Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, April 17, 2014

RETRET UNTUK PARA PILIHAN (IKD) KATEDRAL ST MARY SANDAKAN

Oleh Sdri Lena Petrus, Komiti Pembimbing IKD, Katedral St Mary dan
Sr. Veronica Kandaung fsic, Komisi Kateketikal Keuskupan Sandakan
Sandakan : Satu retret selama dua hari, 4hb dan 5hb April 2014 bertemakan 'Kamu Adalah Garam Dan Dunia' telah diadakan untuk para pilihan (calon baptis) di Pusat Retret Keuskupan Sandakan, Ulu Dusun. Retret tersebut yang dihadiri seramai 22 calon, merupakan suatu aktiviti / program kateketikal yang disediakan dan dilaksanakan setiap tahun untuk para calon baptis sebelum mereka dibaptis menjadi Kristian Katolik.
Program ini dilaksanakan dengan harapan dapat membantu setiap peserta dalam perjalanan iman mereka untuk dibaptis pada Paskah nanti. Beberapa sesi telah diatur dan dikendalikan sendiri oleh Fr Thomas Makajil, rektor Katedral St Mary, Sister Veronica Kandaung fsic, Koordinator Komisi Kateketikal Keuskupan dan Sdra George Bell Lawadin dari Pejabat Pastoral Keuskupan Sandakan.  
Objektif retret tersebut adalah;
● Membantu setiap peserta untuk membuat persiapan rohani / iman sebelum pembaptisan. 
●  Agar mereka juga dapat belajar mendengar sabda Tuhan melalui setiap sesi yang disampaikan, merenung dan berdoa dalam hati masing-masing.
Retret bermula dengan acara Jalan Salib yang dipimpin oleh Sr Veronica fsic. Ianya disusuli dengan sesi pertama bertajuk 'Doa' yang disampaikan oleh Fr Thomas. Doa bererti mengarahkan hati kepada Allah. Ketika seseorang berdoa, ia masuk dalam hubungan yang hidup dengan Allah. (Youcat # 469)

Hari kedua, 5hb April dimulakan dengan doa pagi dipimpin oleh sdri Lena Petrus. Sr Veronica fsic dalam sesi kedua, menyampaikan tajuk 'Pengertian Pra-Paskah' fokus kepada tiga tunggak utama iaitu berdoa, berpuasa juga beramal. Masa pra paskah adalah masa pertumbuhan jiwa dan iman kita. Segala perubahan hidup berpaksikan kepada niat dan usaha.

Sesi ketiga juga dikendalikan oleh Sr Veronica fsic berhubung dengan renungan dan masa berdoa. Sdra George Bell Lawadin menyampaikan sesi keempat berkaitan dengan 'Peringkat Kehidupan Manusia' Kisah pertobatan dan hidup Santo Ignatius Loyola memberi inspirasi bahawa tujuan hidup manusia memampukan kita untuk lebih memahami hidup kerana Tuhan sentiasa berada disisi kita. 
Sesi terakhir, disampaikan oleh Sr Veronica fsic ialah pelbagai pelayanan yang tersedia ada di Paroki Katedral St Mary, Sandakan. Peserta dipelawa untuk menyertai mana-mana pelayanan sesuai dengan karunia masing-masing, pemberian Tuhan. Kita hendaklah bersatu membangunkan tubuh Kristus dengan berpartisipasi dalam rumahNya.

Secara keseluruhannya retret berjalan dengan baik mengikut aturcara yang telah disediakan. Semua peserta menunjukkan komitment yang baik semasa retret berjalan. Setiap topik yang disampaikan dalam setiap sesi dapat diterima oleh peserta dengan baik. Ini dapat dilihat dari respon positif yang ditunjukkan oleh mereka semua.

Retret diakhiri dengan doa dan lagu penutup yang juga dipimpin oleh Sr. Veronica fsic. Para peserta kemudiannya bergotong royong mengemas dan membersihkan tempat retret sebelum jamuan petang. Semoga peserta dapat mengalami hidup kekudusan dan semakin menyerupai Kristus serta mampu menghasilkan buah, buah yang banyak.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent