch Always (KITA) yang telah dilaksanakan serentak di Keuskupan Sandakan pada tanggal 27 April yang lalu selepas misa kudus.
Antara objektif program ini; 
  •  mewujudkan kesedaran di kalangan para pelajar tentang kehidupan di kampus 
  •  menghadapi cabaran-cabaran yang ada di kampus 
  • menyediakan forum untuk mendalami iman Katolik 
  • mengongsikan kemahiran dan pengetahuan tentang Hak dan Tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar Kristian Katolik.
Seramai 40 orang peserta telah mengambil bahagian yang terdiri daripada para belia yang masih menuntut di sekolah menengah, lepasan SPM, penuntut institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan turut hadir ibu bapa yang prihatin terhadap cabaran semasa para remaja masa kini. Program ini telah dijalankan di Bilik Belia dan dikendalikan oleh para fasilitator yang telah menghadiri Training of Trainers (TOT) kendalian Badan Pelajar Diosis Sandakan.
Program ini dimulakan dengan sesi pendaftaran dan makan tengahari. Selepas itu, doa pembukaan telah dipimpin oleh Puan Magrina Kiob. Sdri Ernie Stephanie Edward memperkenalkan program KITA, disusuli dengan empat sesi yang telah disusun atur buat program tersebut.
  • Realiti hidup dalam kampus oleh sdri Dollores Diego
  • Mendalami iman Katolik oleh sdra Petrus Bernadus
  • Hak dan tanggungjawab oleh  sdra Renaldo De Los Santos
  • Melihat ke hadapan oleh sdra John anak Noha

Program ini juga turut menampilkan beberapa perkongsian perjalanan iman daripada graduan yang telah menamatkan pengajian mereka. Antara yang sudi berkongsi ialah sdri Madelyn.


Secara keseluruhannya, sepanjang sesi berlangsung para peserta telah memberi kerjasama dan menumpukan perhatian semasa input disampaikan. Para peserta turut diberikan borang pendaftaran KITA serta maklumat tentang hak dan tanggungjawab mereka apabila berada di tempat baharu nanti. Aktiviti perbincangan dalam kumpulan juga turut membantu mengenengahkan pendapat para pelajar tentang tanggapan mereka terhadap kehidupan di kampus kelak.
Selesai dengan sesi keempat, iaitu sesi What To Look Foward?, para peserta mengisi borang evaluasi dan program KITA diakhiri dengan doa penutup yang dipimpin oleh sdri Naomi Francis. Semoga perkongsian yang disampaikan melalui program KITA dapat membantu para pelajar mempersiapkan diri mereka sama ada dalam aspek fizikal, mental mahupun secara rohani apabila berada di tempat lain untuk meneruskan pelajaran atau pun bekerja.

Solemn Charge ~ Year of Faith - Read the Catechism Of the Catholic Church in a Year

Gadget

This content is not yet available over encrypted connections.

Mengikuti Jejak Kristus

Mengetahui dan Mengasihi iman Katolik

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent