Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, May 21, 2012

Perkongsian Baptisan Baru - St Dominic, Lahad Datu

Perkongsian Pertama: 


 
Andreana Juliana Leong Siu Fong

Saya masih ingat semasa saya berada di sekolah rendah, saya pernah tertanya-tanya bahawa 'siapakah itu Yesus?' Kenapakah Dia berbuat baik dengan semua orang? Dan untuk pengetahuan, saya bukan berasal dari keluarga Kristian malahan tidak mempunyai mana-mana pegangan agama. Namun, saya sendiri pun tidak tahu mengapakah saya secara tiba-tiba berminat atau berkenan dengan cerita dan asal usul Yesus. Sehinggalah semasa saya masih di sekolah menengah, saya pernah menyatakan hasrat kepada ayah saya bahawa saya ingin menjadi seorang Katolik. Dia tidak pernah membantah akan apa jua yang saya ingin lakukan. Saya boleh dikatakan berada dalam keadaan yang selesa, tidak dikongkong oleh sesiapa pun. Disebabkan saya berasal dari keluarga yang sederhana malah kadang-kadang juga akan melalui hidup yang serba kekurangan, saya bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh, memberikan kehidupan yang selesa kepada kedua-dua ibu bapa saya. 

Dari dulu saya dikira agak bernasib baik kerana dalam apa jua yang saya lakukan, saya seakan-akan dihantar pertolongan oleh malaikat untuk menolong saya. Contohnya, semasa saya di Tingkatan Empat, itulah kali pertama saya tinggalkan rumah untuk masuk ke sekolah berasrama penuh. Walaupun buat pertama kalinya saya tinggalkan rumah, saya tidak dihantar oleh kedua ibu bapa saya. Malahan saya mengikuti keluarga kawan saya untuk pergi mendaftar di sekolah tersebut. Semasa saya menyambung pelajaran saya di kolej, Labuan, perkara yang sama juga berlaku di mana saya menemui keluarga kawan saya yang begitu baik hati untuk menghantar saya sekali. Sehinggalah saya memasuki universiti, saya juga dihantar oleh mereka. Bila saya fikir balik, kedua-dua keluarga yang telah membantu saya adalah Katolik. Sejak saya lebih kerap ke gereja semasa di sekolah asrama penuh, saya mula berfikir bahawa mungkin semua ini adalah rencana Tuhan di mana Dia telah menghantar pengikutNya untuk menolong saya. 

Apabila saya mulai fikir tentang semua ini, masih jelas dalam fikiran saya bahawa semasa saya di Tingkatan Lima, saya pernah menanyakan kepada kawan sebilik saya (seorang Katolik juga) satu persoalan tentang Tuhan namun dia juga tidak dapat menjawabnya. Pada keesokkan hari, semasa menghadiri Misa Kudus, Tuhan telah mengguna Paderi untuk menjawab persoalan saya semasa homili. Pada ketika itu, saya dan kawan saya begitu terkejut dengan apa yang telah berlaku. Bukan itu sahaja, apabila saya mulai membaca Firman Tuhan beberapa tahun yang lalu, saya masih ingat bahawa pernah satu kali, sehari sebelum kawan saya yang telah menyakitkan hati saya menelefon untuk memohon maaf dengan saya, saya secara tidak sengaja membaca Firman Tuhan tentang kemaafan kepada orang yang bersalah terhadap kita. Dari situ, saya begitu tersentuh akan kuasa Tuhan bahawa Dia mengetahui segala apa yang sedang berlaku dalam diri saya. 

Justeru itu, apabila saya begitu ingin mengikuti IKD, pelbagai dugaan yang saya hadapi. Masa dan tempat yang tidak sesuai, tidak mengizinkan saya melengkapi perjalanan IKD sepanjang setahun lebih di tempat yang tetap atas sebab kerja dan pelajaran. Namun, saya tidak putus asa. Saya tetap mendalami iman saya dengan mengikuti sesi perjumpaan Katolik di universiti saya. Jikalau mengikut perangai saya sebelum betul-betul mengenali Tuhan, saya hanya inginkan keseronokan semasa sesi perjumpaan Katolik. Sehinggalah saya mengikuti khemah anjuran persatuan Katolik, LifeFire untuk mengikuti LifeCamp pada pertama kalinya. Di situlah saya benar-benar ketahui cinta kasih Tuhan terhadap manusia, terhadap saya juga. Pada pertama kalinya juga saya melepaskan segala dendam dan sakit hati yang dialami selama ini. Terhadap keluarga saya, kawan-kawan saya dan juga orang di sekeliling saya. Semuanya saya lepaskan kepada Tuhan. Segala dosa yang saya pernah buat, Yesus telah tanggung untuk saya. Saya ketahui bahawa betapa besarnya cinta kasihNya terhadap saya. Pada masa itu juga, saya diberitahu oleh seorang pembimbing di sana, bahawa Tuhan begitu menyayangi saya sehingga Yesus berdiri di depan untuk memeluk saya. Semasa sesi Praise and Worship, saya berjaya menggunakan karunia bahasa Roh Kudus untuk memuji Tuhan. Saya begitu tersentuh bahawa mengapakah Tuhan begitu menyayangi saya dan memberikan hadiah Bahasa Roh ini kepada saya walaupun saya masih lagi belum menjadi anakNya. 

Puji Tuhan kerana sampainya hari ini, saya telah melengkapkan perjalanan saya di IKD. Walaupun berliku-liku perjalanan saya berbanding dengan orang lain yang berjalan bersama-sama dengan saya. Sehingga hari ini, saya lebih bersyukur dengan segala-gala yang Tuhan telah berikan kepada saya. Bukan sahaja bersyukur dari segi kebendaan yang diterima, tetapi dari hati yang sentiasa mahukan Tuhan bersama dengan saya. Saya berharap Tuhan dapat membimbing saya menjadi seorang yang lebih baik dan berkongsi perjalanan saya bersama Tuhan dengan saudara dan saudari yang ingin lebih mengenali Tuhan. 



Perkongsian kedua: 



 


Shalom dan terima kasih kerana diberi peluang kepada saya untuk membuat perkongsian ini. Nama saya Ann @ Reah Hingobesa Cesar. Saya berbangsa Visaya, Filipin. Sebelum ini saya dari denominasi lain.

Kehidupan saya sebelum ini, saya suka keluar malam bersama-sama dengan kawan-kawan saya. Sampai lewat malam saya baru pulang ke rumah saya. Masa itu saya fikirkan enjoy saja walaupun ibubapa saya selalu marah pada saya. Saya seorang yang tidak suka di kongkong oleh ibubapa saya. Mereka selalu memberi nasihat kepada saya tetapi saya akan melawan kata-kata mereka sehingga saya mengambil keputusan sendiri untuk berpindah dari rumah ibubapa saya kerana kata-kata mereka menyakitkan hati saya. Setelah saya berpindah, saya rasa bebas kerana tidak ada lagi kata-kata ibubapa yang menyakitkan.

Kemudian saya telah berkenalan dengan seorang lelaki yang dari domenasi lain. Setelah setahun kami berkawan, dia telah mengajak saya mengikuti kepercayaannya. Saya telah mempertimbangkan cadangannya kerana dia juga orang yang senang. Setelah saya pertimbangkan dan saya merenungi kepercayaannya, saya mendapati kepercayaannya tidak bersesuaian dengan saya kerana tidak seperti yang saya inginkan. Lalu saya membuat keputusan untuk berpisah dengan dia dan saya menjalani kehidupan saya seperti biasa.

Beberapa bulan kemudian, saya telah bertemu dengan seorang lelaki yang beragama Katolik. Dia telah mengajak saya untuk bersama-sama menghadiri misa kudus di Gereja Katolik St. Dominic, Lahad Datu. Selepas selesai misa kudus, beberapa soalan yang saya tanya kepada dia, apakah maknanya tanda salib?, siapakah Tuhan Yesus?, Kenapa kita harus dipermandikan?. Dia telah memberitahu saya jika saya ingin mendalaminya, saya perlu mengikuti kelas I.K.D. Tidak lama kemudian kelas IKD bermula dan kawan saya telah menggalakkan saya untuk mengikutinya.

Dalam perjalanan kelas IKD, bermulalah pemahaman saya tentang iman gereja Katolik dan mengenal Tuhan Yesus Kristus. Saya sudah mula mengetahui bagaimana berdoa atau memohon kepada Tuhan Allah. Di situ juga saya telah berdamai dengan ibubapa saya dan saya sentiasa mendoakan mereka. Saya juga memaafkan kawan-kawan saya yang pernah menyakitkan hati saya. Saya telah mengubah sikap dan perangai saya yang suka marah, suka keluar malam dan melawan cakap ibubapa saya.

Sepanjang perjalanan dalam IKD, saya telah mengenali Yesus dengan lebih dalam lagi dan Yesuslah menyelamatkan saya dari dosa-dosa. Saya yakin dan percaya bahawa Yesus Kristus adalah Tuhan saya.

Selepas dibaptis, saya berfikir ke manakah arah saya selepas ini. Pembimbing telah memberi kertas yang tertulis “Jawatan Kosong yang tidak bergaji”. Tetapi saya percaya ini adalah jalan yang terbaik untuk saya dan saya mengikuti IKD untuk menjadi seorang Katolik tanpa paksaan kerana ini adalah kehendak saya sendiri.

Saya berharap agar umat yang lain memberi dorongan serta doa agar iman saya sentiasa dikuatkan. Saya sungguh berterima kasih kepada penanggung saya iaitu Morich Legaspi kerana sudi menjadi penanggung saya. Dia juga telah memberi perkongsian dan bimbingan kepada saya. Selain itu, saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pembimbing IKD yang membimbing kami sehingga kami layak dibaptis. Sekian, terima kasih.

1 comment:

  1. After 5 minutes, tuгn thе pіzza 180
    degrees to insure even cοoking. The Big Green Εgg can аlso be uѕed as a ѕlоw smoker.
    Photo: Lеі, Kaui hоlding baby Arya,
    Mike anԁ Anthony.

    Нerе is mу blog post; http://bunix.de

    ReplyDelete

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent