Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, May 27, 2015

Bersyukurlah Kepada Tuhan, Sebab Ia Baik!

Dikumpul/susun oleh Rogena R Sining 
Gambar oleh G.  Bell dan Helda Japanis 


Chapel baru St Angeline, Madai yang diimpikan dan dinanti-nantikan akhirnya sempurna dibina. Segalanya terjadi atas berkat dan rahmatNya.  'Jikalau bukan Tuhan yang membangun rumah, sia-sialah usaha orang yang membangunnya'  Mzm 127 : 1    (Petikan pesan Bapa Uskup Julius dalam Buku Kenangan Upacara Pemberkatan dan Perasmian Chapel St Angeline, Madai)                                

Chapel St Angeline dibina dan dirasmi pada 1988
Chapel baru St Angeline diberkat dan dirasmi pada 24hb Mei 2015
Sdra George Minkui
Pengerusi KPUK St Angeline
"Terima kasih kerana bersama kami pada pagi ini untuk menyertai upacara Pemberkatan dan Perasmian Chapel St. Angeline ini. Saya selaku pengerusi KPUK dan Pengerusi Penganjur mewakili semua umat St. Angeline, Madai ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bapa Uskup Julius Dusin Gitom, Fr Simon Kontou, Paderi Paroki St Dominic dan semua umat setempat atas sumbangan dan sokongan dari segi material dan moral. Terima kasih juga kepada para dermawan yang telah memberi sumbangan ikhlas untuk menampung perbelanjaan kerja-kerja naik taraf chapel ini.
Sumbangan dari Keuskupan Sandakan, Paroki St Dominic juga usahasama umat Chapel St. Angeline kita berjaya mengumpul dana dalam lebih kurang RM100 ribu. Dalam kesempatan ini, saya berterima kasih kepada Bapa Uskup Julius Dusin Gitom kerana sudi menyempurnakan perasmian dan pemberkatan chapel St. Angeline, Madai pada pagi ini.
Kepada para jemputan khas, wakil-wakil dari outstasi Paroki St Dominic dan semua yang datang dari jauh dan dekat, saya mengucapkan selamat datang ke Chapel St. Angeline, Madai. Kami amat menghargai kehadiran saudara-saudari ke upacara yang amat bermakna bagi kami di Kampung Madai.
Akhir kata, sebelum mengundur diri, saya ingin memohon maaf sekiranya terdapat kelemahan dan kekurangan dalam majlis ini. Sekian terima kasih."
Rev. Fr. Simon Kontou
Paderi Paroki St Dominic, Lahad Datu
"Salam damai saudara dan saudari sekalian. Sebelum ini kita tahu keadaan chapel ini yang tidak selesa untuk umat beribadah kerana sudah usang. Bapa Uskup Julius telah menyarankan agar chapel ini dinaik taraf. Kita bersyukur kepada Tuhan kerana chapel ini akhirnya dinaiktaraf di atas tapak yang sama. 
Umat di sini telah bekerja keras mencari dana dan respon adalah amat menggalakkan. Dengan peruntukan yang disalurkan dari Keuskupan Sandakan, akhirnya jumlah dana adalah mencukupi untuk  memulakan dan menyempurnakan kereja-kerja naik taraf chapel ini. Tahniah kepada umat St. Angeline, Madai. Saya berharap agar chapel ini dijadikan rumah kedua bagi kamu kerana telah terlibat secara langsung dalam menaik taraf chapel ini.

Sifat yang tidak putus asa dan kerjasama yang erat di kalangan umat harus diteruskan dan jangan diakhiri dengan perasmian dan pemberkatan chapel ini. Iman hendaklah dipupuk agar bertumbuh subur.
Saya tidak lupa juga untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Bapa Uskup Julius kerana meluangkan masa untuk memberkati chapel ini. Terima kasih juga kepada Puan Angeline kerana telah menderma tapak ini. Semoga Puan dan keluarga terus diberkati oleh Tuhan. Terima ksih sekali lagi atas kehadiran dan sokongan semua umat khususnya umat di St. Angeline ini. Akhir sekali, 'Kotobian Tadau Tagazo do Kaamatan."
Rt Rev Julius Dusin Gitom
Bapa Uskup, Keuskupan Sandakan
Bapa Uskup Julius pernah melayani di St Angeline lebih kurang 23 tahun yang lalu. Pada ketika itu, chapel juga di tapak ini masih baru. Lebih kurang 6 tahun yang lalu, beliau mengunjungi chapel tersebut dan mendapati keadaannya amat menyedihkan, tiada langsung ciri-ciri sebagai sebuah chapel. Waktu itu, beliau telah mengesyorkan kepada KPUK agar chapel tersebut dibaik pulih dan dinaik taraf. Maka dengan itu, Keuskupan Sandakan pohon dan dengan restu Tuhan berjaya memperolehi peruntukan dari Kerajaan Negeri. 
"Umat setempat telah membuat banyak pengorbanan demi menyiapkan chapel ini. Saya percaya itulah yang kita harapkan kerana kita tetap mahu bekerjasama untuk melakukan sesuatu supaya apa yang kita lakukan itu dapat kita capai bersama.
Maka dengan demikian, kita merasakan chapel ini adalah hasil dari titik peluh kita sendiri. Kita bukan kadar mengatakan 'ini chapel saya' tetapi lebih kepada 'saya berusaha untuk memperbaiki chapel ini.' Saya syorkan kepada semua umat terutama sekali umat di Kampung Madai agar menjadikannya tempat pengembalaan iman kalian. Perkembangan dan pertumbuhan iman bukan hanya di keluarga tetapi hendaklah meliputi komuniti keseluruhan di St Angeline.

Kita bersyukur kepada Tuhan atas semua anugerah yang telah diberiNya kepada kita khususnya chapel ini. Kita juga bersyukur kepada Tuhan atas peluang turut serta dalam acara Pemberkatan dan Perasmian serta kita merayakan Pesta Kaamatan. 
Kita percaya bahawa setiap budaya mempunyai nilai-nilai yang baik dan boleh kita kongsikan dengan mereka yang tidak seagama dengan kita. Dengan itu, kita haruslah mempunyai kesatuan, hormat-menghormati di antara satu sama yang lain melalui perayaan kebudayaan.      
Sekali lagi kita bersyukur kepada Tuhan atas santapan rahmat yang diberikan kita pada minggu ini iaitu Minggu Penteskota." 

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent