Search This Blog

Loading...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Translate

Monday, November 21, 2011

REKOLEKSI KERASULAN WANITA KATOLIK PAROKI ST. MARTIN, TELUPID

Kehadiran ahli KWK dari pelbagai peringkat umur
TELUPID: Rekoleksi Kerasulan Wanita Katolik (KWK) Peringkat Paroki St. Martin, Telupid dengan tema “Apakah yang harus kami perbuat?” telah berjalan selama dua hari iaitu pada 22 – 23 Okt. 2011, bertempat di Chapel St. John, Kg. Sinaputan, Nangoh. Komiti Penganjur ialah KWK Zon Nangoh yang dipengerusikan Pn. Fedelia.
Pendaftaran peserta sedang berjalan. 
Belia turut membantu di dalam Rekoleksi KWK
Pendaftaran  bermula  pada jam  8.00 pagi  dengan  jumlah  penyertaan seramai  129 ahli mewakili kesemua 5  zon. Turut serta dalam rekoleksi ialah penyertaan beberapa ahli warga  emas. Belia setempat turut membantu  dari  segi  bermain  alat  muzik juga koir.   Rombongan dari Paroki Katedral St. Mary,  Sandakan   yang  telah  diundang   khas untuk  memberi   ceramah   iaitu  Sr Appollonia Gumpu, fsic, Sr.Liliana Gubod, fsic. Pn. Annie  Rokneh, selaku Ketua  Penyelaras  KWK Keuskupan  Sandakan  dan  rombongan serta Penyelaras  KWK  Paroki  St. Martin, Telupid, Pn. Nora  Nicholas.
Sesi 1 - Sr Appollonia, fsic
Sesi   pertama  bermula  jam 10.00 pagi  dengan  Tajuk “Peranan  Wanita  Katolik"  yang  telah disampaikan  oleh  Sr. Appollonia fsic. Sesi input ini, menekankan akan pentingnya pembaharuan komitmen dan peneguhan iman. Aktiviti kerohanian juga mampu mengubah fikiran dan hati para ahli ke arah hidup yang baru. Setiap individu KWK diajak mempraktik perhubungan intim dengan Tuhan melalui doa dan memuliakan-Nya dengan perbuatan seharian sebagai ibadah yang sejati.
KWK berperanan sebagai  terang  dan  garam dunia. Membangun dalam kerohanian, amalan kerjasama, kerja kebajikan demi  perkembangan Jemaat.   Wanita juga digalakkan mengadakan perpaduan  antara  kaum,  kumpulan – kumpulan  gereja yang  lain  atas dasar cintakasih Kristus. Sifat seumpama ini perlu disemai dalam keluarga Kristian tanpa mengabaikan pendidikan anak-anak sendiri mendalami Ajaran  Gereja Katolik.
Sesi 2 - Sr Liliana fsic
Sesi kedua “ Bonda  Maria  Dan  Gereja”  telah  disampaikan oleh  Sr. Liliana.  Berdoa bersama dengan  Bonda  Maria  yang dirahmati Allah dapat mengeratkan lagi  hubungan kita dengan Tuhan.   Bonda Maria adalah merupakan Tarbenakel, di mana Sabda telah menjadi daging. Setiap  ahli  KWK  harus  menerima   Bonda  Maria  sebagai  'idola'  atau 'model' kehidupan peribadi. Sifat terpuji Bonda Maria adalah ketaatan, kesetiaan, kerendahan hati dan berani menerima panggilan pelayanan sebagai  ibu  Yesus  yang melahirkan   Juruselamat  untuk  menebus   dosa  dunia.

Sesi  ketiga  "Hubungan  Peribadi  dengan  Tuhan”  disampaikan  oleh  Sr. Appollonia. Setiap  permasalahan  yang ada pada setiap  manusia  ada jalan penyelesaiannya sebab Tuhan akan membuka jalan ketika kita rasa tiada jalan.  Maka  dalam  Tuhan  tiada  yang  mustahil.   Dosa memisahkan kita dari Tuhan, maka melalui pertobatan kita kembali ke sisi Tuhan.  Kebangkitan  Yesus dari sengat maut telah melahirkan pengharapan, iman dan kasih serta kehidupan kekal di akhirat kelak kepada mereka yang percaya dan beriman kepada karya penyelamatan Tuhan.  Menerima  Yesus  sebagai  Juruselamat  dengan lebih bersemangat adalah sebaiknya  membaca  Alkitab  dan  menghayatinya.   Ekaristi  adalah sumber  kehidupan. Kita bersatu di dalam korban Kristus yang diupacarakan oleh paderi semasa dalam Misakudus. Kasih Allah Bapa telah menyelamatkan manusia melalui  korban penebusan PuteraNya Yesus Kristus.
Aktiviti Sukaneka
Selepas  minum  petang  tidak  ketinggalan  diadakan  sukaneka  iaitu  bola tampar, memancing  botol, baling  kelapa (boling)  dan  tarik  tali.

Doa Rosary  yang  diketuai  oleh  Pn.  Annie  Rokneh  berjalan pada waktu  malam  disusuli  sesi   Saat  Teduh dipimpin oleh  Sr. Appollonia. Sesi ini merupakan saat untuk  memohon  doa  permohonan,   pengampunan dan  penyerahan di depan  Salib.
Saat Teduh merenungkan karya penyelamatan Tuhan melalui korban Yesus Kristus
Pada hari  kedua  doa pagi dimulakan  dengan  dipimpin  oleh  Sr. Appollonia.  Seterusnya,   Sesi  Perkongsian  Alkitab   oleh  Sr.  Liliana.   Beberapa  ahli  KWK  memberikan  perkongsian.
Sesi Rekreasi di Sg Paliau
Selepas  serapan  pagi,   para peserta  bertolak  ke Sungai  Paliau untuk  bermandi-manda dimulakan dengan doa. Kesempatan ini, beberapa  orang  ahli  mengadakan sesi  kaunseling  dengan sister. Pada jam  11.00 pagi, semua  bertolak  kembali  ke Chapel  St. John  untuk makan  tengahari.
Sesi 4 - Fr Jasery
Sesi  keempat “Tuhan , apakah  yang  harus  kami  Perbuat”  disampaikan  oleh   Fr. Jasery   Gabuk,  Paderi  Paroki St. Martin, Telupid  menerangkan  perlu  ada pembaharuan  dan komitmen  dalam   keluarga mengasuh anak – anak menurut Ajaran Gereja.

Rekoleksi  diakhiri  dengan  misa kudus  oleh Fr.  Jasery.    Di dalam  homilinya  beliau menekankan  ahli KWK  terus bersatu,   berdoa  dan  bersaksi  di dalam  pelayanan   menurut  kebolehan  karisma  masing-masing.    "Jangan  bersifat  sombong atau  meninggi  diri, sebaliknya lakukanlah hikmat karunia Tuhan yang suka merendahkan hati dan lemah lembut sesama, tidak  membezakan  bangsa dan keturunan".

Tambahnya lagi "Setelah  kamu kembali  ke keluarga masing – masing, mulakanlah pembaharuan  hidup itu. Marilah bertumbuh dalam iman, menghidupi kerohanian dan doa yang teratur  dalam keluarga dan komuniti." katanya.

Selepas  Misa dan dengan  rasminya   Fr.  Jasery  menyerahkan  logo  bagi  tuan  rumah  penganjur  rekoleksi  tahun  2012  bertempat  di  Chapel   St. Fedilis,  Kg. Kiabau.
Gambar kenangan
Sebelum  bersurai dan   balik  ke tempat   masing -  masing,   Komiti  Induk KWK  mengambil  kesempatan   meraikan ulang  tahun  pentahbisan Fr. Jasery   juga   meraikan  Feast  Day   bagi  Sr. Appollonia fsic. Semua bersyukur dan berasa gembira kerana Rekoleksi  KWK  Paroki   St. Martin,  Telupid bagi tahun  2011 dapat dianjurkan dengan jayanya. 

Annie  R.J

No comments:

Post a Comment

Solemn Charge ~ Year of Faith - Read the Catechism Of the Catholic Church in a Year

There was an error in this gadget

Mengikuti Jejak Kristus

Mengetahui dan Mengasihi iman Katolik

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent